WARGA SCP

Rabu, Ogos 20, 2014

RANGUP BEREMPAH AYAM GORENG DI GOLDILOCKS

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH

mamat tu lambai2 suruh masuk

Cafe, Bistro atau restoran banyak kat dalam USS ni. Tak perlu risau . Cuma pastikan yang menghidangkan makanan halalnya.Tapi masa nak masuk Goldilocks , mamat kat Donkey Live tu sibuk manggil siap lambai-lambai tangan,

"5 minutes to start"
"5 minutes to start"

Aku pun tak pernah masuk dalam tu, yang aku bayangkan pasti donkey hidup buat show. Maka masuk dan terjebaklah kami dalam tu . Rupanya animasi donkey buat live entertainment . 5 minit pertama , ada penonton yang dah keluar pasal malas nak dengar donkey tu dok membebel dan merepek  sambil nyanyi2 dan tawa2.

Memang sah-sah kena tipu dengan Donkey hahaha



OK, lunch time.
Keluar pintu Donkey Live tu , depannya Goldilocks.

Tak berapa ramai lagi dalam Goldilocks tu. Aku pun pi beratur kat dalam. Ada dua kaunter dibuka . Tak ramai beratur, tapi minah arab yang kat depan tengah order tu ambik masa kat 5-10 minit tanya itu ini sebelum dia order.

Tetiba datang satu pompuan cina rasanya cina tanah besar terus ke depan tak beratur. Staff tu kata dia perlu beratur kalau nak beli pasal orang lain pun beratur . Berundur dia ke belakang dan tetiba dia pi cilok kat lane kaunter satu lagi kat yang aku beratur . Kebetulan depan aku ada cina sebangsa dia jugak yang dia takde talian dengannya pun . Dia nak tumpang order ,"cing-cong-cing-cong",  tapi direct je staff kat situ cakap dia tak boleh buat begitu dan tak adil dengan pelanggan lain yang telah beratur. Staff tu kata dia tak akan ambik order kalau dia buat begitu, selamba je pompuan cina tu kena sound dan terus belah.

Aku perati dan tengokkan  je situasi tu dan aku nyampuk slang jawa yang perangai dia tu tak sopan hehehe .

Aku ada 4 voucer meal berharga  5 dollar setiap satu . Semua voucer tu boleh guna sekali gus . Order 4 set macam dinner plate kat KFC tu yang ada 3 pieces ayam serta kentang lecek dan sayur tu . Memang ayam goreng dia rasanya tak sama dengan KFC, tapi rasanya memang sedap . Ranggup dan berperisa serta berempah. Jimat dah 20 dollar kat situ. 

Alhamdulillah,
gendang-gendut, tali kecapi,
kenyang perut , senang hati
Lepas ni boleh layan Shrek 4D pulak






Ahad, Ogos 17, 2014

BANYAK MAKAN WANG A.K.A WANG MAKAN BANYAK

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH

 jahat makna kat dalam logo tu hehehe

Pasti setiap kita mempunyai kenderaan . Tak kira apa jenis sekali pun, matlamatnya adalah untuk memudahkan kita ke destinasi yang dihajati. Dunia semakin moden seiring juga dengan teknologi kenderaan masa kini. Kalau dulu tiada istilah ABS, DSC, Air Bag dan banyak lagi , sekarang ini hampir kebanyakkan teknologi terkini telah ada dalam kenderaan masa kini.

Namun kegunaan seharian , yang aku suka tunggang ialah sebuah motobot kepunyaan ku keluaran kebangaan negara kita yang boleh aku kategorikan sebagai antik kerana telah memasuki usia mencecah 24 tahun yang tak punya apa2 teknologi atau istilah yang aku sebutkan tadi , tapi masih berfungsi walaupun tidak 100 %,  tetap tidak memerlukan penyelenggaraan yang banyak. Cukup sekadar menukar minyak hitam dan oil filter. Itu pun entah berapa tahun lalu aku tukar, aku pun dah lupa hehehe

Manakan tidak, dari teratak usang aku di tepi hutan ke kebun getah hanya sepelaung je. Jadi sehari , tak lebih 1-2 km je dia digunakan. Namun aku masih sayang akannya walaupun bila pagi lepas subuh aku nak pi noreh dalam gelap, aku terpaksa hidupkan lampu kecemasan pasal biasalah benda antik. Dah pulas suiz hidupkan lampu, nak kena tarik2 dengan tangan wayar yang berselirat bawah stereng tu . 

Nasib baik, hiduplah lampunya, kalau tak , tak lah hidup lampunya.Nak bukak pintu pun kena keluarkan tangan kat tingkap dan bukak dari luar . Tapi aku tetap sayang dengan dia pasal dia sentiasa mengingatkan aku siapa aku suatu masa dulu .Ia banyak berjasa pada kami dan dialah motobot pertama yang kami beli hasil keringat dan airmata 24 tahun yang lalu . Aku tak pernah rasa malu pun hingga kini nak tunggang benda antik ni walaupun sesetengah orang yang tak kenal aku pandang dan toleh dengan senyum kambing lagi hehehe

5 tahun 8 bulan yang lalu, entah macam mana aku pi lah gatal tangan "test drive Banyak Makan Wang" ni lalu aku pun belilah. Orang kata kereta melambangkan prestij, tapi bagi aku tak pun. Sama je fungsinya . Nak berlagak kat dunia yang sementara ni, apa yang kita dapat. Esok lusa mati ,masuk lubang tanah juga . Aku beli kerana pada aku Allah S.W.T dah takdirkan aku merasai sedikit kenikmatan di dunia yang Allah pinjamkan buat aku. Tak lebih dari itu . 

Tu sebab  aku tak kisah dan jarang bawak "Banyak Makan Wang" ni . Senang bawak motobot antik aku atau motobot yang isteri aku selalu bawak tu  yang usianya jugak dah masuk tahun ke 9 apabila aku pi jual getah beku aku luar kawasan. Nak bawak motobot antik tu, takut jugak dia buat hal tengah jalan sekarang ni hehehe

Barang antik, tapi sesekali aku belasah jugak sampai JB , lencun peluh pasal aircond dia tak hidup daa.Alhamdulillah, aku ni kira jenis yang cermat dan sentiasa memastikan kondisi semua  motobot  dalam keadaan baik dan mendapat penjagaan sepatutnya. Jadi bolehlah tahan lama sikit usia mereka .

Cerita Banyak Makan Wang ni pun dah nak masuk usia yang ke 6 tahun, namun "miles" atau perbatuannya masih dikira rendah dalam 50 000 ++ km je. Maknanya aku bawak dia setahun hanya dalam 8 333 km  je dan sebulan dalam 700 km je . 3 tahun pertama a.k.a 60 000 km atau yang mana datang dulu, semua urusan servis termasuk alat ganti di bawah tanggungan pengilang . Sesen pun tak perlu keluar ongkos. 

Biasalah , teknologi masa kini untuk motobot moden yang semua pakai elektronik dan komputer. Sebelum habis tempoh edah 3 tahun, ada 3-4 jugak alat ganti letronik yang mengalami kerosokan seperti speed sensor yang mengawal ke empat-empat tayarnya telah diganti percuma. Sebiji lampu LED signal yang terbakar pun menyebabkan dia gantikan keseluruhan set termasuk kiri-kanan walau yang kanan tak rosak pasal dia datang dalam kotak kiri-kanan sepasang. F.O.C.

Masuk tahun ke 6 usianya, Allah nak uji aku. DSC Hydro Pump dia telah mengalami kegagalan berfungsi a.k.a kira rosak le .Hantar buat diagnosis,cucuk ECU kat komputer,  keluar code 5df0 (pump unit faulty) dan code 5df1(pump unit plug faulty). Semua alatannya dikawal secara elektronik dan dikawal oleh unit pusatnya secara kawalan komputer. Aku complain kat Head Quaters Banyak Makan Wang ni kerana aku cakap benda tu rosak ketika miles aku pun baru 50 000 je. Aku dalam pada tu gugel kat internet pasal benda alah ni . Masalah satu dunia rupanya pasal banyak kena benda yang sama kat mana2.

Someone told me that it is commom error for the pump module 07 E9x cars and its coast a fortune to replace around USD 2 000.00

Kerana kegagalan DSC Pump ni berfungsi,maka keluarlah warning sign kat dashboard ,  maka fungi RFT , ABS dan Auto Cruise terbabit sama gagal sama sekali. Semua fungsi tu penting . RFT yang bermaksud Run Flat Tyre paling aku risau pasal motobot ni takde tayar spare. Tu sebab tayar motobot ni mahal pasal kalau pancit dia masih boleh jalan dalam 100-200 km perjalanan sebelum kita pi tampal.Tapi mesti pastikan kelajuan di bawah 100 km/jam. Dia akan mengeluarkan amaran yang menunjukkan salah satu tayar kita pancit.Tapi kerana DSC Hydro Pump je gagal berfungsi, maka fungsi RFT ni pun terbabit sama. ABS atau Anti Brake System jugak sama .Bahaya kalau bawak terlaju dan tetiba kena lakukan emergency brake. Boleh berguling motobot ni .

Bincang punya bincang punya bincang dengan pihak pengurusan tertinggi Banyak Makan Wang ni , kerana aku sorang pelanggan yang setia dan masih menghantar motobot aku ni ke sana untuk servis rutin. Depa setuju kasi aku discount 30 %. Tapi masalahnya rega DSC Hydro Pump ni hampir 12 000 henget . Depa kat sana takde main repair2, depa punya polisi , rosak terus ganti . Labour charge dan lain-lain dalam 700.00 hengget depa kata depa tanggung. 

Dah discount 30% pun masih dalam 8000 jugak nak kena keluar.Sebenarnya benda ni kat luar negara murah je macam jugak harga kereta kat sana, tapi negara kitakan banyak cukai itu ni kena bayar menyebabkan rega  benda ni berlipat ganda reganya. 

Pada aku buang duit sampai 12 ribu , baik buat benda lain.12 000 boleh buat kami pi umrah berdua.  8 000 pun pada aku masih tinggi dan tentu ada jalan penyelesaian lain. 

Biasalah, tempat aku mengadu adalah Tuhan Pencipta Sekalian Alam Yang Maha Esa , Allah S.W.T. minta petunjuk darinya .

Dalam pada tu aku gugel sebuah forum pemilik Banyak Makan Wang ni , ada satu nama workshop kat KL area Subang Jaya yang banyak dah selesaikan masalah ni . Aku pun terus call towkey dia dan dia kata boleh buat, cost 2 500 je . Buat appoiment dan suatu hari yang indah dua bulan lalu dah, aku shoot ke KL dan esok paginya aku pi workshop tu pepagi dan siap tolong bukak sekali workshop tu. Masa aku datang tu, melambak semua motobot continental dalam dan luar workshop tu . Porshe , Audi termasuklah beberapa bijik Banyak Makan Wang , banyak tersadai tunggu nak dirawati. Pasal aku datang jauh, dia terus buat aku punya .Bukan besar mana pun Hydro Pump tu, adalah besar penumbuk . Pekerja dia bukak, tapi towkey dia sendiri yang settelkan, bukak dan gantikan mana benda lektronik dan apa lagi yang rosak dalam tu.

Sebelum jumaat, dah siap pasang balik DSC hydro Pump tu, dan kena buat beberapa adjusment seperti masukkan cecair brake baru serta kena reset semula sistem komputernya .

Lepas solat jumaat , dah siap pun dan alhamdulillah Banyak Makan Wang ni dah berfungsi 100%.

Patutlah kenapa orang gelar dia Banyak Makan Wang pasal sekali bikin memang Banyak Makan Wang kalau tak kena gaya.Walau pun aku terbalikkan logo tu dari Banyak Makan Wang menjadi Wang Makan Banyak , sama je tetap kena keluar dari poket ongkosnya. 


Setiap yang berlaku , semuanya berbalik kepada Pencipta kita yang mentadbir sekalian alam dan tak terkecuali satu apa2 darinya.

Alhamdulillah,
Aku redha dan syukur , hanya ujian kecil dari Allah S.W.T buat aku.

Hakikatnya,  kehidupan kita memang penuh dengan dugaan dan ujian. Tanpa ujian dan dugaan,  hidup kita yang cuma sementara sahaja ni di dunia yang fana' pasti hambar. Sesungguhnya apa sahaja yang Allah S.W.T takdirkan menimpa diri kita, pasti mengandungi dan mempunyai tujuan dan hikmahnya yang tertentu. Hikmah itu pula kekadang kita sedari setelah sesuatu ujian yang menimpa kita itu berlalu atau juga langsung kita tak ketahui sehingga mati.


Sabda Rasulullah s.a.w.  :
‘Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah’.

Pengajaran yang boleh diambil dan jadikan pedoman buat aku, keredaan Allah bergantung pada bagaimana kita menerima segala ujianNya. Kalau kita reda , pasti Allah akan meredai kita dan akan menunjukkan laluan yang mudah untuk kita. Akhirnya, kita akan dibimbing dalam menyelesaikan segala kesulitan dan kesukaran yang dialami dengan penuh ketenangan dan kebijaksanaan.

Sebaliknya kalau kita rasa marah atau kecewa dan tidak redha dengan apa yang telah diduga apa yang menimpa kita, kita sebenarnya  sesungguhnya telah menyebabkan Allah murka kepada  kita. Tanpa disedari, kita sebenarnya telah mencampakkan diri kita ke dalam lembah kebinasaan. Tanpa keredaan Allah dalam kehidupan, bagaimanakah kita dapat melayari bahtera kehidupan ini dengan sebaik-baiknya. Apatah lagi untuk menghadapi segala musibah dan dugaan yang juga datang daripada-Nya. Yang pasti, jiwa kita jadi tak tenteram dan gundah gulana, langkah kita akan menjadi semakin pincang dan hidup kita secara keseluruhannya, macam orang hilang arah. Mulalah kita salahkan itu ini tapi hakikatnya Allah S.W.T dah tetapkan ia sebegitu. Kalau kita jaga macammana sekali pun, kalau Allah dah kata dia nak rosak, maka rosaklah ia. 

Namun sebelum tu , pastikan konsep tawakkal kita aplikasikan dulu dan selepas tu kalau nak rosak atau ditimpa musibah yang lain, kita serah je pada Allah.


Abdul Kadir al-Jailani r.h. berkata kepada anaknya:
Wahai anakku, sesungguhnya musibah itu datang bukan untuk merosakkan dirimu tetapi untuk menguji kesabaran dan keimananmu. Wahai anakku, taqdir ialah seperti binatang buas dan binatang buas tidaklah memakan bangkai.”

Alhamdulillah,
sekadar sedikit perkongsian dari aku insan biasa je tanpa darjat dan pangkat serta ilmu yang cetek ,  setiap apa pun yang berlaku dalam kehidupan kita semuanya dari Allah S.W.T  jua.

Sebagai penutup, ingatlah,  setiap kali solat angkat takbir dan kita baca doa Iftitah yang membawa pengertian yang besar sebenarnya :

Allah Maha Besar sebesar-besarnya. 
Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya. 

Dan maha suci Allah siang dan malam. 
 Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah. 

Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku kuserahkan hanya pada Allah tuhan seru sekelian alam. 
 Sekali-kali tidaklah aku menyekutukanNya .

Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Muslim (Islam).

Rabu, Ogos 13, 2014

5 DOLLAR MEAL VOUCHER + 8 DOLLAR SHOPPING VOUCHER

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH


Tiket masuk  USS aku dapat hanya SGD 66.00 untuk dewasa dan kanak-kanak pula SGD 50.00. Takrif kekanak umur dari 4 tahun ke atas hingga 12 tahun. Masuk je 13 tahun dah kira dewasa. Dewasa start dari 13 tahun tu hingga umur 59 ++. Masuk 60 tahun kira warga emas dan tiket kira separuh harga.

Kira aku dapat tiket lebih murah sikit dari yang ada kat online . Setiap tiket tu ada meal voucher yang boleh digunakan kat mana2 restaurant pun dalam USS sebanyak SGD 5.00 setiap tiket.Kat Starbucks je depa tak kasi guna meal voucher tu.Kalau boleh guna kat kedai mamak kat Tanah Melayu, dapat cover teh tarik siap dengan maggi goreng ayam lagi tu pasal 5 dollar tu hahaha

Shopping voucher pula sebanyak SGD 8.00 turut diberi untuk setiap tiket dan boleh digunakan bila beli barang kat kedai2 mereka kat dalam tu .

lenggang lagi pasal USS baru bukak



Bas yang aku sewa parking kat bawah untuk turunkan kami semua. Aku set dengan drebar tu,kul 6.00 pm nanti , baru kami semua akan keluar dari USS ni. Kira ada 8 jam untuk kesemua ahli rombongan Cik Kiah dalam USS nanti.Setakat Universal Studio Singapore ni , 8 jam boleh cover hampir semua kalau tak ramai pengunjung yang beratur kat setiap ride . Tapi kalau Universal Studio Hollywood, California tu, 2-3 hari baru ngam khatam semua kat dalam tu.

Boleh tahan jugak pagi tu dengan pengunjung kat USS ni. Selisih dengan sebuah keluarga Indon dok nak masuk USS. Indon kaya bangat pasal mampu berlibur di USS .

Tiket dan voucer semua aku dah edarkan semua sesiap pada ahli rombong. Aku lihat yang "walk in" nak beli tiket kat kaunter tiket pun panjangnya barisannya . Memang aku tak galakkan "walk in" datang pi beli tiket pasal kat sana tu akan buang masa sejam dua beratur.




First , lepas je masuk pintu utama, aku ambik gambar depa semua berlatarbelakang  Hollywood Street . Tahun 2010,aku dah sekali masuk dalam USS ni. Masa tu "son of gun" aku habis semua roller coster dia main .2011 aku lepak dan menginap kat Hard Rock Hotel kat Resort World Singapore ni, tapi aku tak masuk pun dalam USS ni. Aku ranjau rayau part lain kat Singapore ni, 2014 kerana jadi ketua rombong, maka sampailah kaki aku ke sini lagi.

Madagascar, destinasi pertama untuk kami nikmati. Barisan tak panjang. Kalau tak nak baris, boleh beli pass Universal Express atau Universal Express Unlimited. Tapi reganya boleh tahan juga kat SGD 50.00.

Tapii laaa ni kalau yang jenis nak naik ride yang menyelit kat family orang lain,tak payah beratur dan terus pegi kat "single rider" . Staff yang jaga akan selitkan nanti kat family yang tak cukup "corum"

Enjoy jugak naik sampan tu dalam15 minit jugak pusing dunia Madagascar. Lepas tu lepak tengok watak2 Madagascar itu buat "Street Entertaiment" dalam 10-15 minit jugak sebelum bergerak ke tempat seterusnya.






Isnin, Ogos 11, 2014

KETUA ROMBONG KE UNIVERSAL STUDIO SINGAPORE

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH



Aku dah plan trip ni dua-tiga bulan sebelum raya lagi .Trip ke USS pada 4 syawal . Kerana hanya lebih kurang 20 orang yang melibatkan 4 buah keluarga, maka aku pi cari sebuah Super VIP bas dengan 30 buah tempat duduk. Kedudukan tempat duduk memang luas macam kira tempat duduk kelas bisness jika naik kapal terbang . Kedudukan barisan kerusinya 2 sebelah kanan dan 1 sebelah lagi sebelah kiri.

Dua tiga minggu sebelum tu, permohonan kepada Kementerian Pelancongan Malaysia perlu dibuat dengan menghantar semua butiran peserta rombongan cik Kiah ni kerana kalau guna bas yang di sewa dari travel agensi , kena pakai sekali pemandu pelancong berlesen seperti yang disyaratkan . Kalau tak nak , boleh . Tapi kena buat surat permohonan  pengecualian dan depa akan keluarkan surat kelulusan pengecualian tersebut . Tak guna khidmat pemandu pelancong berlesen ni, jimat sikit pasal kalau guna mereka, RM 200.00 sehari . Lagi pun takde keperluan pun nak gunakan perkhidmatan mereka .

Sekiranya tiada surat kebenaran pengecualian dan tetiba kena tahan dengan SPAD atau JPJ  dalam perjalanan , dendanya 1000.00  hengget wooooo.Aku tak boleh jadi tourist guide pasal aku tak berdaftar dengan Kementerian Pelancongan. Jadi ketua rombong haram boleh le hehehe


lepas CIQ Johor nak masuk Tambak Johor
dah mula jammed wooooo
depa nak pi kerja tu

1/2 jam sangkut atas tambak je

 CIQ Woodland
sibuk tak kira masa dan waktu

Bertolak dari HC 6.30 pagi kerana target nak sampai USS nanti dan tolong bukak pintu gatenya. Pepehal, aku suruh drebar aku berhenti kat kedai mamak di HC dulu, suruh depa semua sarap pekena roti canai kekenyang .Sarap kat sini guna RM, kalau kat Singapore nanti , kena guna SGD .

Kerana masih dalam suasana raya lagi, jalan menuju CIQ Tambak Johor melalui EDL agak lenggang . Kalau naik kereta tak perlu keluar dan cop pasport kat imigresen kita. Pasal naik bas, semua kena turun dan naik ke aras atas pemeriksaan imigresen CIQ Tambak Johor tu. Masa tu dekat pukul 8.00 pagi jugak. 

Singapore hari tu hari kerja. Sibuklah jugak namun hampir semua kaunter bukak . Aku suruh depa semua guna pintu automatik tu yang hanya perlu letak pasport kat scanner tu dan kemudian scan cap jari pula. Manakala ada 3 anggota rombongan cik kiah ni yang warga UK kena pi beratur guna lane bagi "Other Passport".

welcome to Singapore

 suasana jalanraya di sana
Masuk je Tambak Johor, maka bermula kesesakkan seperti biasa. Ini menunjukkan betapa ramainya orang JB yang berkerja di Singapura terutamanya bangsa Cina. Depa kerja sana pasal gaji mahal dan gaji pula dibayar dalam matawang SGD.

Besar wooo bila tukar ke RM pasal laaa ni SGD 1.00 dah dekat RM2.60 . Tapi satu je, mereka kira "tiada kehidupan" pasal" keluar gelap dan balik gelap juga".Rasanya pekerja kat bandar besar macam KL jugak lebih kurang sama senarionya. Anggaran aku , puluhan ribu pekerja dari negara kita yang berulang-alik dan berkerja di sana . Tu yang pi keja sana naik motor aku tengok ramai sekali dan dah macam ulat aku lihat mengambarkan betapa banyaknya motor saban hari beratur kat CIQ setiap hari.

1/2 jam lebih sangkut atas tambak dan akhirnya apabila melalui laluan bas,barulah sampai ke CIQ Woodland pula. Kena turun sekali lagi pasal nak cop masuk imigresen Singapore pula. Panjang woooo barisannya bagi setiap"lane" . Kat 25 minit jugak semua settel. Aku keluar dulu dan tunggu semua anggota rombongan Cik Kiah cukup baru turun dan naik bas semula yang sedia menanti di platform. 

Kelihatan ada sorang dua juga tourist guide berlesen yang dok pegang bendera tunggu anggota rombongan mereka .

Anggaran masa yang aku jangkakan hampir sejam untuk melepasi kedua-dua CIQ . Alhamdulillah dapat direalisasikan pasal kalau naik bas, cepat sikit pasal ada lane khas untuk bas di kedua2 CIQ. Kalau naik kereta masuk Singapore ikut Tambak Johor, kira standard lah mau hampir sejam setengah ke dua jam jugak pasal kereta kena beratur satu2 ikut lane . Aku pernah sangkut 3 jam kat Woodland ni dulu .

Cuma untuk "light travel" macam ni yang takda bawak bagasi besar, sesuailah guna bas kerana masa nak masuk kedua2 CIQ, semua barang kita kena angkut sekali , tak boleh tinggal dalam bas.


cable car dari Vivo City ke Pulau Sentosa


1/2 jam ke 45 minit dari Woodland ke Pulau Sentosa yang terletak di bahagian selatan pulau. Bas bukan boleh pandu laju dan kena ikut "law" pasal kat sini bukan macam tempat kita. Kamera dan polis depa ada kat mana2. Tu sebab kat sini rakyat depa sendiri pun semua patuh pada peraturan lalu lintas, tapi bila lepas tambak dan masuk higway PLUS, berdesup lepas tension . Lagi satu kat sini, kalau ada saman, nanti masa nak keluar tambak je, sistem mereka yang efisien akan keluar data saman dan kena bayar itu jam jugak . Kalau tak, kenderaan yang kena saman tu tak boleh keluar.

Itu yang buat aku heran pasal kenapa kita sejak dari dulu lagi tak boleh buat sistem macam tu . Tu sebab pemandu mereka tak kisah kena saman kat Tanah Melayu pasal bila mereka nak keluar kat tambak nanti, takde pun apa2 tindakan. 

Bukan nak puji negara orang, tapi ingat,yang baik patutnya kita ambil jadikan teladan .


beratur nak masuk
gate baru bukak



Khamis, Ogos 07, 2014

KENTUNG TUNG,TUNG,TUNG,TUNG ...

  بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH

kehijauan masih menyeliputi

Kehidupan ku masih diselubungi suasana kekampungan di teratak buruk ku tepi hutan yang merupakan tempat aku berteduh sejak 25 tahun lalu ketika aku menjejakkan kaki ku ke sini. Embun jantan pagi masih menitik di sini lagi sambil kokokan ayam jantan bersahutan antara satu sama lain berlawan-lawanan menunjukkan kejantanan mereka hampir setiap pagi.

Telur sebiji, riuh sekampung masih praktikal di sini di mana sekor ibu ayam bertelur, maka akan riuhlah sekampung yang mana menganggu rehat ku di dinihari kerana biasanya ia bertelur kat celah2 pasu bunga yang terdapat di sekeliling rumah.


Dulu kalau nak makan ayam kampung, tak perlu beli kat pasar. Cukup hanya malamnya berbekalkan lampu suluh dan jaring . Mengendap dan menyuluh mata mereka dan serkup dengan jaring . Mereka tidur di atas pokok keliling rumah.

Kalau 25 tahun dulu , kemudahan asas di sini tiada,letrik guna generator, air kena angkut, jalan tanah merah,  tapi kini telah berubah sama sekali. Namun yang tak berubah-ubah hingga kini  ialah penunggang motorsikalnya di sini yang punya "lesen agong". Keluar dan jalan sesuka hati dah sebati dengan keadaan di sini dan kepala mereka semua keras hingga tak perlu pakai helmet hahaha

kelihatan teratak usang aku dari kebun aku noreh

Hampir 100% peratus islam, sebuah masjid jamek tersergam di atas sebuah bukit di samping 4 buah surau yang agak besar untuk 4 buah kampung yang terletak di sini. Tok Imam bagi setiap surau di sini akan bergilir bertugas pula selang seminggu seorang di masjid jamek tersebut dan akan bertukar giliran setiap selepas solat jumaat nanti saban minggu.

Ketika aku bersiap2 menyarung celana ku untuk keluar menoreh selepas subuh tadi, kedengaran bunyi kentung , tung,tung,tung,tung,tung ....... yang diketuk berirama berbelas kali sayup2 kedengaran dari sebuah surau di kampung berdekatan. Aku tahu bahawa seorang lagi orang kampung telah kembali mengadap ilahi. Selepas itu pengumuman dibuat melalui pembesar suara tentang kematian "si polan bin si polan" serta meminta seluruh penduduk kampung agar dapat sama2 datang menziarahi dan menguruskan jenazah tersebut. Jenazah akan diuruskan bersama2 secara gotong-royong.

Suasana ini berbeza sekali dengan di bandar yang mana pengurusan jenazah yang menjadi fardhu kifayah telah mula menjadi sumber pendapatan yang lumayan hinggakan sehingga 700-800 ringgit diminta atas nama upah untuk memandi dan mengkafankan jenazah. Itu belum lagi 300-400 ringgit untuk upah menggali liang lahad.

israk yang indah , kubah masjid jamek samar2 di atas bukit tu


Pasti bunyi kentung tung,tung,tung,tung yang panjang ini bukan sesuatu tanda yang menggembirakan tapi kematian itu pasti seperti yang dijanjikan oleh Allah S.W.T.

Ali Imran :185
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.

Al Jumu’ah: 8. 
"Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan".

Hanya di kampung je dengar bunyi kentung ni, kalau kat tengah KL kedengaran bunyi kentung ni , pasti kejap lagi ada yang buat report polis atas alasan ganguan hehehe 

Al Fatihah .

Selasa, Ogos 05, 2014

EDISI RAYA : KETUPAT RENDANG DAN SEWAKTU DENGANNYA

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH

Masa begitu pantas berlalu meninggalkan kita tanpa kita sedari . Rasanya baru je mula puasa 1 Ramadhan, tup-tup, 1 Syawal mengetuk kembali dengan sambutan Aidil Fitri yang merupakan hari kemenangan buat umat islam dan tentu yang berjaya melalui puasa dan dahaga dengan erti kata sebenar seperti yang dituntut oleh Islam sungguh bertuah. Insyallah.

Jumaat lalu , dua hari lagi sebelum Syawal menjelma, aku meninggalkan teratak ku menuju ke KL. Kalau kebiasaannya penduduk kota berpusu meninggalkan kota raya, aku pula menuju ke sana . Kampung halaman isteri ku terletak di ibu kota. 

Tiada lagi kemanisan suasana raya di kampung halaman ku sendiri kerana kedua orang tua ku telah kembali mengadap ilahi. Hanya pusara mereka yang tinggal untuk aku ziarahi .

 
rendang ayam tengah mendidih dalam kuali


Molly, Teddy serta Penny aku angkut sekali balik KL. Mereka tidak dihantar ke Hotel Kucing . Aku masukkan dalam satu carrier besar letak kat tengah-tengah tempat duduk belakang kiri-kanan anak-anak aku. Anak dua, anak kucing tiga dan bini satu, sarat bonet kereta lembu aku hahaha

Bawak keta malam dalam bulan puasa kurang sikit mengantuknya berbanding siang. Siang rasa nak lelap je mata, karang lelap terus ke gaung ketanya hehehe

Semua dah senyap terlena , cuma Penny je lagi tadi mengiaw . Carrier yang bawak tiga ekor tu besar dan luas muat untuk tiga ekor. Tapi biasalah, mesti Molly nak duduk kat depan carrier tu mengadap depan yang buat Penny tak puas hati .

JB-Air Hitam macam biasa agak banyak kenderaan malam tu . Sikit jalan kena brek. Lepas Air Hitam baru clear . Kat area Seremban kat kul 1 pagi jugak, aku lihat kereta banyak berpusu2 menuju selatan. Kereta banyak namun aku lihat ada sesetengah pemandu yang aku gelar "tak faham bahasa" dan ingat jalan ni dia yang punya sorang. Dahlah keta banyak , lepas tu beam lampu tinggi suruh orang ketepi nak cepat  motong .Lihatlah situasi kalau nak high beam lampu tu suruh orang ketepi  , kalau semua keta dok berderet beratur panjang, maknanya jalan tengah sesak . Itu pun tak boleh fikir ke. 

Lainlah yang jenis khayal bawak 80 km sejam kat lorong kanan highway yang lengang, bolehlah high beam mereka. Tapi biasanya aku tetap tak highbeam pemandu macam tu, just bukak signal yang menandakan aku nak memotong. Tapi kalau dah seminit jugak dia buat tak tak tahu syok sendiri, baru aku highbeam sekali je .


belum siap masak lagi rendang ayam ni


Tiba KL kat pukul 2.00 ++ pagi jugak . Aku kalau penat dan tidur dah terlepas time nya, memang liat sikit mata ni nak lelap. Kemas itu ini, angkat itu ini, kul 3 lebih baru aku lelap . Dapat sejam dua pun jadilah . Lepas subuh nanti boleh sambung balik . 


Malam Raya.

Biasalah , bini aku anak sulong. Jadi tetiap tahun sibuklah dia bersilat kat dapur dibantu oleh adik2nya .Ibu mertua aku pun dah tua dan tak berapa sihat . Memang dah 5-6 tahun , tak kasi dia ke dapur . Malam raya, ketupat dan rendang semua dah siap masak. Ketupat palas pun ada dimasak sekali manakala lemang macam biasa, adik iparnya bawak .Lodeh dengan sambal kacang nanti sebelum subuh baru masak.Memacam dimasak sebagai juadah dengan ayam masak merahnya, rendang campur yang terdiri dari daging lembu dengan hati , paru dan bahagian dalamannya dicampur sekali.

Kalau kat kampung , sibuk dengan marhaban yang biasanya hari ke 2 syawal. Kat KL ni malam raya, sibuk dengan kumpulan yang akan datang dari rumah ke rumah bertakbir dan bertahmid. Lagi satu raya area KL ni, malam raya memang bising dengan dentuman mercun dan bunga api di sana-sini. Sini senang banyak stok mercun rasanya.

1 Syawal .
Macam biasa , Masjid Nur Saadah yang menjadi tumpuan setempat. Kat tepi masjid tu ada padang bola. Aku lihat Nepal dan Vietnam rupanya dok lawan bola . Heran aku, dia orang ni mesti main dari subuh hehehe

Masjid ni dah tak dapat menampung lagi limpahan jemaah . Toleh kiri-kanan, kekadang rasa macam kat Bangladesh pun ada, kat Indonisia pun ada kerana masjid ni menjadi tumpuan mereka yang bekerja mancari rezeki dan tinggal disekitarannya.

8.30 pagi solat sunat aidilfitri bermula, tapi pukul 10 lebih jugak baru sampai rumah yang tak jauh pun kerana pagi ni tok khatib baca khutbah hari raya panjang sekali lebih sejam .  

Pagi raya macam biasa, anak-anak buah dok beratur salam sambil collect duit raya .Kemudian aku dok setting tempat untuk sessi fotografi setahun sekali.


lodeh not londeh ya




OK, rasanya masih belum terlewat lagi buat aku membuat ucapan buat rakan-rakan maya sekalian . Aku tak layak buat ucapan kat surat khabar kerana aku bukan perantau hehehe

Kesempatan ini , aku bapak itam @ SCP serta ahli keluarga  ingin memohon ribuan ampun dan maaf andainya ada penulisan aku yang menyinggung hati dan perasaan kalian semua kerana aku hanya seorang hamba Allah yang terlalu kerdil dan banyak kekurangan dan tak lepas dari kesilapan.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

Jom jemputlah jamu juadah yang terhidang tu
tapi jamu mata jelah


rendang ayam

aku suka gaul sekali ketupat rendang dengan kari lembu


kuah kacang kalau takda tak sah
tapi biasanya kuah kacang akan habis dulu