WARGA SCP

Khamis, Ogos 29, 2013

PART 51 TANAH SUCI MAKKAH : HUDAIBIYAH SUATU KETIKA DULU

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم السلام عليكم
 ALHAMDULILLAH 

Sebelum ni masa aku sekolah menengah dulu nak periksa SPM masa tu, salah satu subjek yang aku belajar kalau tak salah aku ialah subjek sejarah yang dalam silibusnya ada sekali sejarah islam.

Hudaibiyah masa tu sering muncul dalam buku-buku rujukan dan seringkali intipati perjanjian Hudaibiyah ni akan menjadi soalan yang kerap keluar dalam peperiksaan. Begitu juga masa aku ambil STPM yang ada subjek sejarah islam . Kerana aku memang minat sejarah masa tu kerana dalam aliran sastera yang mana manalah tau satu hari boleh jadi lawyer , maka SPM dan STPM aku kedua2 "score" dalam subjek sejarah tapi cuma aku je tak jadi lawyer sampai laaaa ni hehehe

Kalau dulu aku hanya dapat membayangkan saja Hudaibiyah ni , kali pertama aku memijakkan tanah di bumi Hudaibiyah ni pada tahun 2005 ,lapan tahun yang lalu kalau tak salah aku, akhirnya aku dapat menghayati dengan kepala mata aku sendiri satu peristiwa bersejarah yang berlaku beribu tahun dahulu di sini melibatkan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi titik tolak dan sejarah umat islam ketika itu . 

Hudaibiyah tetap Hudaibiyah dan struktur binaan tersebut masih kekal lagi yang kini telah menjadi lipatan sejarah yang mana kita sebagai umat islam perlu mengetahui  apa yang pernah berlaku disini suatu ketika dulu di sini.





Di sinilah , Perjanjian Hudaibiyah telah ditandatangani oleh Rasulullah s.a.w dengan orang-orang Musyrikin Makkah pada tahun 628 Masihi (6 Hijrah).

Antara intipati perjanjiannya ialah:

Genjatan Senjata 10 Tahun
• Mereka bersetuju untuk berdamai tanpa melibatkan sebarang peperangan selama 10 tahun.Dalam tempoh tersebut mereka tidak boleh bermusuhan.
Musyrikin Makkah Menganut Islam Mesti Dihantar Balik
• Sesiapa di antara orang Musyrikin Quraisy yang menganuti agama Islam tanpa izin walinya iaitu ibu bapa atau penjaganya hendaklah dikembalikan kepada kaum keluarganya atau kembali kepada agama asalnya.
Orang Islam Memihak Kepada Musyrikin Tidak Perlu Dihantar Balik


• Pihak Musyrikin tidak perlu mengembalikan semula andainya terdapat di kalangan umat Islam yang memihak kepada golongan Musyrikin atau menganut agama lain.
Suku/Kabilah Arab Bebas Meyokong Islam Atau Musyrikin


• Setiap orang tahu kabilah bebas sama ada hendak menyokong kaum Musyrikin Makkah atau pihak Islam.

•Ibadat umrah boleh dilakukan tahun berikutnya

• Umrah bagi umat islam pada tahun 628 Masihi itu ditangguhkan ke tahun hadapannya dengan syarat tidak membawa senjata dan hanya dibenarkan tinggal di Makkah tidak lebih daripada tiga hari.




Kepentingan Perjanjian Hudaibiyah

Peluang Menunaikan Ibadat Haji
• Orang Islam berpeluang bagi menunaikan ibadat Haji pada tahun 629 Masihi. Perjanjian ini telah memberi kebebasan kepada orang Islam untuk memasuki kota Makkah dan melakukan ibadat di Kaabah pada bila-bila masa.


Dakwah Islam Semakin Tersebar
• Nabi Muhammad s.a.w dapat merangka program dakwah Islamiyah ke seluruh pelusok Semenanjung Tanah Arab secara aman dan umat Islam semakin bertambah.

Pengislaman Tokoh-Tokoh Penting Quraisy
• Pengislaman tokoh-tokoh penting Arab Quraisy seperti Khalid al Walid, Amr bin Al-As dan Uthman bin Talhah menjadi ikutan kepada orang-orang rab Quraisy yang lain.

Ketokohan/Kebijaksanaan Nabi
• Melambangkan ketokohan unggul Nabi Muhammad s.a.w sebagai pemimpin yang amat dikagumi. Baginda bukan sahaja bijak malah merupakan pemimpin yang mempunyai wawasan dan berfikir 10 langkah ke hadapan.

Negara Islam Madinah Diiktiraf Dan Makin Kukuh
• Perjanjian ini menunjukkan orang-orang Arab Quraisy mengiktiraf kerajaan Islam di Madinah.



Namun begitu, Perjanjian Hudaibiyah telah dicabul selepas dua tahun ditandatangani menyebabkan angkatan tentera Rasulullah menuju ke Makkah dan berjaya menguasai Makkah semula tanpa pertempuran yang besar.

Opsss, cerita pasal Hudaibiah, tempat ni jugak salah satu tempat bermiqat bagi para jemaah . Jadi kalau sesiapa berkesempatan ke sini, bawaklah sekali kain ihram dan nanti sebelum bertolak balik ke kota Makkah, boleh pakai kain ihram , solat sunat ihram dan terus nanti lafaz  niat ihram .

Insyallah.







masjid Hudaibiah kini

Rabu, Ogos 28, 2013

JALAN INI MERBAHAYA BAGI PARA BLOGGER SERTA BAGI ANAK-ANAK YANG NAK MENGHADAPI PEPERIKSAAN DAN JUGA GURU-GURU YANG SEDANG BELAJAR OUT CAMPUS

ALHAMDULILLAH

pekan Sg Rengit
kira persimpangan sebelum ke Pekan Pengerang




Dalam seminggu , pasti sekali aku akan ke area Pengerang untuk menghantar getah beku yang dipesan oleh pelanggan aku . Aku ada 5 customer di area Pengerang tu . Tapi sejak akhir-akhir ni , semenjak dua menjak projek Rapid Pengerang sedang giat dilaksanakan, aku terpaksa mengambil masa yang panjang dalam 45 minit juga untuk sampai di kawasan penghujung Pengerang berdekatan Tanjung Pengelih . 

Ini disebabkan keadaan jalan raya di sini sungguh sibuk sekali dengan deretan treler panjang, lori besar, kato, tractor,bajak, tongkang dan entah apa-apa lagi yang boleh diangkut  yang menyebabkan perjalanan sering terganggu . Depa ni jenis besar2 dan bawak muatan berat pula ke tapak projek . Tu belum lagi yang jenis bawak batu kelikir yang menyebabkan aku sering menjarakkan dari mengikuti mereka kerana kalau terpelanting sebutir kat cermin , tak berbaloi apabila pecah berderai. 

Selalu bila selisih je, aku berserah je pada Allah agar takda yang terpelanting ke arah kenderaan yang aku naiki . Kerana lori-lori dan seangkatan dengannya, keadaan jalan sekarang menghala ke Pengerang agak teruk sekali kondisinya. Lubang dan  pecah sana-sini .Kalau dulu kemalangan jiwa di sini boleh kira dengan jari , tapi sekarang jalan ni dah banyak makan nyawa wooooo

Bulan lepas ketika aku ke sana, masa tu jerebu hebat sedang melanda terutamanya negeri Johor dan kawasan Pengerang ni pun tak terkecuali menerima tempiasnya kerana seberang Pengerang je tu dah Temasik dan depan sikit dah boleh masuk ke Perairan Indonesia.

Kalau tak jerebu, kapal2 besar yang melalui perairan depan tu kelihatan jelas , tapi laaaa ni masa tu, tak nampak apa pun di lautan. Ini pasti membahayakan kerana mereka bisa berlanggar antara satu sama lain kerana jarak penglihatan yang begitu terhad.

Aku bab-bab jerebu ni tak takut kerana jerebu pasti akan berlalu pergi . Yang paling aku takut ialah apabila melalui jalan kat dalam gambar bawah ni kerana ia tetap akan berada di situ selagi ada bulan dan bintang , sepatutnya.....

Aku tetap kena menempuhinya untuk sampai ke Pekan Pengerang dan setiap kali aku melaluinya, aku pasti BUNTU hehehe

Memang unik namanya iaitu Kg. Sungai Buntu. Tapi sedikit masa lagi, pasti semuanya hanya tinggal kenangan di sana dan kawasan sekitarannya apabila perkampungan di sekitar situ akan ditelan dek pembangunan Rapid Pengerang dan semua tanah di sekitaran situ diambil untuk dimajukan manakala semua penduduk akan di pindahkan ke sebuah petempatan baru di sekitar Batu Layar. 

Rasanya akibat terlalu kerap lalu jalan ni semenjak dua menjak, maka aku tengah dalam kebuntuan untuk menulis semula macam kebiasaannya di SCP ngeh,ngeh,ngeh

Tu sebab aku hanya asyik merayau je ke beberapa rumah orang lain dan membaca hinggakan ada yang aku dah khatam setiap n3 mereka dari awal mereka menulis hingga sekarang hehehe

Harap lepas ni aku tidak akan merasa buntu lagi hehehe

Buntu kalau lalu sini woooo

Rabu, Ogos 07, 2013

SALAM AIDIL FITRI BUAT RAKAN SEMUA

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH

Dengan rasa rendah diri
saya Pak Itam  a.k.a Bapak, tuan punya SCP
serta anggota keluarga saya ingin memohon
ampun dan maaf 
zahir dan batin
andai kata terkasar bahasa
andai kata tersilap tutur kata
atas apa jua kesilapan 
samada disedari atau tidak
sempena Hari Raya Aidil Fitri
yang bakal menjelma Khamis ini

Yalah, kitakan manusia 
kekadang ada tulisan kita yang mungkin mneyinggung hati orang
tanpa kita sedari
Kekadang ada komen kita yang gayanya bergurau
tapi salah dimengertikan 

Semoga kedatangan Shawal ini
akan membawa sejuta kebahagiaan
akan membawa sejuta keriangan
buat kita semua

Dalam kita bergumbira
ingatlah insan-insan yang serba kekurangan
semoga kedatangan Shawal ini 
akan menjadikan kita insan yang lebih baik
dari hari yang sebelumnya

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN


Khamis, Ogos 01, 2013

PART 50 TANAH SUCI MAKKAH : BOLEH KE TIDAK BAWAK BENDA ALAH NI

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH

 
 Nampak Baitullah dengan jelas dari atas
 tapi sekarang tidak lagi kerana terlindung dengan laluan tawaf sementara

Boleh ke Tidak
Boleh ke Tidak
Sering timbul pertanyaan dan perasaan ini dalam hati rasanya pada kebanyakkan jemaah bila nak melangkah ke dalam Al Haram. Benda alah yang dimaksudkan adalah boleh ke tidak bawak kamera masuk dalam Al Haram . Bukan apa, jangan pulak salah faham . Tujuan kita bawak masuk benda alah ni adalah untuk merakamkan detik2 indah untuk tatapan dan simpanan kita sebagai "kenangan terindah" kerana untuk ke sini nampak mudah , tapi kalau takde "surat jemputan dari Allah", maka tak sampai le kita ke sini.

Jadi sebagai manusia biasa, lumrahnya pasti kita nak juga rakamkan sedikit kenangan di dalam Masjidil Haram.Tak salah rasanya , tapi janganlah pulak melampui batas berposing sakan siap melompat2 lagi dengan berlatar belakangkan Baitullah dan bergaya ala-ala model pulak hehehe
 
sesak di Hijir Ismail
kalau sekarang tak dapat gambaran ni dari atas kerana terlindung 
oleh laluan tawaf sementara 


Semasa mengemas bagasi sebelum bertolak ke Tanah Suci Makkah, aku bercadang membawa 2 buah kamera . Satu sudah pasti DSLR yang cadangnya untuk mengabadikan foto-foto di persekitaran luar Al Haram dan takde niat mengambil risiko untuk membawanya ke dalam Masjidil Haram untuk merakamkan foto2 dari dalamnya. Namun dalam hati kecil ku selalu berkata , "kalau dapat rakamkan dengan DSLR dari dalam Masjidil Haram, pasti hasilnya agak cantik"

Jadi aku cadang bawa satu camera compact yang kecil nanti untuk aku rakamkan foto-foto dalam Masjidil Haram jika berkesempatan.

Kita merancang, Allah tentukan.

Camera compact aku tertinggal kat kebun dekat mesin gelek getah  yang hanya aku sedari semasa aku bertolak dari HC ke KL . Takpelah, kalau Allah tetapkan begitu, terima jelah. Rupanya Allah nak gantikan aku dengan peluang yang lebih baik kerana aku memang tak menyangka yang Allah dah bagi aku kebenaran untuk bawak DSLR dalam Masjidil Haram . 

Yang tersurat dan tersirat , 
Mana lebih besar.

Kebenaran dari penjaga pintu yang sentiasa memeriksa beg jemaah yang memasuki ke dalam Masjidil Haram atau kebenaran dari Allah S.W.T. Penjaga pintu sama juga seperti kita , makhluk kecil di sisi Allah . Yang tersirat adalah kita mintalah pada Allah atas apa jua yang kita rasa nak minta. Beri atau sebaliknya adalah urusanNYA. Kalau diberi Alhamdullilah dan jika sebaliknya, kita sebagai insan yang kerdil mestilah juga bersyukur kerana ada hikmahnya Allah tak tunaikan permintaan kita.



Aku insan yang lemah . Walaupun ada permintaan aku yang Allah makbulkan dengan cepat, tapi bukan semua apa yang aku pinta pada Allah dalam kehidupan ini , Allah makbulkan dengan begitu cepat sekali .  Ada yang bertahun-tahun juga baru Allah makbulkan. Sudah tentunya Allah nak aku terus minta dan meminta dengan erti kata lain doa dan terus berdoa yang sebenarnya terkandung banyak hikmah untuk aku renungkan .

Kerana tak bawak camera compact tu tadi, maka sebagai gantinya pastilah camera hand phone sebagai galang gantinya . Bila sahaja masa terluang semasa aku menghabiskan masa ku beribadat dalam Masjidil Haram, aku rakamkan saat-saat indah di sana dengan menggunakan HP aku . Tak sangka pulak yang hasil dari  camera iphong yang aku rakamkan pada ku memuaskan walaupun ia hanya 8 Mega Pixel je .Namun camera HP sukar nak dapatkan gambaran yang jelas bila di zoom. 

Bagi yang selalu pakai kamera korang tau tak apa maksud Pixel tu. Pixel tu adalah singkatan dan membawa maksud "picture element" atau butiran yang akan dirakamkan menjadi sesebuah imej.

Maksudnya kalau lebih banyak pixelnya, maka lebih banyak butiran yang akan dirakamkan menjadikan foto tersebut nanti hasilnya pasti lebih memuaskan dari camera yang mempunyai pixel yang rendah.DSLR cabuk aku yang aku beli beberapa tahun yang lalu pun pixelnya sama jugak dgn iphong tu, tapi yang membezakan ialah ia "Single Lenses Reflector (SLR)" dan boleh zoom . Tu kalau aku dapat bawa masuk dan dapat rakam foto dari tingkat atas Masjidil Haram, pasti best.

Rupa-rupanya tanpa aku sedari sebagai insan yang lemah, Allah Yang Maha Besar mendengar bisikan hati ku ini.

Nak jadi cerita sedang aku duk mengelamun kat lantai tawaf memerhatikan Baitullah , aku terlihat seorang jemaah muslimah yang agak muda berbangsa india rasanya sedang melakukan tawaf . Tapi yang menarik perhatian ku , tergantung dilehernya DSLR . 

Kaget aku dibuatnya. Ialah, manakan tidak. Kebiasaannya kita dengar kalau jemaah muslimah yang bawak compact camera pun tak dibenarkan masuk , ini bapak kamera tergantung kat leher lagi .Itu sebenarnya petunjuk dari Allah buat ku. 

Macam aku kata tadi. Mana lebih besar kuasanya, 
"Si Penjaga Pintu Masuk Masjidil Haram" atau Allah Tuhan Yang Mentadbir Sekalian Alam.

Setiap apa yang berlaku sebenarnya menjadi petunjuk dan pedoman buat kita sebenarnya ada kaitannya dengan  kehidupan seharian yang kita lalui dan kita cuma implikasikan untuk menjadikan hari ini lebih baik dari hari semalam yang kita lalui sebagai seorang insan bergelar muslim.

Panjang dah rasanya aku melalut pagi ni dan cerita "BOLEH KE TIDAK BAWAK BENDA ALAH NI" tak habis lagi sebenarnya hehehe

Nanti ada masa aku sambung ye.

Semua yang datang dari penulisan ku hari ini adalah dari kelemahan aku sendiri dan harap sedikit perkongsian hari ini dapat menceriakan kehidupan kita .

Insyallah

To be continued  
opssss sebelum menutup tirai
pagi ni cuaca panas tidak , sejuk pun tidak
redup je dan semalam hujan turun jam 4.00  pagi .
Dah lama rasanya tak hujan tengah hening malam pertukaran antara malam dan siang tu
Mungkinkah semalam "Malam 1000 bulan"

ada jemaah tersepit kat Hajarul Aswad tak boleh keluar 
ombak manusia di penjuru ini terlalu kuat 
sapa tak tahan pasti terhambur keluar
namun semua tu atas ketentuan Allah jua sebenarnya





semua foto di atas dirakam dari tingkat atas Masjidil Haram
dengan lens 18-200 Nikkor VRII
kira-kira jam 9 pagi
25 Mac 2013