بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH
jahat makna kat dalam logo tu hehehe
Pasti setiap kita mempunyai kenderaan . Tak kira apa jenis sekali pun, matlamatnya adalah untuk memudahkan kita ke destinasi yang dihajati. Dunia semakin moden seiring juga dengan teknologi kenderaan masa kini. Kalau dulu tiada istilah ABS, DSC, Air Bag dan banyak lagi , sekarang ini hampir kebanyakkan teknologi terkini telah ada dalam kenderaan masa kini.
Namun kegunaan seharian , yang aku suka tunggang ialah sebuah motobot kepunyaan ku keluaran kebangaan negara kita yang boleh aku kategorikan sebagai antik kerana telah memasuki usia mencecah 24 tahun yang tak punya apa2 teknologi atau istilah yang aku sebutkan tadi , tapi masih berfungsi walaupun tidak 100 %, tetap tidak memerlukan penyelenggaraan yang banyak. Cukup sekadar menukar minyak hitam dan oil filter. Itu pun entah berapa tahun lalu aku tukar, aku pun dah lupa hehehe
Manakan tidak, dari teratak usang aku di tepi hutan ke kebun getah hanya sepelaung je. Jadi sehari , tak lebih 1-2 km je dia digunakan. Namun aku masih sayang akannya walaupun bila pagi lepas subuh aku nak pi noreh dalam gelap, aku terpaksa hidupkan lampu kecemasan pasal biasalah benda antik. Dah pulas suiz hidupkan lampu, nak kena tarik2 dengan tangan wayar yang berselirat bawah stereng tu .
Nasib baik, hiduplah lampunya, kalau tak , tak lah hidup lampunya.Nak bukak pintu pun kena keluarkan tangan kat tingkap dan bukak dari luar . Tapi aku tetap sayang dengan dia pasal dia sentiasa mengingatkan aku siapa aku suatu masa dulu .Ia banyak berjasa pada kami dan dialah motobot pertama yang kami beli hasil keringat dan airmata 24 tahun yang lalu . Aku tak pernah rasa malu pun hingga kini nak tunggang benda antik ni walaupun sesetengah orang yang tak kenal aku pandang dan toleh dengan senyum kambing lagi hehehe
5 tahun 8 bulan yang lalu, entah macam mana aku pi lah gatal tangan "test drive Banyak Makan Wang" ni lalu aku pun belilah. Orang kata kereta melambangkan prestij, tapi bagi aku tak pun. Sama je fungsinya . Nak berlagak kat dunia yang sementara ni, apa yang kita dapat. Esok lusa mati ,masuk lubang tanah juga . Aku beli kerana pada aku Allah S.W.T dah takdirkan aku merasai sedikit kenikmatan di dunia yang Allah pinjamkan buat aku. Tak lebih dari itu .
Tu sebab aku tak kisah dan jarang bawak "Banyak Makan Wang" ni . Senang bawak motobot antik aku atau motobot yang isteri aku selalu bawak tu yang usianya jugak dah masuk tahun ke 9 apabila aku pi jual getah beku aku luar kawasan. Nak bawak motobot antik tu, takut jugak dia buat hal tengah jalan sekarang ni hehehe
Barang antik, tapi sesekali aku belasah jugak sampai JB , lencun peluh pasal aircond dia tak hidup daa.Alhamdulillah, aku ni kira jenis yang cermat dan sentiasa memastikan kondisi semua motobot dalam keadaan baik dan mendapat penjagaan sepatutnya. Jadi bolehlah tahan lama sikit usia mereka .
Cerita Banyak Makan Wang ni pun dah nak masuk usia yang ke 6 tahun, namun "miles" atau perbatuannya masih dikira rendah dalam 50 000 ++ km je. Maknanya aku bawak dia setahun hanya dalam 8 333 km je dan sebulan dalam 700 km je . 3 tahun pertama a.k.a 60 000 km atau yang mana datang dulu, semua urusan servis termasuk alat ganti di bawah tanggungan pengilang . Sesen pun tak perlu keluar ongkos.
Biasalah , teknologi masa kini untuk motobot moden yang semua pakai elektronik dan komputer. Sebelum habis tempoh edah 3 tahun, ada 3-4 jugak alat ganti letronik yang mengalami kerosokan seperti speed sensor yang mengawal ke empat-empat tayarnya telah diganti percuma. Sebiji lampu LED signal yang terbakar pun menyebabkan dia gantikan keseluruhan set termasuk kiri-kanan walau yang kanan tak rosak pasal dia datang dalam kotak kiri-kanan sepasang. F.O.C.
Masuk tahun ke 6 usianya, Allah nak uji aku. DSC Hydro Pump dia telah mengalami kegagalan berfungsi a.k.a kira rosak le .Hantar buat diagnosis,cucuk ECU kat komputer, keluar code 5df0 (pump unit faulty) dan code 5df1(pump unit plug faulty). Semua alatannya dikawal secara elektronik dan dikawal oleh unit pusatnya secara kawalan komputer. Aku complain kat Head Quaters Banyak Makan Wang ni kerana aku cakap benda tu rosak ketika miles aku pun baru 50 000 je. Aku dalam pada tu gugel kat internet pasal benda alah ni . Masalah satu dunia rupanya pasal banyak kena benda yang sama kat mana2.
Someone told me that it is commom error for the pump module 07 E9x cars and its coast a fortune to replace around USD 2 000.00
Kerana kegagalan DSC Pump ni berfungsi,maka keluarlah warning sign kat dashboard , maka fungi RFT , ABS dan Auto Cruise terbabit sama gagal sama sekali. Semua fungsi tu penting . RFT yang bermaksud Run Flat Tyre paling aku risau pasal motobot ni takde tayar spare. Tu sebab tayar motobot ni mahal pasal kalau pancit dia masih boleh jalan dalam 100-200 km perjalanan sebelum kita pi tampal.Tapi mesti pastikan kelajuan di bawah 100 km/jam. Dia akan mengeluarkan amaran yang menunjukkan salah satu tayar kita pancit.Tapi kerana DSC Hydro Pump je gagal berfungsi, maka fungsi RFT ni pun terbabit sama. ABS atau Anti Brake System jugak sama .Bahaya kalau bawak terlaju dan tetiba kena lakukan emergency brake. Boleh berguling motobot ni .
Bincang punya bincang punya bincang dengan pihak pengurusan tertinggi Banyak Makan Wang ni , kerana aku sorang pelanggan yang setia dan masih menghantar motobot aku ni ke sana untuk servis rutin. Depa setuju kasi aku discount 30 %. Tapi masalahnya rega DSC Hydro Pump ni hampir 12 000 henget . Depa kat sana takde main repair2, depa punya polisi , rosak terus ganti . Labour charge dan lain-lain dalam 700.00 hengget depa kata depa tanggung.
Dah discount 30% pun masih dalam 8000 jugak nak kena keluar.Sebenarnya benda ni kat luar negara murah je macam jugak harga kereta kat sana, tapi negara kitakan banyak cukai itu ni kena bayar menyebabkan rega benda ni berlipat ganda reganya.
Pada aku buang duit sampai 12 ribu , baik buat benda lain.12 000 boleh buat kami pi umrah berdua. 8 000 pun pada aku masih tinggi dan tentu ada jalan penyelesaian lain.
Biasalah, tempat aku mengadu adalah Tuhan Pencipta Sekalian Alam Yang Maha Esa , Allah S.W.T. minta petunjuk darinya .
Dalam pada tu aku gugel sebuah forum pemilik Banyak Makan Wang ni , ada satu nama workshop kat KL area Subang Jaya yang banyak dah selesaikan masalah ni . Aku pun terus call towkey dia dan dia kata boleh buat, cost 2 500 je . Buat appoiment dan suatu hari yang indah dua bulan lalu dah, aku shoot ke KL dan esok paginya aku pi workshop tu pepagi dan siap tolong bukak sekali workshop tu. Masa aku datang tu, melambak semua motobot continental dalam dan luar workshop tu . Porshe , Audi termasuklah beberapa bijik Banyak Makan Wang , banyak tersadai tunggu nak dirawati. Pasal aku datang jauh, dia terus buat aku punya .Bukan besar mana pun Hydro Pump tu, adalah besar penumbuk . Pekerja dia bukak, tapi towkey dia sendiri yang settelkan, bukak dan gantikan mana benda lektronik dan apa lagi yang rosak dalam tu.
Sebelum jumaat, dah siap pasang balik DSC hydro Pump tu, dan kena buat beberapa adjusment seperti masukkan cecair brake baru serta kena reset semula sistem komputernya .
Lepas solat jumaat , dah siap pun dan alhamdulillah Banyak Makan Wang ni dah berfungsi 100%.
Patutlah kenapa orang gelar dia Banyak Makan Wang pasal sekali bikin memang Banyak Makan Wang kalau tak kena gaya.Walau pun aku terbalikkan logo tu dari Banyak Makan Wang menjadi Wang Makan Banyak , sama je tetap kena keluar dari poket ongkosnya.
Setiap yang berlaku , semuanya berbalik kepada Pencipta kita yang mentadbir sekalian alam dan tak terkecuali satu apa2 darinya.
Alhamdulillah,
Aku redha dan syukur , hanya ujian kecil dari Allah S.W.T buat aku.
Hakikatnya, kehidupan kita memang penuh dengan dugaan dan ujian. Tanpa ujian dan dugaan,
hidup kita yang cuma sementara sahaja ni di dunia yang fana' pasti hambar. Sesungguhnya apa sahaja yang Allah S.W.T takdirkan menimpa diri kita,
pasti mengandungi dan mempunyai tujuan dan hikmahnya yang tertentu. Hikmah itu pula
kekadang kita sedari setelah sesuatu ujian yang menimpa kita itu
berlalu atau juga langsung kita tak ketahui sehingga mati.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
‘Apabila Allah mencintai sesuatu kaum,
maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan
Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah’.
Pengajaran yang boleh diambil dan jadikan pedoman buat aku, keredaan Allah
bergantung pada bagaimana kita menerima segala ujianNya. Kalau
kita reda , pasti Allah akan meredai kita dan akan menunjukkan
laluan yang mudah untuk kita. Akhirnya, kita akan dibimbing dalam
menyelesaikan segala kesulitan dan kesukaran yang dialami dengan penuh ketenangan dan
kebijaksanaan.
Sebaliknya kalau kita rasa marah atau kecewa dan tidak redha
dengan apa yang telah diduga apa yang menimpa kita, kita sebenarnya sesungguhnya
telah menyebabkan Allah murka kepada kita. Tanpa disedari, kita sebenarnya
telah mencampakkan diri kita ke dalam lembah kebinasaan. Tanpa keredaan Allah dalam kehidupan,
bagaimanakah kita dapat melayari bahtera kehidupan ini dengan
sebaik-baiknya. Apatah lagi untuk menghadapi segala musibah dan dugaan
yang juga datang daripada-Nya. Yang pasti, jiwa kita jadi tak tenteram dan gundah gulana, langkah kita akan menjadi semakin pincang dan hidup kita secara
keseluruhannya, macam orang hilang arah. Mulalah kita salahkan itu ini tapi hakikatnya Allah S.W.T dah tetapkan ia sebegitu. Kalau kita jaga macammana sekali pun, kalau Allah dah kata dia nak rosak, maka rosaklah ia.
Namun sebelum tu , pastikan konsep tawakkal kita aplikasikan dulu dan selepas tu kalau nak rosak atau ditimpa musibah yang lain, kita serah je pada Allah.
Abdul Kadir al-Jailani r.h. berkata kepada anaknya:
Wahai anakku, sesungguhnya musibah itu datang bukan
untuk merosakkan dirimu tetapi untuk menguji kesabaran dan keimananmu.
Wahai anakku, taqdir ialah seperti binatang buas dan binatang buas
tidaklah memakan bangkai.”
Alhamdulillah,
sekadar sedikit perkongsian dari aku insan biasa je tanpa darjat dan pangkat serta ilmu yang cetek , setiap apa pun yang berlaku dalam kehidupan kita semuanya dari Allah S.W.T jua.
Sebagai penutup, ingatlah, setiap kali solat angkat takbir dan kita baca doa Iftitah yang membawa pengertian yang besar sebenarnya :
Allah Maha Besar sebesar-besarnya.
Dan puji-pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya.
Dan maha suci Allah siang dan malam.
Kuhadapkan mukaku, kepada yang menjadikan langit dan bumi, aku cenderung lagi berserah kepada Allah dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang menyekutukan Allah.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku kuserahkan hanya pada Allah tuhan seru sekelian alam.
Sekali-kali tidaklah aku menyekutukanNya .
Dan dengan demikian aku ditugaskan, dan aku adalah dari golongan orang-orang Muslim (Islam).