WARGA SCP

Selasa, Oktober 28, 2014

RIMAU SELATAN KU MENGARUK DI HUJUNG SANA

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH
 
 6.35 pagi , aku hanya dapat barisan di sini

Lama aku tak menulis tentang perkembangan Rimau Selatan ku walaupun aku tak pernah miss setiap pertarungannya dari dulu . Alhamdulillah,selepas Rimau Selatan ku berjaya mengharungi perjalanan yang penuh ranjau dan duri , akhirnya selepas berjaya dinobatkan sebagai Juara Liga Super, kali ini kejuaraan "double" menanti selepas berjaya ke final Oppo Piala Malaysia hujung minggu ni  nanti di Bukit Jalil .

Sabtu lepas , lepas subuh aku terus memecut macam biasa ke pasar tani di perkarangan stadium Larkin untuk cari lauk. Mak Itam berpasar tani manakala aku terus masuk barisan yang punyalah panjang berjela . Hanya untuk mendapatkan 2 keping tiket untuk second leg semi final yang akan menentang FELDA .


9.00 pagi kaunter tiket dibuka. Apa yang dikesalkan , hanya beberapa anggota keselamatan sahaja yang bertugas pagi itu sedangkan jumlah peminat yang ingin mendapat tiket dalam beribu orang . Ada yang sopan dan beratur ikut barisan manakala macam biasa kalangan pemuda yang dah lah datang lambat terus meluru menuruni bukit terus menuju ke kaunter menyebabkan keadaan tak terkawal .

Aku terus sabar beratur hinggalah jam 10.15 pagi bebetul aku dah depan kaunter, kaunter tiket telah ditutup atas alasan semua tiket telah dijual.Memang tak masuk akal langsung. 25 000 tiket takkan terjual dalam masa sejam lebih sikit je sedangkan setiap peminat hanya dibenarkan membeli 3 keping tiket seorang. Tak dapat dinafikan bahawa banyak tiket telah "mengalir ke ulat2 tiket " sebelum penjualan rasmi bermula . 

Ini dibuktikan kerana ramai peminat yang tak dapat tiket telah ditawarkan dan membeli tikety ang harga asalnya RM10.00  melonjak ke RM 40.00 untuk tiket terbuka dan RM 30.00 untuk grandstand melonjak ke RM 100.00 . Itulah masalah kat negara kita ni tak kira apa . Semua orang ingin mengaut keuntungan tanpa pikir dosa pahala.


Aku beredar kehampaan namun janji Allah itu pasti benar . Aku semalamnya ada memohon doa agar Allah permudahkan dan perkenankan hajat aku untuk dapatkan tiket kerana aku tahu betapa sukarnya untuk dapatkan tiket terutamanya diperingkat separuh akhir ni..Bagaimana caranya, Allah je yang tahu. Terus menuju ke Mak Itam yang tadi lepas beli ikan dan sayur untuk bekalan seminggu kami yang setia menanti diperkarangan Gym depan Stadium Larkin.

"Jom Balik, tiket dah dapat" , katanya.

Heran jugak aku , beratur berhimpit sesak habis basah peluh baju seluar dah macam seumpama suasana nak cium Hajarul Aswad , tak dapat tiket, Mak Itam yang duduk nunggu aku sambil baca novel yang dapat tiket macam tu je.

Kan aku dah kata, kita usaha je, semua urusan dalam dunia ni sebenarnya tak pernah terlepas walau sebesar zarah pun dari apa yang Allah telah tetapkan.

Penjaga Gym tu ada beberapa keping tiket yang dikirim oleh rakannya . Tetiba mereka tak jadi datang lalu dia offer kat Mak Itam dengan hanya harga asal je RM 10.00 sekeping .Pucuk dicipta ,ulam mendatang.

Terubat segala kepenatan hampir 4 jam lebih beratur tadi . Terima kasih Allah.


Bab tiket dah settel, bab nak pegi petang nanti akan menyusul kemudian. 3.00 ptg terus ke Larkin. elok je sampai, azan Asar berkumandang. Stadium Larkin dalam proses renovasi . Kena pandai2 cari tempat nak solat pasal tempat solat di Zon C tu dah diruntuhkan . Harap sangat nanti, kemudahan dan keselesaan untuk solat tak terlepas pandang dalam projek renovasi tersebut .

5.00 ptg, pintu stadium Zon C dibuka. Meluru semua kerana kalau lambat , tak dapat tempat duduk best untuk menonton. Sapa masuk pukul 6 ptg tu, maka memang dah takde tempat kosong lagi dah . Maka berdirilah jawabnya atau duduk kat tangga.

B.O.S yang menjadi teras atau tunjang utama di luar padang malam tu sungguh menghiburkan. Lagu Selamat Pengantin Baru serta Zapin Pukullah Tabur Pukul Rebana menjadikan Larkin malam tu dah macam suasana majlis kenduri kawin. Lagu khas ditujukan buat TMJ yang baru menikah . Itulah keseronokkan berada sendiri di padang yang takde jika menonton di TV.







Masa yang dinanti akhirkan bermula. Debaran mula terasa . Larkin bergema dengan sorakan serta chant oleh B.O.S.

Rimau ku akan bertarung dgn The Fighters sebentar lagi untuk melayakkan kaki ke final disamping mengekalkan Larkin yang dikenali sebagai gelanggang keramat kerana tak pernah team lain menang di sini sejak dari tahun 2013 lagi.

GOLLLLLLLLLLLLLLLLLLLLLLL

Luciono Gabriel "Lucho" Figueroa Herrera menjadikan Larkin bergema apabila menjaring gol .Namun gol Felda selepas tu menjadikan perlawanan semakin mendebarkan , lebih2 lagi suhu atas padang yang agak "panas" kerana beberapa keputusan pengadil yang boleh dipertikaikan serta ketidaktegasannya menyebabkan beberapa insiden tak diingini terlepas pandang.

Separuh masa  kedua bermula. Rimau ku meningkatkan lagi tempo permainan dan menyerang habis-habisan. Jolokan dari Diaz berjaya disempurnakan sekali lagi oleh Lucho menyebabkan ketika itu pesta di Larkin semakin hangat dan akhirnya gol oleh Amri Yahya terus menutup untuk FELDA bangkit kembali .

Namun sekali lagi di saat2 akhir permainan, rentetan pengadil sebelum itu yang gagal mengawal perlawanan dengan baik dengan beberapa keputusan yang boleh dipersoalkan menyebabkan 2 pemain dibuang padang. Entahlah, bilalah masalah ketidakcekapan pengadil mengadili perlawanan di Tanah Melayu ni nak berakhir.

Tiupan wisel penamat disambut dengan kegembiraan seluruh penyokong Rimau Selatan dan akhirnya setelah penantian 23 tahun untuk bermain di final Piala Malaysia tercapai sudah. Selangkah sahaja lagi untuk merealisasikan impian bergelar Juara OPPO Piala Malaysia.




Adakah aku akan berada di Bukit Jalil nanti . Aku tak pasti lagi kerana agak sukar kali ini untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir kerana banyak tiket katanya dah disakau dek kaum yang berkepentingan dan berjawatan serta politician sedangkan penyokong setia yang menyokong tatkala kalah atau menang akan terpinggir begitu sahaja .

Tengoklah ,macam mana nanti.

Allah yang akan menentukan.

Isnin, Oktober 13, 2014

BELAJAR KOMPANG KAT PARIT

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH


Kalau suruh bebudak zaman IT ni sekarang main kompang, mau haram tak tahu . Tapi masa zaman aku dulu , ramai bebudak kampung yang pandai main kompang ni. Main kompang ni nampak mudah, "just kompang je " kompang tu , maka keluarlah bunyi "pang, pang,pang".

Tapi sebenarnya tak semudah itu nak pandai main kompang kerana permainan secara berkumpulan 10-15 orang pemain memerlukan kolaborasi untuk menjadikan bunyi yang keluar nanti harmoni dan tak berterabur.



Aku sendiri dulu saban malam pi menuntut belajar kompang kat parit.Jangan salah faham. Bukan main kompang dalam parit. Tapi dah sememangnya kat kampung aku memang banyak parit yang dijadikan nama kampung. Semua parit ada. Ada Parit Sakai, ada Parit Bakar , ada Parit Jawa . Kalau nak sebut kat sini, berpuluh parit.

Jadi aku pun saban malamlah pi belajar kompang kat rumah kawan aku tu kat area parit ... tu.

Paling best lepas habis kami berlatih,lepas tu pasti ada sedulang dua nasi ambang buat kami menjamu selera.

Berbulan belajar saban malam baru pandai hinggakan ketua kumpulan kompang tu yang aku anggap macam ayah aku jugak telah mengajak aku main sama bila ada jemputan untuk main kompang di rumah orang2 kawin .

Tapi dalam main kompang ni rumah orang kampung ni, ada juga sekali peristiwa yang menyedihkan . Kira bebudak sekarang kata "sentap"

Kalau biasanya, kalau dapat jemputan main kompang,pasti tuan rumah pengantin akan panggil dan jamu dengan nasi minyak. Dah rumah orang kawin. Pasti nasi minyak jadi hidangan wajib. Nak jadi cerita suatu hari ,kami dapat jemputan main kompang kat area Parit Bakar . Pukul 12.00 tgh kami dah bersiap "sedak" semua kompang biar tegang kulitnya. Pukul 1.00 kami dah bertolak naik motor ke rumah pennganti. Pukul 2.00 ptg kami mengarak penganting dalam panas terik dengan irigan paluan kompangg dan jidor sambil berselawat.

Siap je tanggungjawab kami, kami semua nunggu tuan rumah jemput kami makan . Ialah, tengahari dan perut tengah kosong . Nunggu kat 20-30 minit, haram tuan rumah atau wakil buat tak tahu dan buat tak nampak je.Melelah air liur tengok jemputan lain makan . Kami pun terus kemas semua alatan kompang dan jidor terus start motor dan balik. Singgahlah kami warung tepi jalan cari apa yang boleh dimakan.


OK, ni kompang dan jidor yang baru aku ambil kat kilang kompang . Banyak jugak pesanan seorang pelanggan aku . Sebenarnya sejak akhir-akhir ni aku sibuk noreh sana-sini dan jual apa yang boleh diniagakan selagi halal dan mendatangkan rezeki. Tu sebab masa aku sekarang agak terhad untuk update SCP . Kalau nak ikut banyak cerita yang aku boleh cerita kat SCP. Tapi masa tak mengizinkan laaaa ni.

Namun kalau aku free, insyallah aku akan terus menulis kat SCP berkongsi cerita dengan rakan2 maya sekalian.


Khamis, Oktober 02, 2014

SETIAP DETIK DAN SAAT KETIKA ITU TAKKAN LUPUT DARI INGATAN

  بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

السلام عليكم

ALHAMDULILLAH

7 tahun sudah berlalu. Namun setiap detik dan saat yang pernah aku lalui ketika itu tetap segar dalam hati yang merupakan detik terindah dalam hidup ku .

Hari ni, pastinya jutaan jemaah Haji telah bergerak menuju ke Arafah . Pastinya setiap kali datangnya hari wukuf, ingatan aku tetap akan berputar terkenang peristiwa  7 tahun yang lalu.

Hari itu 17/12/2007 bersamaan 8 Zulhujjah merupakan hari Tarwiyah. Kami dijangkakan bertolak ke Arafah selepas waktu zohor lebih kurang pukul 2.00 ptg. Namun di sini, kita hanya mampu merancang sahaja dan segala ketentuan hanya pada ALLAH. Kami hanya akan bertolak ke Arafah selepas waktu Isyak kerana masalah kesesakan jalanraya menuju ke Arafah yang penuh dgn "lautan bas" menyebabkan bas ulang-alik sebanyak 10 buah yang akan membawa kami seramai lebih kurang 2000++ jemaah mengambil masa yang panjang.Memang itulah lumrahnya setiap kali kemuncak musim Haji tiba atau ertikata lain apabila semua jemaah haji akan menuju ke Padang Arafah.



Ada diantara rakan kami yang telah memakaikan ihram . Aku tangguhkan dahulu niat utk memakai ihram dan berniat haji . Naik semula ke bilik hotel dan berehat kerana ada lagi masa hampir 6 jam sebelum bertolak.

1 jam lagi sebelum bertolak masa tu , aku lakukan persiapan dgn melakukan perkara2 yang disunatkan sebelum ihram spt :- mengerat kuku- merapikan janggut/misai/rambut- memotong bulu ketiak/ari2 dan sebagainya- mandi sunat ihram- mengambil wuduk- memakai wangi-wangian pada badan- memakai kain ihram berwarna putih- solat sunat ihramSelepas itu menghadap kiblat , melafazkan dan berniat haji , Sahaja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana ALLAH Taala.

Maka bermulalah bagi kami 13 pantang-larang dalam ihram yang perlu dipatuhi dan dijaga selama beberapa hari. Dalam hati kami, tidak dpt digambarkan akan kegembiraan kerana kami akan mengerjakan dan menyempurnakan haji buat pertama kali dan kami berdoa agar kami dapat melakukan segala rukun dan wajib haji dengan sebaik-baiknya, diberikan kesihatan yang baik dan segala kemudahan dari ALLAH dan haji kami diterima menjadi haji yang mabrur. Tiada balasan selain syurga bagi haji mabrur.


Akhirnya kami bertolak ke Arafah lebih kurang jam 8.00 mlm hampir 6 jam lewat. Perjalanan yang hanya 21.9 km mengambil masa hampir 3 jam lebih. Lebuh raya 4 lorong telah menjadi 6 lorong dipenuhi dgn "lautan bas" yang membawa jemaah menuju ke tempat yang sama .

Teringat kembali sejarah Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.

Perjalanan kami diiringi dgn laugan talbiah ,


لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ
لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ
 إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ 
لاَ شَرِيْكَ لَكَ 

Hamba Mu datang menyambut panggilan Mu, Ya Allah
Hamba-Mu datang menyahut panggilan Mu
Sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan Mu
yang tiada sekutu bagi-Mu 

Apa yang aku rasakan ketika itu, sebak dan diri ini terlalu kerdil dalam perjalanan utk menghadap ALLAH .

Ya ALLAH, kami datang dari jauh dengan membawa segala dosa samada disedari atau tidak, samada besar atau kecil , kami malu untuk menghadap Mu Ya ALLAH atas apa yang telah kami lakukan , namun atas keberkatan Mu, kami dipilih menjadi tetamu Mu Ya ALLAH.

Semuanya sama sahaja dgn memakai 2 helai kain putih yang tidak berjahit dan bercantum bagi lelaki dan telekung bagi wanita . Hati ku bercampurbaur, perasaan diasak sayu, insaf dengan kekhilafan dan kekurangan diri namun masih diberi nafas dan nyawa utk terus beribadat,bertaubat dan hidup di muka bumi ini ,kagum dengan kebesaran ALLAH dan sebak serta gembira menjadi tetamu jemputan ALLAH untuk menunaikan ibadat haji di kota suciNya.

Padang Arafah juga adalah tapak bersejarah dalam kehidupan manusia kerana di Jabal Rahmah yang terletak di kawasan itu, Nabi Adam dan isterinya, Hawa bertemu kembali selepas diturunkan dari syurga. Di situ jugalah NabiMuhammad (SAW) menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam.Padang Arafah adalah tempat pertama di bumi ini ALLAH menerima taubat hambaNYA. Di Jabal Rahmah, Adam dan Hawa bertemu semula setelah dikeluarkan dari syurga kerana kesilapan melanggar perintah ALLAH. Bertahun-tahun lamanya Adam memohon taubat di sini dan akhirnya taubat kedua-duanya diterima dan diampunkan . Kami sekarang berada di bumi Arafah sama seperti hasrat dan matlamat Adam dan Hawa, memohon keampunan dan berharap mendapat haji yang mabrur.

Diri ini terasa sangat kerdil dan cuba melakukan amalan di sini dgn sebaiknya dan berdoa semoga ALLAH menerimanya. Kami sampai lebih kurang jam 11.30 mlm ke kawasan perkhemahan yang disediakan di hujung kawasan Padang Arafah yang seluas 10.4 km persegi. Di sambut oleh petugas THTS . Terus mencari khemah yang sepatutnya mengikut penempatan nombor khemah yang dibekalkan.

Setiap khemah menempatkan 18 orang jemaah dgn dibekalkan sekeping tilam yang kecil, selimut dan sebiji bantal .Khemah didirikan di atas kawasan padang pasir dgn beralaskan permaidani. Kemudian terus ke kawasan belakang perkhemahan utk makan malam yang disediakan oleh pihak pengurusan Tok Syeikh @ muasasah yang dilantik oleh pemerintah Arab Saudi . Jam menunjukkan hampir 12.00 tgh malam.




Alhamdulillah, akhirnya masa yang sangat dinantikan akan tiba juga dengan izinNYA
.


Allahuakhbar

Aku rindu akan suasana tersebut walaupun dalam berkusut masai ketika itu. Adakah aku berpeluang untuk merasainya, Hanya Allah yang Maha Mengetahui.