WARGA SCP

Selasa, Februari 21, 2012

TJR : CELOTEH PAGI INI


ALHAMDULILLAH

Aku sempat merakamkan beberapa keping foto ketika di sini dengan teknik "long Exposure" atau "slow shutter" . Untuk beberapa keping foto ni makan masa juga . Tapi malas rasanya nak cari subjek atau "point of interest" jauh-jauh.

Maka aku ambil je dari tepi-tepi ni je.

Dalam banyak2 foto gunakan teknik ni, aku memang leka duduk mengadap anjung suite ni yang di bina di atas anak sungai . Air yang mengalir keluar dari kunci airnya ditambah pula dengan setting dalam 30 saat untuk shutternya menjadikan begitu indah untuk dirakamkan.

EXIF DATA
Exposure Time = 30"
F Number = F25
Exposure Program = Shutter priority
ISO Speed Ratings = 200
Exif Version = Version 2.21
Date Time Original = 2012-02-05 11:11:51
Exposure Bias Value = +0.67EV
Max Aperture Value = F3.73
Metering Mode = Pattern
Focal Length = 24mm
Color Space = sRGB
Scene Type = A directly photographed image
Custom Rendered = Custom process
Exposure Mode = Auto exposure
White Balance = Auto white balance
Digital Zoom Ratio = 1x
Focal Length In 35mm Film = 36mm
Scene Capture Type = Landscape
Gain Control = None
Contrast = Normal
Saturation = Normal
Sharpness = Hard

Kelihatan sepasang pasangan mat salleh tua tinggal di suite ini. Dalam perkiraan aku umur mereka dalam masuk 80 han juga berdasar kedutan di leher mereka . Tapi mereka masih lagi aku ibaratkan "loving couple" kerana bisa jalan berpimpinan tangan .

Kalau kita agaknya dah tua2 begitu berpimpinan tangan, pasti anak2 muda cakap yang kita ni orang tua buang tabiat ke apa hehehe

Mungkin kalau di Malaysia agak janggal bagi yang berumur berpimpinan tangan , tapi kalau sesiapa pernah ke dua tanah suci , pasti terjumpa golongan yg agak berumur berjalan berpegangan tangan. Kenapa kalau kat makkah atau madinah , kita tak rasa kekok atau malu , bila balik ke tanah air , kita rasa segan pulak .

Sifat berkasih sayang antara pasangan suami isteri seharusnya sentiasa disemai dan dibaja setiap masa . Nampak remeh . Kalau dulu2 muda2 masa baru kawin tak segan , ni tua2 pulak segan .



Aku tertarik bila baca petikan akhbar baru2 ni tentang Nik Aziz yang setiap kali bila pulang keletihan ke rumah akan tidur di riba isterinya . Sungguh romantik dan aku tergelak sakan pulabila baca katun juga kat akhbar yang isterinya kata kat suaminya bila sang suami nak baring kat riba isterinya" abang aji ni buang tabiat ke " hahaha

Aku kalau baring kat riba mak itam dalam 2-3 jam , mau rebeh hahaha

Bermanja pada yang berhak pada ku tak salah, yang salah ialah bermanja pada bukan yang hak kita ....................

Ok, cukup sekadar celoteh ku hari ni ,
moga yang baik kita boleh ambil sebagai ikhtibar


Isnin, Februari 20, 2012

TJR : SANTAPAN PAGI "DI ATAS SUNGEI"

ALHAMDULILLAH

Subuh yang indah dengan kiblat menghadap jendela kayu ke arah Laut China Selatan. Tidur ku agak nyenyak semalam dengan katil yang begitu empok serta bantal peluknya setelah segala ceruk rantau TJR ku jelajahi.

Semalam pulang ke bilik agak lewat dalam jam 11 malam setelah menghirup bayu segar malam di tepi pantai . Masuk sahaja ke bilik, katil kami telah disediakan oleh housekeeping untuk beradu. Comforter telah terlipat , hanya nak labuhkan badan je ke dalamnya.

Itulah keistimewaan layanan kelas pertama di TJR. Bantal2 kecil telah dialihkan serta ubat nyamuk "moden" telah dihidupkan. Macam kisah dulu2 masa aku kecik2 di kampung apabila pulang ke rumah kayu atuk nenek ku di mana apabila nak bobok malam sahaja, pasti nenek dah sediakan tempatnya dan dan pasang ubat nyamuk cap ikan.

Nasib baik kat TJR takda orang dodoikan aku lagu pok amai-amai macam masa aku kecik2 dulu masa nak tidur malam .


Pagi ini kami diberi pilihan samada untuk bersarapan "Di Atas Sungei" atau "Nelayan Restoran" yang terletak di pool besar. Kami ambil kesempatan hanya bersarapan "Di Atas Sungei" . Pilihan makanan pagi yang banyak dengan pilihan nasinya, meenya, buburnya , pelbagai jenis bijirinnya serta macam2 lagi . Aku menjamah sedikit nasi lemak yang ku kawinkan dengan nasi goreng. Namun tekak ku tekak org johor agak keberaratan menerima sambalnya yang agak manis sinonim dengan selera orang pantai timur.

Semua jus minumannya diperah semulajadi dan bukan dari botol . Pilihan "semi buffet" ala card juga tersedia , hanya perlu memesan apa yang kita hajati dan disediakan terus oleh chef "panas-panas" lagi .



Kalau dulu muda2 , pasti habis aku mengadap semua hidangan yang tersedia, tapi kini cukup sekadar mengalas perut kerana makan untuk hidup , bukan hidup untuk makan hahaha

Tapi nanti biasanya tengahari, pasti hidangan ku agak berat dan banyak sikit kerana nikmat makan antara nikmat yang tak terhingga yang Allah bagi dan kurniakan, kalau dah tak boleh makan, maka hilanglah salah satu dari nikmat kehidupan.

Sambil pekena kopi, sambil menikmati permandangan dan suasana pagi yang begitu indah dengan kicauan beburung memecah kesunyian. Indah sungguh suasana pagi ni dan aku sangat bersyukur kepada Allah yang masih meminjamkan lagi sehari kenikmatan dunia bagi ku .

Terima kasih Allah.


Sabtu, Februari 18, 2012

UPDATED : MEE KARI



ALHAMDULILLAH

Pertama-tamanya bapak nak minta maaf pasal tak melawa kalian rakan2 bapak untuk sama2 menikmati mee kari ni. Kalau dekat, pasti bapak ajak hehehe

Macam bapak katakan tadi , hari ni bapak takmo makan nasi pasal semalam dua kali bapak makan nasi, tengahari dan malam yang selalunya bapak tak ambik "heavy meal". Selera makan semalam meracau semacam je, nak kata pembawakkan budak dan mengidam , mustahil hehehe



Jadi hari ni bapak cadangkan kat mak itam masak mee kari. Semua bahan tadi dibeli kat pasar tani . Dalam kul 2 petang tadi, tgh bapak rehat2 manjakan diri kat atas katil, mak itamnya suruh pulak bapak beli asam jawa dengan halia pasal bahan tu tadi terlupa beli.

Bapak malas nak salin2 pasal bapak kalau kat rumah dengan pelikat gombang je mcm kebiasaan lalu dgn pelikat gombang jugak bapak start motor , selak kain sikit dan ke kedai runcit mamak islam tu kat belakang .

Lantak pi lah org nak tengok bapak macam bangla ke hehehe

Tapi mesti depa ramai2 kat kedai motor sebelah tu ingat mexico mana pakai kain pelikat hahaha

terung bakar goreng ni sedap dengan mee kari ni


semua ada kat dalam termasuk lembu, kerang , fish ball dan entah apa kebendanya

Cerita pakai pelikat gombang ni, teringat beberapa tahun yang lalu di sebuah hotel di Bercy, Paris . Perut lapar tetengah malam, maklumlah winter masa tu. Nak keluar cari makanan halal nak kena salin pakaian lagi pasal winter bukan boleh pakai pelikat gombang je jalan mcm tu, karang terkena "frosbite", menyesal seumur hidup hahaha

Cerek letrik pula takda dalam bilik, maka dengan selambanya berpelikat gombang, bapak turun bawak kole ke dapur restoran mereka minta air panas nak bancuh maggi. Staff kat kitchen tu tengok bapak kehairanan , mesti dia cakap orang mexico mana tu dengan kain pelikat musim sejuk ni hahaha

Dah lah dia sepatah haram tak tahu bahasa inggeris, pengabis bapak pakai bahasa isyarat je hehehe




OK, selagi lagi minta maap pasal hanya mengajak kekawan semua kat alam maya je menjamah mee kari ni dengan mata.

Opssss, hari ni bapak punya rajin sampai ada 2 entry hehehe

Bukan apa, pasal hari ni bapak tak ada keja sangat berbanding hari2 biasa yang penuh dengan kotmitmen menoreh hehehe

Burppppppp ,
Alhamdulillah.

RUTIN HUJUNG MINGGU

ALHAMDULILLAH

Hujung minggu datang lagi , begitu juga dengan rutin harian ku . Hujung minggu macam biasa meninggalkan teratak kami di tepi hutan untuk merasai kehidupan di pekan pula . Diam tak diam dah bertahun2 juga kami melalui rutin hujung minggu sebegini.

Semalam sebelum jumaat , lepas aku pesan kat Blackey, Onchu, Onche, Utih , CC dan rakan2 di tepi hutan agar jangan nakal2 dan tengok2kan pondok usang kami tu, lantas berdesup ke pekan . Nanti petang mcm biasa ada pembantu kasi makan nanti . Kucing2 aku tu dah faham dengan rutin hujung minggu aku dan petang ahad bila kami pulang, kesemua 7 ekor anak beruang tanah tu pasti meluru bila kami pulang.

Cerita pasal rutin hujung minggu , dah hampir sebulan dua juga kami tak pergi ke pasar tani di pekan HC mcm biasa pada hari Ahad semenjak dua menjak lori ikan tu tak datang. Jadi rutin berpasar tani kami di halakan ke pasar tani di perkarangan Stadium Larkin pula setiap pagi sabtu.

Macam biasa tadi lepas subuh , start motor roda tiga dengan beg dan besen kosong ke Larkin kami. Kerana pagi ni banyak kenderaan yg mereka semua nak pergi kerja, dalam lebih kurang pukul 7.30 pagi juga kami tiba. Kelihatan deretan kenderaan memenuhi segenap ceruk . Al maklumlah, pasar tani ni juga menjadi tumpuan para rakyat Singapura kerana di sini semua ada . Yang takda kelab malam dgn kelab dangdut je hehehe

Minggu depan rasanya malas nak pergi kerana banyak pokok yang nak kena toreh kerana dah hujung bulan, jadi aku beli stok bekalan makanan basah sekali untuk dua minggu utk dibawa ke tepi hutan nanti.

Dapat juga ikan patin, keli, senangin, tenggiri, tenggiling serta lembu dan serba sedikit yang lain . Cukuplah nanti utk dua minggu kerana kami berdua je. Kerang sekampit tak dilupakan kerana tengahari ni nanti aku dah minta chef itam aku masakkan mee kari . Kalau aku rajin nanti aku ambilkan fotonya , kalau takda foto2nya, bermaksud aku nah mamanlah mee kari tu nanti hehehe

Macam biasa juga rutin hujung minggu aku nak kena basuh motor roda tiga aku . Kalau org lain lebih suka hantar kat kedai, aku pula lebih suka basuh sendiri kerana disamping tu aku dapat peluh dan kira bersenam jugalah. Tu kira dah jadi rutin mingguan aku jugak. Lepas tu kalau terlebih rajin dalam 2-3 bulan sekali aku ambil wax dan polish . Aku dah biasa buat semua kerja2 kotor sebegini kerana aku ni pun dulu2 bukan terus senang je dalam kehidupan.Aku dulu2 hidup cukup2 makan je . Takda lebih takda kurang . Jadi , aku dah terbiasa dengan kerja kotor dan kerja2 kasar sebegini.

Aku merangkak dari bawah lantai ke atas lantai dan dan bertatih2 sikit-sikit hingga peringkat seterusnya dalam kehidupan ku . Jadi dari dulu dalam diri aku sangat2 menghargai apa2 jua pun apa yang aku miliki yang dipinjamkan oleh Allah kerana keperitan nak mulakan sebuah kehidupan dulu mengajar aku sebegitu.

Dulu sebenarnya ramai yang pandang aku sebelah mata pun tak nak.Aku pernah menjadi bahan cemuhan. Maklumlah , penoreh getahlah katakan yang takda kelulusan tinggi dan takda segulung ijazah. Yang aku ingat masa aku datang kali pertama kat tepi hutan ni dengan segulung tilam span murah je tanpa bantal pun naik motor cup cai dalam hujan2 lebat 23 tahun dulu. Motor tu arwah bapak aku yang punya. Aku ingat bila aku dah berjaya nanti , aku nak balas jasanya kerana dia memang sangat2 memahami aku dan kami agak rapat walaupun arwah ni garang orangnya . Tapi semuanya tak sempat kerana Allah memanggilnya dahulu .

Ahhh, tu semua cerita lama yang kami jadikan iktibar dan pengajaran dalam meneruskan kehidupan kami yang sementara ni dan apa yang aku dapat hingga ke hari ini sebagai pengajarannya, janganlah kita memandang hina seseorang itu hanya kerana kedaifannya kerana kita perlu ingat , suatu catatan perjalanan seseorang insan tu di muka bumi ini telah ditentukan oleh Allah dan asal kita dari tanah , kepada tanah juga kita kembali dan yang pasti semua yang lain akan kita tinggalkan dan hanya kain putih yang meyelimuti tubuh badan kita akan menemani kita dan juga segala amalan kita tak kiralah samada yang baik atau sebaliknya.

Tapi kalau nyawa kita diambil dan nak jadi cerita tak ditemui oleh sesiapa pun, maka tak berkapanlah kita .

Itu juga telah ditentukan oleh Allah

Selamat berhujung minggu semua.

Semoga ceria selalu .

Alhamdulillah

dah siap berkilat hehehe
kehidupan kita ibarat roda
jadi jangan pandang hina
pada orang lain
kerana semuanya telah ditentukan oleh Allah
tak kiralah dalam apa jua pun
waima kita hebat beragama sekali pun
waima kita hebat berpangkat sekali pun
waima kita apa saja
kerana ada yang lebih hebat dari kita
iaitu
ALLAH S.W.T
yang mengatur perjalanan hidup seseorang insan itu

Jumaat, Februari 17, 2012

TJR : PETANG YANG INDAH

ALHAMDULILLAH

Petang yang sungguh indah dengan langit nan biru dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. terasa nyaman dan bahagia sungguh. Paling best mereka menyediakan makanan dan minuman di situ jugak buat para tetamu . Percuma .

Keropok lekor ada, jemput2 undang dan ikan bilis ada , apam balik ada dan minuman yang dingin seperti air rossele dan semestinya teh tarik.

Sambil makan pada pelancong luar tu yang tak pernah tengok cara penyediaan jemput2, boleh saksikan sendiri depan bijik mata. Aku pulak dok pulun mengunyah satu2 jejemput tu yang panas2 lagi keluar dari kuali. Berasap mulut aku sambil mengunyah dan terlopong mat salleh tu tengok hehehe



Bagi sesiapa yang nak ikut aktivitinya dipersilakan. Ada main entah apa ke nama macam tarian galah tu, ada main congkak dan ada sessi menganyam . Main guli je takda hahaha

Kalau ada main guli, pasti aku lah rajanya kerana dedulu aku champion main guli ni dan champion juga main laga spider . Kerana main guli nilah dedulu masa kecik yg kekadang hampir mencetuskan pergaduhan. Mana tak gaduh, sekali aku totok guli mereka, terbelah dua satu persatu . Guli aku memang kebal sungguh hehehe

Tapi biasalah gaduh bebudak, lepas depa nangis boleh main semula . Takdalah campurtangan mak bapak masa tu tak macam sekarang ni

Kat situlah kita akan tahu sapa yang "kememe"

main congkak


Aku dedulu kecik2 pun cekap bab "membohong" main congkak ni . Mata siap jeling berapa bijik lagi guli dalam tangan dan berapa lubang lagi nak kena masukkan hehehe

Tu yang tak mati2 .

Sekarang tak ramai rasanya orang kita pandai main congkak ni. Manakan tidak. Mereka lebih cekap main permainan2 dalam alam maya sahaja berbanding alam realiti.

Memang kehidupan aku kanak2 dulu penuh warna warni pelangi.


main tarian galah



terpegun mat salleh ni tgk org main congkak

demontrasi buat apam balik

Khamis, Februari 16, 2012

TJR : MELUNJUR, MELUNJUR,MELUNJUR

ALHAMDULILLAH

Keistimewaan TJR adalah suasana kekampungannya dengan menghadap pantai Tg Jara disamping layanan mesra mereka dari semua staff . Satu lagi keistimewaannya ialah tempat melunjur yang banyak terdapat di mana-mana dalam kawasannya . Pilih je lah mana kita berkenan.

Pantainya juga aman kerana rasanya "private beach" tempat ni .

Aku bab duduk melunjur ni kena pulak bayu laut sepoi2 bahasa urdu menyepak pipi aku yang gebu ni, mau terlelap hehehe


tuala bersih disediakan kat pangkin2


Tenang, aman, damai
itulah yang aku boleh gambar bila melunjur sambil mengadap pantai . Lupa sikit masalah kebun gotah yang dah bersemak tak sempat meracun, lupa sikit masalah pokok getah yang dah tua yang perlu ditebang .

Aku rasa ini bukan kunjungan terakhir ku ke TJR ,
insyallah pasti aku datang lagi lagi jika dizinkan Allah untuk melunjur,melunjur dan melunjur lagi .

Cerita pasal melunjur ni, masa aku mengalami kecederaan yang serius akibat anterior cruciate ligament (ACL) dulu dalam satu pertandingan hingga menyebabkan aku hampir 6 bulan Allah bagi kaki sebelah kiri ni melunjur je dan tak boleh bengkok lansung .Masa tu kemudahan pembedahan macam sekarang ni belum meluas lagi . Maka tetiap hari laki dukun Senah kena datang rumah aku melakukan proses urutan.

Hampir setengah tahun solat pun aku duduk melunjur je, nak "qada' hajat" pun kena duduk melunjur juga kat toilet. Punya lah azab . Memang Allah bagi peluang sepuas-puasnya untuk aku melunjur .

Tapi semuanya ada hikmah disebaliknya kerana akibat kecederaan serius tu menyebabkan aku terpaksa melupakan sukan kegemaran aku tu , aku mula pula berjinak2 dalam dunia perniagaan sebagai peniaga dan pembancuh air profesional dan dari titik tolak hasil berniaga air selama beberapa tahun tu lah menyuluh jalan untuk berniaga getah beku pula hingga sekarang hehehe

Ok , aku nak melunjur ni

Tapi melunjur melunjur jugak, angin bertiup tetiba agak kuat,
takut tersingkap kain pelikat tu , maka aku ikat simpul buku sila kat bawah pelikat tu mcm bebudak pengakap tu buat ikatan .

Barulah aku dapat melunjur dengan aman sambil melelapkan mata.

Alhamdulillah

Good Night All My Friends
Moga dibuai mimpi2 indah dan jangan lupa selain baca doa sebelum bobok ,jangan lupa baca 3 kali surah Al Ikhlas sebagaimana seperti pesan Rasulullah kepada Aisyah R.A :

"Ya Aisyah jangan engkau tidur sebelum melakukan empat perkara, iaitu :

1. Sebelum khatam Al Qur'an
2. Sebelum membuat aku memberimu syafaat untukmu di hari akhirat nanti
3. Sebelum para muslim meredai kamu
4. Sebelum kau laksanakan haji dan umrah

Bertanya Aisyah :

"Ya Rasulullah, bagaimana aku dapat melaksanakan empat perkara sekali?"

Rasulullah tersenyum dan bersabda :

"Sebelum engkau hendak tidur bacalah surah Al Ikhlas tiga kali. Amalan ini adalah seakan-akan kau mengkhatamkan Al Qur'an.

"Membaca selawat untuk ku, maka aku akan memberi syafaat untukmu di hari akhirat kelak"

"Beristighfarlah dengan maksudnya "Ampunilah aku ya Allah yang maha besar, kedua ibubapaku, semua muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat yang masih hidup dan yang telah mati", maka mereka akan meredhai kamu."

"Perbanyakanlah bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir maka
seakan-akan kamu telah melaksanakan ibadah haji dan umrah"