WARGA SCP

Rabu, Oktober 05, 2011

MAKKAH : AKU INSAN YANG FAKIR DAN MISKIN DENGAN ILMU MU YA ALLAH


ALHAMDULILLAH

Rukun-rukun umrah ada 5 perkara :

1. Berniat ihram melakukan umrah
2. Tawaf
3. Sa'ie
4. Bergunting atau bercukur
5. Tertib

Manakala rukun2 haji ialah 6 perkara :

1. Niat ihram mengerjakan haji
2. Wukuf di Arafah
3. Tawaf di Kaabah
4. Sa'ie di antara Bukit Safa dan Marwah
5. Bergunting atau bercukur rambut
6. Tertib pada kebanyakan rukunnya

Itu adalah perkara paling utama dan asas yang perlu kita ketahui dan perlu kita dalami pula cara2 pelaksanaannya sebaik-baiknya dalam melaksanakannya nanti bila kita dijemput menjadi tetamu Allah.

Itu baru rukun , belum lagi masuk bab perkara2 wajibnya.

Melalui pengamatan diri ku insan yang lemah lagi serba kekurangan ni dan masih terus belajar dan terus belajar, terdapat segelintir tetamu2 Allah yang tidak mendalami secukupnya ilmu2 berkaitan sehinggakan menjejaskan keseluruhan ibadat2 tadi .

Ramai juga yang beranggapan bahawa para mutawif ini akan sentiasa membimbing mereka setiap masa semasa melakukan perkerjaan2 umrah dan haji ini.

INGAT

Para mutawwif HANYA akan membimbing para jemaah melakukan pada peringkat permulaan sahaja dan selepas itu semuanya perlu dilakukan sendiri . Jadi ilmu dan pengetahuan perkara2 berkaitan sangat perlu dan penting kerana jika tidak, tidak sempurna nanti perkerjaan umrah atau haji kita dan pasti ia tidak diterima oleh Allah dan kita pula menanggung segala dosa akibat perbuatan kita yang tidak menepati segala apa yang telah digariskan dalam melakukan segala perkerjaan umrah atau haji itu tadi.
Aku pernah bertemu dengan sekumpulan jemaah yang memulakan saei bukan dari bukit safa, tetapi sebaliknya dari bukit Marwa akibat kekeliruan dalam mengenal pasti mana satu Bukit Safa .

Mengenali mana satu Bukit Safa dan mana satu Bukit Marwa juga satu ilmu yang perlu dipelajari apabila tiada lagi mutawif yang mengiringi kita .

Kumpulan tesebut kemudian telah bergunting dan bertahalul. Mujur keesokkan harinya , dengan izin Allah juga, mereka sedar akan kesilapan tersebut lalu perlu membayar dam akibat darinya.

Cuba bayangkan jika kesilapan tersebut tidak disedari hingga mereka kembali ke tanah air .

Aku juga pernah bertemu dengan jemaah yang dalam keadaan ihram dan belum sempurna lagi segala rukunnya, tetapi bila kembali ke bilik penginapan , disalin pakaiannya dengan pakaian biasa yang berjahit siap bersongkok sedangkan sepatutnya ia sentiasa menjaga segala pantang larang dalam ihram selagi ia belum sempurna segala rukunnya. Tiada mutawwif ketika itu disampingnya yang hendak menegurnya.

Kemungkinan mengikut kefahamannya, hanya perlu berihram semasa melakukan tawaf dan saei dan waktu2 lain tidak perlu memakai ihram .

Mutawwif hanya sekadar pembimbing sementara sahaja dan ilmu dan pengetahuan kitalah yang sebenarnya akan membimbing kita seterusnya dalam melakukan segala perkerjaan umrah dan haji ini.

Ilmu agama tidak akan selesai dituntut hinggalah ke akhir hayat kita .

Macam dedulu , kalau tak salah aku, jemaah yang nak berwuduk sebelum tawaf diminta bertaklik kepada cara mazhab hambali kalau tak salah aku kerana kalau berlaku persentuhan masa tawaf , tak batal mengikut mazhab tersebut.

Apabila telah terlalu ramai , persentuhan sudah tidak dapat dielakkan.

Namun seperti yang diajar dan telah diputuskan dalam "muzakarrah" oleh Ulama dan Mufti dan boleh digunapakai terdapat 3 pendapat dalam mazhab Shafie sebenarnya,

1. Pendapat pertama , jika tersentuh antara bukan muhrim, maka terbatallah wuduk kedua-duanya.

2. Pendapat kedua, jika tersentuh , maka org yang menyentuh batal wuduknya dan orang yang disentuh tidak batal.

3. Pendapat ketiga, tidak terbatal wuduk kedua-duanya jika tersentuh dalam keadaan tidak timbul rasa syahwat.
beginilah keadaannya laman kaabah
padat sangat dengan jemaah sedang melakukan tawaf ifadah
pada musim haji
persentuhan pasti berlaku
melainkan dengan izin Allah jua

Tidak timbul lagi masalah kita kena bertaklik kepada mazhab selain shafie hanya kerana masalah berkaitan batalnya wuduk akibat persentuhan tadi sedangkan sepatutnya sekiranya kalau kita nak bertaklik kepada mazhab hambali contohnya dalam mengangkat wuduk tadi, kita sepatutnya mengetahui sedalam-dalamnya cara mereka berwuduk. Bukan ambik "sekerat-sekerat"

Jadi ilmu yang sangat berguna di sini ialah kita disarankan agar sentiasa mengguna pakai pendapat yang ke tiga itu yang telah diputuskan oleh ulama dan mufti dalam perjalanan dan semasa untuk menunaikan tawaf dan juga dalam perkara2 yang dibenarkan kerana kalau kita nak berpegang kukuh pada pendapat yang pertama , kemungkinan besar dalam seminggu juga nanti baru selesai tawaf haji atau tawaf umrah kita kerana bilangan jemaah terlalu ramai bertawaf dan kebanyakkan jemaah muslimah yang bukan bermazhab shafie tidak memakai stokin kerana itu bukan anggota aurat mereka .

Dah menjadi kelaziman kita pasti akan tersepak atau terlanggar kaki jemaah2 muslimah ini tadi,

Apa yang nak aku kaitkan di sini ialah aku telah bertemu dengan seorang jemaah lelaki yang tetiba nak keluar ke bilik air semasa baru nak mulakan tawaf semasa kami sedang menuju ke laman kaabah. Lantas aku bertanya ,

"nak ke mana"
...
"nak pegi bilik air sekejap pasal nak berwuduk, terlanggar dan tersentuh tadi kaki jemaah lain masa nak turun laman kaabah"

lantas aku pun menerangkan kepadanya berkaitan pendapat oleh imam besar kita Shafie berkaitan kemusykilan perkara tersebut.

Syukurlah dia boleh menerimanya , kalau dia berkeras juga, kemungkinan besar (dengan izin Allah jua) mau seminggu lagi baru dia siap tawaf .

Alhamdulillah, aku dapat berkongsi sedikit ilmu yang mungkin baru buatnya .

Aku di sini ingin sekali mengingatkan diri ku sendiri yang aku sendiri sebagai manusia yang lemah tak terlepas dari kesilapan . Jadi aku sentiasa cuba memantapkan ilmu di dada dan yang lain2nya , aku serahkan kepada Allah .

Insyallah.

Ya, Allah

Kurniakan kepada ku segala ilmu yang bermanafaat kerana sesungguhnya aku ni masih fakir dan miskin akan ilmu Mu .

Itulah antara beberapa doa yang sentiasa ku ucapkan setiap kali meneguk air zam2 apabila melangkah ke dalam Masjidil Haram atau Masjid Nabawi..

Moga Allah sentiasa mempermudahkan dan menerangkan hati ku untuk terus mempelajari segala ilmu agama ini.

Sekali lagi Ya Allah,
Aku masih fakir dan miskin dengan ilmu mu Ya Allah
Semoga aku dapat terus mendalami ilmu2 mu ya Allah selagi hayat di kandung badan.

Selasa, Oktober 04, 2011

MAKKAH : IKAT BEBETUL, KARANG TERBURAI

Hudaibiyah, salah satu tempat bermiqat yang terletak agak jauh juga dari kota suci Makkah. Ia terletak dalam tanah halal . Tapi amat jarang mereka yang hendak berniat ihram ke sini berbanding dengan Tanaem yang paling ramai menerima kunjungan jemaah .


Melihat keadaan anak muda ini dari jauh mengenakan kain ihram, aku terkenang kali pertama aku mencuba memakai kain ihram ni 7-8 tahun yang lalu . Untuk yang pertama kali mengikat kain ihram ni, pasti akan menghadapi sedikit kesukaran , tapi kalau dah tau caranya,lepas tu insyallah tak kan timbul masalah.

Yang mengajarku memakai ihram buat pertama kali ialah Tn Hj Khalil yang kerap kali juga pergi ke Makkah. Dia ni kira selalu jadi ketua rombong bagi sebuah agensi pengurusan umrah bagi kawasan BP.

Peristiwa tersebut berlaku di rumah ku sebulan sebelum kami 4 beranak menjejakkan kaki kali pertama ke tanah suci . Dari situlah , aku terus mempelajari dan mempelajari segala ilmu berkaitan haji dan umrah samada melalui secara berguru atau melalui pembacaan.

Kain ihram ni ada saiz S,M,L,XL bergantung pada tubuh badan kita, begitu juga dengan talipinggangnya.

Kain ihram bagi lelaki ni kalau tak pakai dan ikat kemas2 dan tak kena cara pemakaiannya, karang ada yang tak sepatutnya "terkeluar" dari persembunyiannya , tak pasal2 menjerit mak2 arab dan pak2 arab,

"haram, haram, haram"

di tanah haram pulak tu...

kita ni yang tak tahu cakap arab mesti ingat apa yang haram yang dijerit oleh mereka lalu berfikiran,

"mesti depa kata nak pi haram tak,
jom naik dengan depa "

hehehe

Tu sebab kena belajar supaya pandai pakai ihram ni dan kemudian diikat gunakan tali pinggang besar tu supaya dia tak melondeh dan menutup aurat .


Kain ihram ni bukan macam kita pakai kain pelikat pasal kain ni tak berjahit dan bersambung. Kalau kita main balut je macam balut nak buat popia, karang sukar pulak nak berjalan dan duduk antara dua sujud. Itu sebab ada cara pemakaiannya . Jemaah muslimah pula kurang bermasalah pasal ihram kerana cara mereka memakai telekung untuk solat itulah cara pemakaian ihram mereka . Semua tertutup kecuali muka dan dua tapak tangan sahaja.

Cerita pasal ihram ni,
aku memang suka ihram yang dah kira "season" sikit pasal bulu2 kain dia dah gugur lagi berbanding dengan yang baru .Kalau jenis yang baru lagi ihramnya, tu yang kita tengok dok melekat penuh memutih kat atas karpet masjid .

OK, dah pakai ihram,
yang paling utama ialah mematuhi segala pantang larangnya.
dan juga kita memahami falsafah dan apa yang tersurat dan tersirat disebalik segala pantang larang yang Allah kenakan itu

Alhamdulillah.



Isnin, Oktober 03, 2011

MAKKAH : جمل a.k.a JAMAL

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم

السلام عليكم
ALHAMDULILLAH

Kami berkesempatan mengunjungi sebuah ladang unta yang terletak di sebuah padang pasir berdekatan Hudaibiyah. Boleh tahan juga jaraknya dari kota Makkah . Di sana terdapat beberapa buah ladang unta yang menjadi tumpuan para jemaah yang merupakan salah satu dari program ziarah luar jika berada di kota Makkah.

Unta-unta ini tidak dibiarkan bebas berkeliaran. Kalau tak kurung, mau sampai Qatar dia berjalan kerana seperti yang kita ketahui, unta atau lebih dikenali sebagai kenderaan padang pasir boleh hidup lama tanpa minum dan memang Allah jadinya ia sebagai salah satu tunggangan bagi kaum yang tinggal di padang pasir sejak dari zaman para nabi kita terdahulu.


Bahasa Arab ,unta dikenali sebagai جمل (jamal) atau bahasa Ibrani גמל (gahmal).






aku suka tengok unta yang kulitnya keputih-putihan sikit ni
mesti dia ni "otai"
kira handsome hehehe

Kisah mengenai unta banyak juga disebut di dalam kitab suci Al Quran , antaranya dalam surah Hud yang menceritakan tentang Nabi Salleh yang diutus Allah SWT, mengajak kaum Tsamud untuk bertauhid mengakui keesaan Allah S.W.T.

Namun, kaum Tsamud tidak menerima begitu saja. Mereka minta ditunjukkan satu mukjizat sebagai bukti bahawa Nabi Salleh adalah utusan Allah. Mereka telah meminta seekor unta betina keluar dari celah batu.



"cute"

Nabi Salleh pun berdoa meminta kepada Allah S.W.T. Doanya dikabulkan, dan keluarlah seekor unta betina dari celah batu besar. Dia lalu berpesan kepada umatnya, jangan sampai menyakiti unta tersebut, apalagi membunuhnya. Azab Allah amat dahsyat, kalau sampai unta tersebut dibunuh seperti dalam ayat di bawah :

"Hai kaumku, inilah unta betina dari Allah sebagai mukjizat (yang menunjukkan kebenaran) untukmu, sebab itu biarkanlah dia, makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya dengan gangguan apa pun yang akan menyebabkan kamu ditimpa azab yang dekat."
(Hud: 64)














Selang beberapa waktu, salah seorang umatnya mengingkari dan nekad membunuh unta tersebut.

Nabi Salleh amat marah. Dia tahu, azab Allah akan datang dan menghapuskan kaumnya. Kerana, “mukjizat unta” hanyalah simbol kepatuhan kaum Tsamud kepada Allah yang Maha Esa.

Tidak lama kemudian, Allah memperlihatkan kemurkaannya dengan menghantar angin puting beliung dengan suhu dan udara yang sangat dingin menyelimuti hari-hari kaum Tsamud dan juga diiringi gempa sangat dahsyat.

Akhirnya, kaum Tsamud tenggelam ditelan bumi. Yang tertinggal hanya beberapa rumah dan istana gunung batu sebagai hasil karya mereka dan juga sebagai peringatan dan ikhtibar kepada kita semua.


"Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum Tsamud saudara mereka, Salleh. Ia berkata: 'Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain-Nya. Sesungguhnya telah datang bukti yang nyata kepadamu dari Tuhanmu.

Unta betina Allah ini menjadi tanda bagimu, maka biarkanlah dia, makan di bumi Allah, dan janganlah kamu mengganggunya, dengan gangguan apa pun, (yang kerananya) kamu akan ditimpa seksaan yang pedih.

Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum 'Ad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah;, maka ingatlah nikmat- nikmat Allah dan janganlah kamu merajalela di muka bumi dengan membuat kerosakan.

Pemuka-pemuka yang menyombongkan diri di antara kaumnya berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah yang telah beriman di antara mereka: 'Tahukah kamu bahawa Saleh diutus (menjadi rasul) oleh Tuhannya ?' Mereka menjawab: 'Sesungguhnya kami beriman kepada wahyu yang Saleh diutus untuk menyampaikannya.' Orang-orang yang menyombongkan diri berkata: 'Sesungguhnya kami adalah orang yang tidak percaya kepada apa yang kamu imani itu."
( al-araf: 73-76)



Alllahuakbar,
Sesungguhnya kunjungan ku hari ini ke ladang unta ini mengingatkan dan menyedarkan ku bahawa azab Allah amat berat kepada orang yang ingkar akan suruhan dan larangannya.


Ahad, Oktober 02, 2011

MAKKAH : DARI JENDELA KAMAR AL MASSA part ha


بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم


السلام عليكم

Alhamdulillah

Kota Makkah sekarang sudah bersedia menerima kunjungan para tetamu Allah yang telah dijemput olehNYA untuk menunaikan fardhu haji pada tahun ini.

Pada setiap tahun , anggaran 2-4 juta para tetamu Allah akan berkampung di Madinah dan di Makkah dalam menyempurnakan rukun islam yang ke 5 ini.

Bayangkanlah bagaimana sejumlah besar jemaah berkumpul dalam satu2 masa . Pelbagai peringkat umur samada yang muda atau yang tua, lelaki atau perempuan . namun rata2nya adalah jemaah yang agak berumur berbanding segelintir jemaah2 yang masih muda.

Pelbagai gelagat dan karenah dapat dilihat semasa perhimpunan agung ini.

Suasana dan jangkamasa antara mengerjakan umrah dan haji sangat berbeza sekali. Umrah hanya mengambil masa antara 7-14 hari (terkecuali umrah sebulan Ramadhan) berbanding 45 hari bagi para jemaah haji.

Jadi persiapan mental dan fizikal , rohani serta jasmani harus kuat dan mantap .Perlu berulang alik setiap masa ke Masjidil Haram "bersaing" dengan jutaan jemaah . Kalau lambat , alamatnya kita hanya dapat bersolat di kawasan luar dan kangkala jalanraya dipenuhi dengan saf2 .

Bersedialah untuk menghadapi hari wukuf di Arafah nanti, mabit di Mudzalifah serta bermalam di Mina untuk melakukan lontaran di jamrah kelak.

Bersedialah untuk menghadapi ratusan ribu malah jutaan jemaah semasa kita menyempurnakan tawaf ifadah atau tawaf haji dalam keadaan yang berhimpit-himpit.

Apabila sampai di sana, lupakan seketika kampung halaman kita kerana terdapat 2-3 situasi yang aku temui yang setibanya di sana , ada yang seumpama "hilang akal sementara" kerana asyik teringatkan kampung halaman serta ayam itik di kampung .

Kesihatan perlu dijaga kerana kebarangkalian mendapat batuk dan demam sangat tinggi akibat perubahan cuaca dan juga keadaan kota suci Makkah yang sangat berabuk akibat pembangunan disekitarnya. Banyakkan minum air zam2 , banyakkan berdoa serta tawakkal kepada Allah .

Bagi yang alah kepada habuk, pakailah "mask" ketika tidak berihram , terutamanya apabila berulang-alik ke masjid.

Usahlah membawa wang yang banyak setiap kali ke masjid demi mengelakkan perkara yang tidak diingini . Apabila memerlukan wang , kita boleh mengeluarkannya di kaunter2 Tabung Haji yang disediakan di hotel2 penginapan .

Bagi yang menghadapi kemusykilan berkaitan bab2 agama , janganlah segan berjumpa dengan guru2 agama yang dilantik dan bertauliah .Mereka sedia membantu kita .

Jangan terikut-ikut dengan perlakuan jemaah yang datang dari pelbagai negara dengan pelbagai mazhab yang padanya mungkin sesuatu perbuatan itu tidak mengapa . Pastikan jemaah2 wanita bersolat didalam kawasan dan saf kaum perempuan terutamanya di Masjidil Haram berbanding Masjid Nabawi yang memang tersedia kawasan khas bagi kaum muslimah.

Selamat datang tetamu-tetamu Allah .

Lakukanlah seberapa banyak amal ibadat di sana samada yang wajib serta yang disunatkan.Isikan masa2 terluang dengan membaca Al-Quran dan antara maghrib dengan isyak pula, ambillah kesempatan beriktikaf di sana dengan diselangi solat sunat awabbin, solat sunat taubat dan solat sunat hajat.

Dikala antara dua azan pada waktu subuh pula, iringi waktu terluang dengan solat tahajjud pula.

Kurangkan "tawaf kedai" dan perbanyakkan tawaf sunat .

Semoga kalian dikurniakan Haji Mabrur.

Insyallah

PANORAMA SEKITARAN MASJIDIL HARAM
dari jendela kamar Al Massa
persekitaran Masjidil Haram yang penuh dengan kerja2 pembinaan

ulangalik ke Masjidil Haram merupakan rutin harian

kalau lambat ke Masjidil Haram,
hanya dapat solat di lamannya


kekadang, jalanraya ni pun dengan jemaah bersolat di atasnya


ingati pintu masuk ke Masjidil Haram supaya tak sesat





waktu wukuf nanti,
Masjidil Haram lenggang
Arafah jadi tumpuan