WARGA SCP

Khamis, Mac 08, 2012

MERAIKAN PENGANTIN BARU

ALHAMDULILLAH

Kami telah diundang melalui panggilan telefon oleh tuan empunya diri sendiri dan keluarganya sempena majlis perkahwinannya . Setelah bercuti dan merehatkan badan dan minda di TJR , kini kami singgah pula di Kemaman .

Tali silaturahim kami mula terjalin di kota suci Makkah semasa kami bersama2 mengikuti ziarah dan umrah baru2 ini melalui syarikat pengendali yang diuruskan dan dimiliki oleh bapa saudaranya dan diuruskan juga oleh bapanya serta adik beradik mereka dan juga merupakan satu "family business" kerana hampir keseluruhan operasinya dikendalikan oleh mereka sekeluarga serta sanak saudara .



Kami tiba dalam pukul 2.00 petang jugak ketika jemputan sedang datang berduyun2 ke perkampungan Rayhar Harmoni . Pelbagai hidangan di sajikan,Nasi beriyani ada, nasi mandey ada, nasi minyak ada dan jugak nasi bukhari. Begitu juga dengan pelbagai kuih muih dan satay juga di hidangkan . Inilah kali pertama aku menghadiri majlis meraikan pengantin di negeri Trengganu .

Aku amat bersyukur dan gembira sekali serta terharu kerana bukan sahaja jemputan meraikan kedua mempelai, tapi layanan tuan rumah yang meraikan tetamu2 yang datang dengan pelbagai hidangan . Kelihatan sekumpulan para tahfiz2 cilik dari sekolah berdekatan juga menjadi jemputan .



fobia lalu bawah ni hehehe

Jemputan masih tak susut walaupun dah hampir pukul 4 petang. Sebelum balik macam biasalah yang telah menjadi adat kita orang Melayu, bertemu tuan rumah sambil berhajat menghulurkan sedikit sumbangan namun ditolak oleh tuan rumah kerana katanya mereka memang berhajat meraikan tetamu yang hadir . Rupanya apabila aku selidiki , memang begitu adat di sana bergantung pada ayat pada kad jemputan samada "jemputan Perkahwinan" atau " Majlis Kesyukuran" tapi kami hanya menerima jemputan secara talian telefon hehehe

Jadi tak nampak yang yang tertulis di kadnya.

Aku teruskan perjalanan utk bermalam di Cherating kerana kalau nak memandu pulang , tentu agak kepenatan dan agak lewat malam . Check in hotel dan hanya berhajat untuk merehatkan badan .

Jam 7.30 pagi , kami dah bersiap untuk check out hotel dan meneruskan perjalanan pulang setelah beberapa hari di negeri Trengganu. Pulang kunci dan nak buat bayaran, aku terdiam seketika kerana hotel penginapan kami juga telah dilunaskan oleh mereka .

Alhamdulillah,
memang terharu sungguh atas layanan mereka terhadap kami walaupun kami tiada talian persaudaraan , hanya saudara sesama islam sahaja.

Hanya doa sebagai balasan yang dapat ku titipkan agar Allah melimpahkan rezeki buat mereka .

Semoga perniagaan Rayhar Travels bertambah maju dan sentiasa dalam keberkatan Allah. Begitu juga buat kedua mempelai .




Rabu, Mac 07, 2012

MIAW MIAW KUCING

ALHAMDULILLAH

Aku mula membela kucing lebih kurang 15 tahun yang lalu . Kucing baka Parsian diberikan oleh kakak ku dan diberi nama Pussy . Ia dibela dari kecil dan diletakkan di dalam rumah . Hari2 biasa aku pegi menoreh, Pussy akan diletakkan di dalam sangkar hinggalah ia besar kira macam anak dara .

Tiba sahaja aku pergi bercuti lama , pasti Pussy akan ku hantarkan ke sebuah pusat penjagaan yang dikelolakan oleh Jabatan Haiwan di JB dengan kadar bayaran 5 ringgit sehari . Kami membelanya bagai membela anak sendiri . Setiap minggu dimandikan dan malam dia akan tidur dengan anak perempuan aku.


kucing kepunyaan tuan punya B&B di South Africa
wajah dan bulunya sama macam kucing aku yang
nama Grey dan Onchu

Apabila meningkat dewasa, aku pun mulalah carikan pasangan Pussy untuk mendapatkan waris bakanya. Aku hantar semula kat rumah kakak aku untuk dikahwinkan . Tapi akibat tinggal 3-4 tahun secara berseorangan, Pussy ni punya sifat yang garang bila ada kucing jantan dok mengendengnya. Pengabisnya 3-4 kali hantar untuk dikahwinkan, Pussy masih belum ada tanda2 "pregnant". Pasti kucing jantan nak rapat kat dia habis dicakarnya . Pengabisnya aku biarkan begitu je.

Sesekali kat rumah aku lepaskan Pussy ni keluar , ada kucing2 jantan kampung dok mengerlingnya. Manakan tidak, bulu Pussy yang mengerbang bak ratu cantik menjadi tarikan kucing2 kampung ni . Pengabisnya Pussy yang dari sifat garangnya dah pandai curi2 keluar rumah ikut tingkap dan akhirnya termengandung juga . Lahirlah 3 ekor anak namun takda iras baka parsian kerana kira kawin dengan kucing kampung. Namun yang aku sedih , lepas Pussy beranak , dia mula murung dan sakit . Puas aku ikhtiar ubatkan hingga bawak ke klinik haiwan.

Sehari sebelum ia meninggal, tengahari tu aku sempat bawa lagi dia ke klinik kerana keadaannya semakin teruk kerana dia tak mahu makan dan minum langsung. Aku perhati dia asyik dok termenung dan pandangan mata Pussy hari tu macam kosong.


Akhirnya petang tu juga dia meninggal kat belakang pintu bilik tidur anak aku . Memang kami rasa sedih kerana kami bela dia dari kecil lepas bercerai susu dengan ibunya dan selama beberapa tahun tinggal bersama2 macam satu keluarga walaupun dia hanya seekor kucing.

Ketiga2 anaknya telah jadi yatim dan masih kecil dan perlu menyusu. Jadi aku pun bancuhlah susu tetiap hari dan letak dalam piring . Anaknya dua ekor betina yang aku beri nama CC dan Grey sementara yang jantan mak itam beri nama Onchu. Hingga sekarang CC dan Onchu masih hidup lagi sementara Grey pergi tak kembali entah ke mana . Dari situlah beranak pinak hingga satu masa mencecah 18 ekor dan semua diletakkan dalam 3 sangkar berlainan belakang rumah.

Tapi sebelum aku pergi umrah pertengahan bulan Jun tahun 2010, aku ambil keputusan untuk lepaskan mereka dan merasai erti kebebasan yang sebenarnya . Cuma rutin beri makannya seperti biasa sebelah pagi , tengahari dan sebelum magrib . Satu bulan dalam 6 kampit besar makanan kucing perlu aku sediakan namun aku anggap tu satu sedekah dan berharap agar kucing2 tu sentiasa mendoakan untuk kami sekeluarga.

Kini yang tinggal hanya 8 ekor sahaja manakala selebihnya pergi jalan dan tak jumpa jalan pulang nampaknya. 8 ekor nilah yang aku selalu dok berbual2 dengan mereka bila tiba masa mereka makan selepas subuh, tengahari dan malam.



foto kucing ni aku rakamkan di Midland Meanders
mesti ada pertalian dengan KucingOrenGemuk




Selasa, Mac 06, 2012

SELIMUT PUTIH


Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.
(Surah Al Ankabut ayat 57)

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan.
(Surah Al Anbiya' ayat 35)

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.
(Surah Ali Imran ayat 185)

Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan kemudaratan dan tidak pula kemanfaatan kepada diriku, melainkan apa yang dikehendaki Allah." Tiap-tiap umat mempunyai ajal. Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak pula mendahulukannya.
(Surah Yunus ayat 49)

Katakanlah: "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan".
(Surah Al Jumu'ah ayat 08)


Ini di antara terjemahan ayat2 di dalam kitab suci Al Quran yang menyebut tentang kematian .

Dari ayat-ayat di atas dapat kita simpulkan bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti terjadi kepada setiap makhluk yang dihidupkan oleh Allah S.W.T dan saat serta ketikanya akan datang telah ditentukan dan ditetapkan namun sebijak-bijak manusia sekali pun pasti tidak dapat meramalkan bilakah kita semua akan menemui ajal .

Namun yang paling penting dan utama yang kita boleh lakukan ialah dengan berdoa agar kehidupan kita akan berakhir dengan husnul khotimah dan bukan sebaliknya.

Antara doa2 yang boleh kita selitkan dalam doa selepas selesai solat ialah :

هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

“Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh”

اللهم اجعل خير عمري أخره و خير عملي خواتيمه و خير أيامي يوم لقائك

“Ya Allah jadikanlah sebaik-baik umurku pada hujungnya dan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan jadikanlah sebaik-baik hariku yaitu hari ketika aku bertemu dengan-Mu di hari kiamat”

اللهم اختم لنا بحسـن الخاتمة ولا تختم علينا بسـوء الخاتمة


“Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan husnul-khotimah (akhir yang baik), dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan suu-ul-khotimah (akhir yang buruk)”



Bercakap tentang kematian , antara konsepnya yang jelas ialah semua yang kita miliki pasti akan ditinggalkan dengan hanya "selimut putih" sebagai peneman kita selain segala amalan kita sebagaimana lirik lagu ini:


Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan

Seluruh tubuh akan menggigil
Terbujur badan dan kedinginan

Tak ada lagi gunanya harta
Kawan karib sanak saudara

Jikalau ada amal di dunia
Itulah hanya pembela diri

Janganlah mahu dikenang-kenang
Engkau digelar manusia agung

Sedarlah diri tahu diuntung
Sebelum masa keranda diusung

Datang masanya insaflah diri
Selimut putih pembalut badan

Tinggal semua yang dikasihi
Berbaktilah hidup sepanjang zaman


Doa ku agar pengakhiran kehidupan kita semua akan berakhir dengan kegembiraan di akhirat kelak.

Insyallah

Isnin, Mac 05, 2012

BOKEH dan PENYAKIT BOKEH

ni contoh bokeh pada gambar dengan keadaan kambing agak jelas manakala sedikit bokeh
pada latarbelakangnya. Ni kira bokeh pada tahap minimum

fokus pada ranting dan sedikit bokeh pada latarbelakangnya

ALHAMDULILLAH

Bokeh berasal dari perkataan jepun bermaksud kurang jelas atau lebih tepat "blur" . Dalam dunia fotograpi , perkara yang dirujuk sebagai bokeh ialah merujuk kualiti gambaran yang boleh dikategorikan sebagai bokeh yang " not in focus "

Nak buat bokeh ni pun taklah sesukar mana jika kita dah faham konsepnya iaitu:

1. gunakan aperture paling besar
2. gunakan focal length paling tinggi (zoom maksima)
3. rapatkan jarak antara lens dengan subjek
4. jauhkan subjek dari background


Cerita pasal bokeh ni atau blur, kekadang ada harinya kepala otak kita pun "membokeh" secara semula jadi tanpa diminta. Tu yang kekadang pagi nak pegi noreh , ada je lupa benda nak bawak . Dah nak start motor, masuk balik dalam rumah kerana lupa kunci motorlah dan macam2 lagi.

Lepas tu dah tiba kat kebun, bukak beg,
alamak, pisau noreh pulak tak bawak .
Padahal dah jadi rutin tu setiap hari bawak pisau noreh setiap pagi.

Kalau para ibu2 yang kerjanya memasak setiap hari, tanyalah mereka samada kepala mereka pernah membokeh atau tidak. Pasti jawapannya ya kerana kekadang mereka dok termenung depan pintu peti ais yang terngangga kerana "blur" nak masak apa dan nak keluarkan apa dari peti sejuk .

Begitu juga dengan para pendidik yang bila time mengajar datang pulak penyakit bokeh ni sedangkan semua nak diajar dah tulis dalam buku persediaan mengajar dan padahal kejanya tetiap hari dok mengajar benda yang sama bertahun2 juga.Tapi kekadang dia "blur" tentang apa yang nak diajar hari tu.

Pak imam juga begitu tak lepas dari penyakit bokeh ni. Bertahun2 jadi imam, bila datang penyakit bokeh ini, tengah baca surah tetiba "blur" boleh terlupa ayat seterusnya padahal berpuluh tahun dah jadi imam. Tapi selalu pak imam ni dia "blur" bila solat sunat hari raya , lepas takbir ihram , dia terus baca al fatihah dan terlupa takbir yang tujuh kali tu.

Kesimpulannya penyakit bokeh ni tak mengira apa profession kita . Tapi semakin umur kita meningkat , penyakit bokeh ni semakin ketara macam aku juga ni yang kekadang puas mengingatkan kat manalah aku letak kunci .

Ni aku dah seminggu mengingatkan kat mana pen drive aku letak lepas gunakan tempohari kerana penyakit bokeh ni datang hari tu lepas aku gunakan bendalah tu.

Kalau dalam kehidupan seharian, penyakit bokeh ni ada kaitannya dengan tugasan syaitan yang banyak mengganggu kita , jadi kita disarankan supaya mengamalkanlah membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas sebanyak 3 kali pada setiap lepas solat subuh, lepas solat asar dan sebelum tidur. Ini bertujuan untuk melemahkan syaitan yang menimbulkan was-was dalam diri dan memberi kekuatan kepada diri kita.

Cuba kalian tanya pada diri sendiri,
tahap bokeh atau blur kalian semua adakah pada tahap minumum, sederhana atau tahap kronik .

Kalau dah kronik dan bila penyakit blur tu datang, pasti pening macam kat bawah ni.

lagi satu contoh bokeh yang agak "keras" juga

Sabtu, Mac 03, 2012

CONCEPTUAL PHOTOGRAPHY : MENCARI SESUAP NASI

ALHAMDULILLAH


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan ) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis ) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam."

Riwayat At-Tabrani

"Run,Run,Run"

"mari rasa"

foto ini mendapat tempat kedua dalam satu Photo Challenge di fotomedia.com.my dalam siri
PEOPLE AT WORK

"Pak Supir"

"Fake Jeans in Istanbul"

"Tawar Jangan Tak Tawar"

"Hurry Up"

"Second Hand"

Khamis, Mac 01, 2012

KUMAN DI SEBERANG TAMBAK NAMPAK, GAJAH DI DEPAN MATA TAK NAMPAK

Kesalahan orang lain, biar pun kecil, tampak di mata , tetapi kesalahan sendiri tidak disedari walaupun sebesar gajah . Itulah maksud peribahasa bahasa untuk kita renungi bersama supaya kita sentiasa bermuhasabah diri dalam memperbaiki kelemahan diri.

Rata-rata individu sebegini ramai kita temui dalam pergaulan dan masyarakat sekeliling kita . Dalam institusi hidup bermasyarakat , individu sebeginilah yang sering merimaskan kita .


Dalam organisasi pekerjaan pasti ada , dalam kampung pasti ada dan dalam komuniti yang bijak pandai agama juga pasti ada.

Hukum tetap hukum yang tidak boleh kita pertikaikan , namun pendekatan yang digunakan kekadang tidak sesuai hingga menimbulkan suasana yang tidak baik.

Pada pandangan mereka yang selalu nampak kuman di seberang tambak, apa yang dilakukan oleh orang lain semuanya salah dan tidak betul berbanding mereka . Terus terang , jika aku bertemu dengan kelompok yang sebegini, aku pasti akan cuba menghindarinya . Kita semua insan yang lemah dan punya banyak kekurangan yang dijadikan oleh Allah S.W.T menghuni muka bumi ini .


Bukan tidak boleh kita menegur sesuatu kesalahan atau kesilapan , tapi tegurlah secara berhemah kerana itu lebih baik . Ini tidak , terus jatuhkan hukuman , itu salah ini salah dan dia je yang betul. Bukan tidak boleh mengajak ke arah kebaikkan , tapi perlu kena cara dan pendekatannya .

Individu yang bersifat dan bersikap sebegini sering mancari kesalahan orang lain dan seolah2 dia sahaja yang betul. Kemudian habis dijajanya dengan semua orang . Kena pulak orang yang dijajanya jenis mudah menerima, dah lain pulak jadinya .

Firman Allah S.W.T

"Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik
membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu
tidak menimpakan suatu musibah kepada kaum dengan sebab kejahilan
kamu sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan."
(al-Hujuraat:6)




Cerita pasal kesilapan dan kesalahan bak kata pepatah, "Bumi mana yang tak ditimpa hujan". Kita bukan malaikat atau nabi , kita hanya insan yang lemah. Sedangkan nabi pilihan Allah juga ada yang melakukan kesalahan, ini pulakan kita manusia dan kita harus mengakui hakikatnya.

Akhir kalam, sebelum kita meneropong kuman di seberang tambak , cuba kita amati dulu gajah di depan pelupuk mata kita dan gajah-gajah yang berada di sekeliling kita .

Maafkan aku sepanjang 3 tahun lebih berblogging andaikata ada yang menguris hati dan andaikata ada gajah depan pelupuk mata aku yang terlepas pandang.

Maafkan aku.