WARGA SCP

Ahad, Disember 29, 2013

PULAU MUTIARA : BLUE HOUR YANG INDAH DAN MENDAMAIKAN

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH


Pasti setiap insan yang normal punya keinginan untuk rasai nikmat bahagia, ingin rasai nikmat kesenangan , ingin rasai nikmat kesejahteraan dan pelbagai nikmat lagi dalam kehidupan . Namun untuk mencapai segala apa yang diimpikan, bukan semudah yang disangka. Lainlah jika kalangan kita ini lahir dalam "dulang emas" .

Namun sejak akhir-akhir ini , kita sering disajikan dengan berita di dada-dada akhbar tentang penangkapan pesalah-pesalah rasuah yang tanpa mengira umur, pangkat dan latarbelakang , bangsa dan agama . Tentu kalangan mereka ini tewas dengan bisikan hawa nafsu dan menjadikan profesion yang mereka jalankan sebagai satu jalan mudah untuk mendapat keuntungan bagi diri mereka . Di mana silapnya, aku sendiri tak tahu kerana baru-baru ini aku terbaca sebuah kajian yang dijalan oleh seorang ahli akedemik yang mengatakan anak-anak kita yang masih dibangku sekolah lagi mengatakan jika berpeluang, mereka sanggup menghalalkan dan menerima rasuah demi kelangsungan hidup apabila mereka berada di alam pekerjaan nanti. Yang membimbangkan melalui kajian yang dijalankan, hampir 70% respoden terdiri dari pelajar memilih untuk melakukan rasuah berbanding 30% lagi menolaknya.

Di manakah silapnya ?????
Ini adalah salah satu tanda akhir zaman .

Surah Al-Baqarah ayat 168 : 

"Wahai sekalian manusia! 
Makanlah dari apa yang ada di bumi, 
yang halal lagi baik 
dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan 
kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu".
 


Bukan senang untuk menjadi senang . Namun sebenarnya semuanya bergantung pada seketul daging yang bergelar hati yang pasti semua insan bernyawa memilikinya . Aku sendiri sekarang nak kata senang , tidaklah sampai begitu. Namun limpahan rezeki hasil dari keringat aku menoreh dan menjual getah sentiasa Allah kurniakan tak henti-henti. Kalau sedikit bulan tu hasil susu getah yang ditoreh, sikitlah . Kalau banyak bulan tu, banyaklah.Namun berkat usaha , doa dan tawakkal aku kepada Allah, "susu getah" tu sentiasa mengalir untuk aku meneruskan kehidupan tu bersama-sama anak isteri aku.

Konsep aku mudah. Bukan kuantiti, tapi kualiti. Antara doa yang sentiasa aku amalkan dari dulu ialah memohon ke hadrat  Allah S.W.T agar sentiasa membuka pintu rahmat dan rezeki seluas-luasnya dan kurniakan kepada kami rezeki yang benar-benar halal lagi diberkati dunia dan akhirat.

Terkenang aku peristiwa 20 tahun lebih yang lalu . Masa tu  kalau beli ikan , yang kami mampu hanya beli ikan kisi(kerisi) je hinggakan dalam seminggu , pasti 3-4 hari lauknya ikan kisi yang reganya dalam 2-3 ringgit sekilo. Kami berdua je , belanja dapur barang basah tak lebih 5 ringgit sehari. Namun makan tetap makan dan tak pernah sampai kebuluran. Alhamdulillah walaupun tak mewah makannya.

Tiada lampin pakai buang buat anak masa tu. Yang ada lampin kain yang akan sentiasa dibasuh apabila kotor . Masa tu katil bujang aku je yang menjadi katil kelamin . Dengan sewa rumah kayu termurah ketika itu 25 ringgit sebulan yang memisahkan dengan rumah sewa sebelah hanya dengan sekeping plywood . Kalau nak cakap laki bini kat bilik tidur memalam pun kena cakap pelan-pelan kerana kalau bunyi kentut pun, jiran sebelah boleh dengar. Tu yang bahaya bagi pasangan yang baru kawin dan nak projek dengan isteri memalam pun macam pencuri kena senyap-senyap dan pelan-pelan hahaha



Ada pepatah mengatakan "peristiwa lepas jangan dikenang". Tapi peristiwa lepaslah yang penuh suka duka ini yang menjadikan dan membentuk sikap dan diri aku yang mesti setiap masa bersyukur dengan  segala nikmat kurniaan Allah tak kira apa jua yang diberiNYA.

Allah kurniakan nikmat dan rezeki dalam pelbagai bentuk. Nikmat kesihatan juga suatu rezeki pemberian Allah , begitu juga dengan nikmat masa dan pelbagai lagi nikmat dan rezeki . Kehidupan mula berubah bila aku mulakan profession bersama isteri ku sebagai penjual minuman . Penat masa tu memang penat. Hari2 biasa dengan menoreh manakala sabtu dan ahad serta hari cuti am bergelumang melayan pelanggan di kedai minuman .Kira kami melakukan dua pekerjaan masa tu. Masa tu apabila Allah bagi rezeki di kedai minuman, nikmat waktu pula mula terhakis dengan sendirinya.

Manakan tidak , tiada istilah rehat dan kerja 365 hari setahun. Sampai lepas sembahyang raya apabila pulang ke kampung, jam 9 pagi je kami dah bertolak balik ke teratak kami dan pukul 12.00 tengahari lebih sikit , kami dah beraksi kembali membacuh minuman kerana kedai yang kami sewa terletak di kawasan pelancongan . Aku pun dah jadi sama macam bangla yang merantau ketika itu masa hari raya . Kemeriahan hari raya terpaksa dikorbankan kerana nak cover sewa kedai setelah sebulan ramadhan tak berniaga.

Rezeki yang Allah bagi masa tu perlu ditebus dengan tiada istilah berehat di Hari Raya dan apa jua hari cuti perayaan. Masa dah berniaga air tu la, baru ada rezeki kalau nak ganti dan beli pakaian. Kalau tak , apa baju yang aku ada, tulah yang aku pakai hingga lusuh .  Masa tu kalau orang sedekah baju terpakai mereka yang masih elok yang tidak mereka kehendaki, aku dah rasa cukup bahagia.


Menatap keindahan "blue hour" ketika lepas subuh di sini mengembalikan semula ingatan ku betapa sukarnya pada mulanya untuk kami memulakan kehidupan berumahtangga dalam usia yang sangat muda ketika itu dalam usia kami 22 tahun ketika itu . Sepasang ibu bapa muda yang serba serbinya penuh kekurangan , namun kebergantungan kami pada Allah berkat usaha, doa dan tawakkal serta tekad dan tak pernah mengalah meyebabkan kami berjaya mengharungi segala suka duka, pahit manis ketika itu dan apabila dikenang, ia menjadi motivasi dan semangat pada ku agar tak lupa asal usul dan sentiasa berpijak di bumi nyata yang segala nikmat dan pemberian hanya sementara sahaja . 

Kebahagian dan kesenangan itu milik Allah sebenarnya, aku hanya sebagai  pemegang amanah sementara dan seketika cuma .

Aku merasa puas kerana semuanya atas izin Allah dan hasil titik peluh kami yang kami usahakan tidak terbabit dengan unsur-unsur rasuah dan syubhah yang ketika ini macam aku katakan , ramai yang mengaku beragama islam, namun memilih jalan yang salah itu untuk mengecapi kesenangan.

Sabda Rasulullah S.A.W: 
 "Dari Abdillah bin Amru Radiallahuanhuma ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah". 
 (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi)

Ohhhh,
Indah sungguh kehidupan ini yang penuh warna-warni yang Allah pinjamkan buat seketika.

Alhamdulillah. 



6 ulasan:

  1. Alhamdulillah, sekarang tuan sudah mencapai kemajuan dalam hidup.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah kak mah

      semua dgnizin dan kehendak Allah jua

      p.s : seronok baca dan tgk abg mat meneroka bumi Africa

      Padam
  2. Nampaknya kehidupan saya yang 20 tahun lalu lebih susah daripada tuan.

    Sebenarnya lampin pakai buang tidak elok digunakan kerana ia mencemarkan alam sekitar. Lampin kain yang perlu dibasuh setelah digunakan itulah yang jauh lebih baik kerana ia menyelamatkan kulit bayi dan alam sekitar. Di Amerika Syarikat (masa saya tinggal di sana dulu), pemakaian lampin pakai buang tidak digalakkan. Khidmat mencuci lampin kain diberikan secara percuma oleh sekumpulan persatuan sekiranya kita menggunakan lampin kain untuk bayi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sekarang mak pak semua pakai lampin pakai buang pasal mudah hehehe

      Padam
  3. cantik gambar2 yang diambil

    BalasPadam