ALHAMDULILLAH
Hari ini Isnin 9 Zulhijjah 1431, lebih kurang 10 jam lagi akan masuk waktu wukuf di Arafah .Kesemua jemaah haji pasti akan berkumpul di padang arafah untuk melakukan salah satu dari rukun haji iaitu berwukuf di Padang Arafah yang diibaratkan seperti Padang Masyar ketika semua umat manusia dibangkit kelak .
Menunggu masuknya waktu wukuf
Wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijah bererti berhenti seketika . Berada di Padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di Padang Mahsyar di mana semua manusia ,tanpa mengira bangsa, pangkat atau kedudukan akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia. Tiada panggilan datuk seri, tan sri , puan seri , doktor, professor,tuan,puan atau apa saja gelaran dan pangkat di sana kelak , semuanya sama sahaja di sisi Allah apabila dibangkitkan dan akan diadili kelak.
Para jemaah telah bersiap menunggu masuk waktu wukuf
TAPI
yang pasti tiada khemah di Padang Masyar kelak
tatkala matari hanya sejengkal di atas kepala kelak
Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang kedua tetapi yang utama dari rukun-rukun haji itu. Itu adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Dari Abdul Rahman bin Ya'mur r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh seorang penyeru menyerukan :
"Haji itu ialah "Arafah". Barang siapa datang pada malam tanggal sepuluh, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapatkan Arafah"
(Riwayat - Ahmad dan Ashabus Sunan)
Jemaah dari negara luar yang tidak berkhemah hanya
menantikan berakhirnya waktu wukuf di tepi-tepi
Masa yang wajib berada atau berwukuf di Arafah ialah di awal waktu Zuhur pada 9 Zulhijjah, hingga sebelum fajar pada hari Nahar, iaitu 10 Zulhijjah, tetapi tidak semestinya berada di Padang Arafah itu sepanjang masa yang tersebut kerana sahlah berhenti disitu walaupun sebentar sahaja pada masa di antara Zuhur 9 Zulhijjah hingga sebelum fajar 10 Zulhijjah.
Alhamdulillah, aku pernah merasai kemanisan berwukuf di Padang Arafah yang akan kekal terus dalam kotak ingatan ku sehingga ke akhir hayat bila roh bercerai dari jasad .
Pukul 11.00 pg , aku telah mula merpersiapkan diri melakukan persiapan utk menanti masuknya waktu wukuf yang dijangka 12.18 tgh. Keadaan ku ketika itu agak kusut masai kerana masih dalam berihram dengan tidur dan rehat yang tidak cukup. Tapi apalah ertinya semua ini kerana hampir 40 tahun dalam hidup ku, Allah telah mengurniakan kepada ku tidur dan rehat secukupnya berbanding hanya seketika di bumi Arafah.Pengorbanan ini aku rasakan begitu kecil berbanding segala nikmat yang Allah telah kurniakan kepada ku sebelum ini.

Menjelang waktu wukuf dgn dipimpin oleh beberapa orang guru agama, acara dimulai dgn talbiah dan zikir serta tazkirah .Masuk sahaja waktu zohor , khutbah pertama dibaca . Setelah selesai diikuti dgn khutbah kedua serentak dgn laugan azan Zohor. Kemudian kami solat zohor dan asar secara jamak takdim tamam .
Khutbah Arafah yang dibaca sungguh meruntun jiwa , menyentuh hati dan perasaan . Dengan nada suara yang merayu dan merintih kepada ALLAH memohon taubat dan keampunanNya Tanpa disedari air mata bergenang dan berlinangan . Ia mengingatkan diri aku sebagai hambaNYA yang kerdil banyak melakukan dosa-dosa , kesilapan dan perkara yang mungkar semasa aku hidup , dosa-dosa yang aku lakukan terhadap kedua ibubapa , dosa-dosa terhadap isteri , anak-anak dan anggota keluarga serta sesama insan. Namun masih diberi kesempatan dapat menjadi tetamuNYA dan berpeluang memohon keampunanNYA.

Terus terang aku katakan, air mata ku tumpah di bumi Arafah bila mengenangkan semua itu . Namun aku bersangka baik kepada Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya peluang yang mungkin sekali je seumur hidup ku yang diberi oleh Allah menunjukan betapa kasih dan sayangnya Allah kepada hambanya ini untuk terus memohon dan memohon keampunan dan berdoa dan terus-terusan berdoa atas apa saja yang ku hajati kerana Allah Maha Mendengar .
Peluang berdoa di bumi Arafah semasa wukuf merupakan salah satu tempat mustajab dan diangkat terus doa itu ke langit takkan aku lepaskan begitu sahaja. Kemudian diteruskan lagi dgn Zikir dan Doa Arafah sebagai pengisian wukuf sehingga hampir pukul 5.00 ptg. Sebelum waktu magrib tiba pada 5.43ptg , aku berdoa secara bersendirian kerana itulah waktu yang paling afdal utk berdoa ketika berada di bumi Arafah.
Apabila mengatakan hari Arafah ialah hari mustajab berdoa dan doa terus diangkat ke langit tanpa hijab, suatu peristiwa nak kata lucu pun ya . Manakan tidak kerana ketika itu aku bertemu dengan seorang jemaah yang menerima panggilan telefon dari saudaranya ketika 1/2 jam matahari akan terbenam . Katanya kerana hari itu hari mustajab berdoa dan doa terus diangkat ke langit , maka saudaranya di Malaysia pun mahu berdoa sama memohon hajatnya melalui telefon . Diangkat tangannya yg memegang telefon ke atas lalu saudaranya itu terus berdoa sendiri melalui telefon . Aku hanya tersenyum sahaja . Pada pemahaman ku, mustajab berdoa di Arafah kepada jemaah yg sedang berwukuf sahaja dan kalau kita berhajat , kita boleh meminta saudara atau rakan kita mendoakan kita ketika itu dengan menyebut nama2 kita.Lalu aku tersenyum lagi .
Sesungguhnya bumi Arafah begitu istimewa kepada sesiapa sahaja yang pernah menjejakkan kaki ke sini pada setiap 9 Zulhijjah ketika menyempurnakan rukun haji ini.
Walaupun dalam keletihan
walaupun dalam keadaan berkusut masai
walaupun dalam keadaan yang serba-serbi kekurangan
namun peluang sebegini takkan sama seperti berada di Kota London
peluang sebegini takkan sama seperti menyusuri sungai Seine di Kota Paris
kerana berada di bumi Arafah terlalu istimewa bagi ku
Tidak boleh dijual beli walaupun aku mendapat segunung emas di dunia.
Surah Al-Hajj :27 yang bermaksud :
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki , dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
Adalah menjadi tujuan ibadah haji difardukan supaya kita semua menyedari bahawa suatu hari nanti pasti kita semua akan dibangkitkan dan kembali untuk diadili seadil-adilnya oleh Allah Tuhan Pencipta Seluruh Sekalian Alam. . Segala amal kebaikan dan kejahatan akan diadili seadil-adilnya walau sebesar-besar dan sekecil-kecil zarah sekalipun. Tiada yang akan terlepas walau sekecil kuman dan Padang Mahsyar adalah tempat di mana seluruh umat manusia dari zaman nabi terdahulu akan dihimpunkan untuk dihisab tanpa mengira darjah, pangkat atau kedudukan .
Pandangan sesetengah ulama , Mahsyar ialah sebuah dataran yang rata, lapang dan putih seperti permukaan roti. Manusia akan dibangkitkan mengikut amalan hidup masing-masing. Ada yang berkenderaan, berjalan kaki dan ada yang berjalan dengan mukanya. Semuanya menanti untuk dihisab dan ditimbang amalannya. Segolongan umat berdiri di sebelah kanan, segolongan lagi berdiri di sebelah kiri dan segolongan lagi berdiri di hadapan arasy.
Sangat beruntunglah mereka yang berdiri di sebelah kanan atau al-yamin kerana mereka bakal menerima buku catatan amal yang membawa mereka ke syurga. Beruntunglah golongan yang berdiri di hadapan arasy kerana mereka adalah terdiri dari para rasul, anbiya’ dan syuhada yang sudah pastinya syurga dijamin kepada mereka. Malanglah bagi golongan kiri atau as-syimal yang menerima buku catatan amalan dari tangan kiri kerana neraka adalah tempat selayak-layaknya bagi mereka.
Ya Allah,
terlalu indah dan manisnya berada di bumi Arafah dan semoga nanti begitu juga ketika aku dibangkitkan nanti dan berhimpun di Padang Masyar kelak apabila malaikat Israfil meniup sangkakala .
وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَنْ شَاءَ اللَّهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنْظُرُونَوَأَشْرَقَتِ الْأَرْضُ بِنُورِ رَبِّه
"Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu (putusannya masing-masing)."
وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْجِبَالِ فَقُلْ يَنْسِفُهَا رَبِّي نَسْفًا
فَيَذَرُهَا قَاعًا صَفْصَفًا
لَا تَرَىٰ فِيهَا عِوَجًا وَلَا أَمْتًا"Dan terang benderanglah bumi (padang mahsyar) dengan cahaya (keadilan) Tuhannya;"
( Q.S Az-Zumar ayat 68-69)
Sesungguhnya Arafah adalah gambaran Masyar yang dipertontonkan oleh Allah namun tentunya cabaran dan dugaan pasti lebih hebat apabila kita semua dibangkitkan dan dihimpunkan di Padang Masyar yang sebenarnya.
BUKAN HARTA KEKAYAAN YANG AKAN DIHITUNG DAN DITIMBANG
BUKAN DARJAH KETURUNAN YANG AKAN DIPANDANG
BUKAN PANGKAT ATAU GELARAN YANG AKAN DIBANGGAKAN
YANG PASTI
HANYA AMALAN BAIK DAN BURUK YANG AKAN DITITIK BERATKAN
ITU YANG AKAN DIPERHITUNGKAN
ITULAH KEHEBATAN ARAFAH DIDUNIA
PASTI LEBIH HEBAT DI MASYAR KELAK
* sekadar perkongsian hati ,rasa dan perasaan dari bapak itam , seorang hamba yang kerdil di sisi Allah S.W.T yang pernah diberi peluang oleh Allah untuk merasai kemanisannya berwukuf di bumi Arafah .