WARGA SCP

Rabu, Ogos 19, 2009

DAY 10 24/11/2007 SABTU MAKKAH

Kota Mekah terletak di bahagian barat Arab Saudi di tanah Hijaz yang di kelilingi oleh gunung -ganang, terutamanya di sekitar Masjidil Haram. Dataran rendah di sekitar Mekah dikenali sebagai Batha, sebelah timur ialah perkampungan Ma'la dan barat daya pula ialah Misfalah. Rasulullah dilahirkan dan menetap di Ma'la sehinggalah baginda berhijrah ke Madinah. Kota Mekah terletak 300 meter dari paras laut.


Antara keistimewaan kota Mekah ialah ALLAH telah memilihnya sebagai tempat dibangunkan "Rumah ALLAH", kota kelahiran dan kenabian Muhammad dan pengakhiran para rasul, tempat beribadat para hambaNYA serta kewajipan ke atas mereka untuk mengunjunginya , tempat dimana keredhaan hati, khusyuk, kepala terbuka dan meninggalkan segala bentuk pakaian dan perhiasan dunia, tempat yang dijadikan ALLAH sebagai Tanah Suci yang aman, tempat untuk menghapuskan segala dosa-dosa yang lalu, tempat disyariatkan oleh ALLAH kepada manusia untuk bertawaf di Kaabah, tiada satu pun tempat di muka bumi ini diwajibkan oleh ALLAH untuk dikunjungi selain Mekah bagi mereka yang mampu, tempat yang diwajibkan hambaNYA untuk menghadap dan melambaikan tangan kepada Kaabah, Hajar Aswad dan Rukun Yamani, orang yang bersolat di dalamnya digandakan pahalanya 100,000 kali, tempat yang dilarang oleh ALLAH untuk menghadap atau membelakanginya sewaktu buang air besar atau kecil dan tempat dimana ALLAH akan memberi balasan kepada sesiapa yang berniat jahat walaupun mereka belum melakukannya dan jika ia melakukannya, maka balasannya akan dilipatgandakan .

Melakukan dosa di Tanah Suci Mekah lebih besar dosanya dibandingkan di tempat2 lain dan begitu juga jika kita melakukan kebajikan 100,000 digandakan.

SUASANA DEPAN HOTEL PENGINAPAN
FIRDAUS MARWA BERSEBELAHAN FIRDAUS TOWER


KALAU BERJALAN KE SEBELAH KIRI MENUJU
KE MASJIDIL HARAM

Sudah masuk 24/11/2007 . Sebaik sahaja tiba, kami terus ke bilik hotel untuk membersihkan diri dan berwuduk. Lebih kurang 1.00 pagi ,dengan beberapa org rakan, menuju ke Masjidil Haram yang jarak perjalanannya 5-10 minit dari hotel melalui tepi Hilton Towers. Perasaan kami hanya ALLAH sahaja yang tahu apabila memasuki Masjidil Haram dan melihat Kaabah yang tersergam indah, lantas terus memanjatkan doa ke hadrat ALLAH . Terus menuju ke lantai Kaabah, solat sunat tahyatul masjid , sunat taubat, sunat hajat dan sujud syukur kerana diberi peluang menjadi tetamu ALLAH dan dapat sampai ke Baitullah. Gembira, sebak, sedih dan bermacam-macam lagi perasaan kami yang tidak dapat digambarkan. Hanya ALLAH yang maha mengetahui.

Terus melakukan tawaf umrah yang memakan masa 30 minit. Jemaah pagi ini tidak terlalu ramai dan memudahkan pekerjaan tawaf .Solat sunat tawaf di belakang Makam Ibrahim dan berdoa di kawasan yang bertentangan Multazam. Terus ke Bukit Safa untuk melakukan saei 7 kali ke Bukit Marwah yang jarak keseluruhannya 4.9 km memakan masa hampir 45 minit . Selesai sahaja terus bergunting dan bertahalul. Maka selesailah pekerjaan umrah haji kami dan bebas dari 13 patang larang semasa berihram. Pulang ke hotel jam 3.00 pagi dan berehat sebentar sebelum ke masjid semula pukul 4.00 pagi untuk solat subuh. Segala kepenatan tidak dihiraukan kerana mengerjakan haji dan umrah memang menuntut pengorbanan dari segi keselesaan dan kesenangan. Kami hanya sempat berehat selepas waktu subuh .


MENUNGGU WAKTUSOLAT MAGRIB DI DATARAN KAABAH

Awal ke Masjidil Haram sebelum zohor untuk melakukan tawaf nazar . Selepas solat sunat tawaf dan berdoa, melakukan solat sunat taubat dan hajat agar dipermudahkan dan diperkenankan kerana ingin mengucup hajarul aswad dan berdoa di pintu kaabah (multazam) . Tapi memerlukan usaha, doa dan tawakal kerana terlalu ramai jemaah .Aku mula merapati dinding kaabah mengikut barisan dari rukun Yamani lagi. 

Pada ketika ini kiswah atau kelambu kaabah belum dinaikkan lagi, jadi tangan kiri ku dapat memegang dan berpaut ke kiswah kaabah. Asakan dari luar menyebabkan badan sebelah kiri bersandar ke dinding Kaabah. Keadaan di luar barisan tidak terkawal .Begitu padat sekali . Terdapat jemaah yang tidak berdisplin yang merempuh kami yang beratur. Berlaku tolak-menolak, rempuh merempuh . Inikah yang diajar dan dianjurkan dalam Islam ? 

Sedih apabila melihat perlakuan yang sebegitu dan tidak sepatutnya berlaku , terutama di hadapan "RUMAH ALLAH" . Dari pengamatan ku, jemaah dari Pakistan yang tidak berdisplin , itulah sebabnya negara mereka sentiasa diselubungi kekacauan dan huru-hara. Aku terpaksa melindungi dada dan rusuk sebelah kanan dgn tangan apabila ditolak dan diasak dari luar . Alhamdulillah setelah sabar menunggu , ALLAH telah memakbul permintaan dan keinginan ku untuk mengucup Hajarul Aswad. Kegembiraan dan rasa kepuasan dalam hati kerana hajatku tercapai dengan izin ALLAH. 

Selepas mengucup Hajarul Aswad terus keluar dan menghimpitkan badan ke arah Multazam dan dapat berpaut di jenang Multazam sambil berdoa di situ dengan sepuas-puasnya kerana Multazam merupakan salah satu tempat yang mustajab untuk berdoa. Kepuasan dan tangisan kegembiraan dalam hati dan kesyukuran yang teramat sangat kepada ALLAH kerana hajat ku diperkenankan

0 comments:

Catat Ulasan