WARGA SCP

Isnin, Ogos 31, 2009

DAY 34 18/12/2007 SELASA WUKUF DI PADANG ARAFAH

Melepaskan lelah seketika selepas subuh kerana
hampir semalam berjaga

Air Cooller yang mendingin sedikit khemah ku

Suasana di luar kawasan perkhemahan kami

BERSAMAAN 9 ZULHIJJAH

Alhamdulillah, Jam menunjukkan pukul 12.30 pagi. Setelah menempatkan beg galas di khemah, terus ke bilik air yang terletak berdekatan dgn khemah. Sejumlah 20 buah bilik air lelaki dan 20 buah bilik air wanita ini yang akan kami gunakan utk lebih kurang 2500 jemaah selama 1 1/2 hari ini. Jadi setiap jemaah mestilah bertimbangrasa semasa menggunakannya kerana tandas adalah terhad. Bagi jemaah yang kepenatan, ada yang telah melelapkan mata .
Ada pula yang berehat di khemah sambil berzikir, bertalbiah dan bermacam2 bentuk ibadat . Selama 34 hari aku bersama2 isteri ku, malam ini dan beberapa malam berikutnya kami terpisah kerana jemaah lelaki bersama kumpulan lelaki manakala perempuan pula juga . Kami sebenarnya mengambil pakej untuk 2 orang sebilik suami isteri yang ditawarkan oleh THTS.

Aku mengambil keputusan utk ke surau yang disediakan yang beralaskan permaidani di atas padang pasir yang kontang . Aku mengambil peluang pada malam yang indah ini di bumi yang penuh keberkatan utk melakukan ibadat sebaik mungkin kerana peluang , masa dan kesempatan yang datang ini kemungkinan hanya sekali dalam hidup ini kerana aku tidak tahu sampai bila aku akan bernafas dan berada di bumi ALLAH ini.

Memperbanyakkan solat tahajjud, solat sunat taubat , solat sunat hajat , di samping berdoa dan bermuhasabah diri.Padang Arafah merupakan tempat yang sebaik-baiknya utk bermuhasabah diri, mengenang dan mengingati kembali apa yang telah aku lakukan selama ini .

Adakah aku sebagai hambaNYA telah melakukan segala perintahNYA dan meninggalkan segala laranganNYA semasa aku masih hidup dengan sebaiknya ?

Kemudian dgn diketuai oleh seorang guru agama menlakukan Qiamulail sementara menunggu masuk waktu subuh yang dijangkakan 5.29 pagi. Subuh ini kami beramai-ramai solat secara berjemaah. Dinding khemah dibuka bagi menyambung saf-saf dgn imam. Kemudian diikuti dgn tazkirah.

Pagi ini acara bebas bagi jemaah sementara menunggu pukul 10.00 pagi. Aku mengambil kesempatan utk melelapkan mata seketika agar aku segar dan cergas kembali apabila menjelang masa wukuf nanti kerana sepanjang malam tadi aku berjaga.

Menunggu masuknya waktu wukuf

Wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijah bererti berhenti seketika . Berada di Padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di Padang Mahsyar di mana semua manusia ,tanpa mengira bangsa, pangkat atau kedudukan akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia.

Para jemaah telah bersiap menunggu masuk waktu wukuf


Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang kedua tetapi yang utama dari rukun-rukun haji itu. Itu adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : "Dari Abdul Rahman bin Ya'mur r.a katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh seorang penyeru menyerukan : "Haji itu ialah "Arafah". Barang siapa datang pada malam tanggal sepuluh, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapatkan Arafah" (Riwayat - Ahmad dan Ashabus Sunan)

Jemaah dari negara luar yang tidak berkhemah hanya
menantikan berakhirnya waktu wukuf di tepi-tepi

Masa yang wajib berada atau berwukuf di Arafah ialah di awal waktu Zuhur pada 9 Zulhijjah, hingga sebelum fajar pada hari Nahar, iaitu 10 Zulhijjah, tetapi tidak semestinya berada di Padang Arafah itu sepanjang masa yang tersebut kerana sahlah berhenti disitu walaupun sebentar sahaja pada masa di antara Zuhur 9 Zulhijjah hingga sebelum fajar 10 Zulhijjah.

Pukul 11.00 pg melakukan persiapan diri utk wukuf yang dijangka 12.18 tgh. Menjelang waktu wukuf dgn dipimpin oleh beberapa orang guru agama, acara dimulai dgn talbiah dan zikir serta tazkirah .Masuk sahaja waktu zohor , khutbah pertama dibaca . Setelah selesai diikuti dgn khutbah kedua serentak dgn laugan azan Zohor. Kemudian kami solat zohor dan asar secara jamak takdim tamam .

Khutbah Arafah yang dibaca sungguh meruntun jiwa , menyentuh hati dan perasaan . Dengan nada suara yang merayu dan merintih kepada ALLAH memohon taubat dan keampunanNya Tanpa disedari air mata bergenang dan berlinangan . Ia mengingatkan diri kita sebagai hambaNYA yang kerdil banyak melakukan dosa-dosa , kesilapan dan perkara yang mungkar semasa kita hidup , dosa-dosa yang kita lakukan terhadap kedua ibubapa kita , dosa-dosa terhadap isteri atau suami , anak-anak dan anggota keluarga. Namun masih diberi kesempatan dapat menjadi tetamuNYA dan berpeluang memohon keampunanNYA.

Berdoa di bumi Arafah semasa wukuf merupakan salah satu tempat mustajab dan diangkat terus doa itu ke langit. Kemudian diteruskan lagi dgn Zikir dan Doa Arafah sebagai pengisian wukuf sehingga hampir pukul 5.00 ptg. . Sebelum waktu magrib tiba pada 5.43ptg , aku berdoa secara bersendirian kerana itulah waktu yang paling afdal utk berdoa ketika berada di bumi Arafah. Mengerjakan solat magrib dan isyak secara jamak takdim tamam dan seterusnya bersiap-siap pula untuk meninggalkan bumi Arafah yang penuh keberkatan ini menuju ke Mudzalifah .

DAY 33 17/12/2007 ISNIN

Alhamdulillah, 

Hari ini 17/12/2007 bersamaan 8 Zulhujjah merupakan hari Tarwiyah. Kami dijangkakan bertolak ke Arafah selepas waktu zohor lebih kurang pukul 2.00 ptg. Namun di sini, kita hanya mampu merancang sahaja dan segala ketentuan hanya pada ALLAH. Kami diberitahu bahawa kami hanya akan bertolak ke Arafah selepas waktu Isyak kerana masalah kesesakan jalanraya menuju ke Arafah yang penuh dgn "lautan bas" menyebabkan bas ulang-alik sebanyak 10 buah yang akan membawa kami seramai lebih kurang 2000++ jemaah mengambil masa yang panjang.

Ada diantara rakan kami yang telah memakaikan ihram . Jadi aku menangguhkan dahulu niat utk memakai ihram dan berniat haji . Naik semula ke bilik hotel dan berehat kerana ada lagi masa hampir 6 jam sebelum bertolak.

1 jam lagi sebelum bertolak seperti yang dijangkakan, aku melakukan persiapan dgn melakukan perkara2 yang disunatkan sebelum ihram spt :- mengerat kuku- merapikan janggut/misai/rambut- memotong bulu ketiak/ari2 dan sebagainya- mandi sunat ihram- mengambil wuduk- memakai wangi-wangian pada badan- memakai kain ihram berwarna putih- solat sunat ihramSelepas itu menghadap kiblat , melafazkan dan berniat haji , Sahaja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana ALLAH Taala.

Maka bermulalah bagi kami 13 pantang-larang dalam ihram yang perlu dipatuhi dan dijaga selama beberapa hari. Dalam hati kami, tidak dpt digambarkan akan kegembiraan kerana kami akan mengerjakan dan menyempurnakan haji buat pertama kali dan kami berdoa agar kami dapat melakukan segala rukun dan wajib haji dengan sebaik-baiknya, diberikan kesihatan yang baik dan segala kemudahan dari ALLAH dan haji kami diterima menjadi haji yang mabrur. Tiada balasan selain syurga bagi haji mabrur.

Akhirnya kami bertolak ke Arafah lebih kurang jam 8.00 mlm hampir 6 jam lewat. Perjalanan yang hanya 21.9 km mengambil masa hampir 3 jam lebih. Lebuh raya 4 lorong telah menjadi 6 lorong dipenuhi dgn "lautan bas" yang membawa jemaah menuju ke tempat yang sama .

Teringat kembali sejarah Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.

Perjalanan kami diiringi dgn laugan talbiah ,"Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni'mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak"menyebabkan aku rasa diri ini terlalu kerdil dalam perjalanan utk menghadap ALLAH .

Ya ALLAH, kami datang dari jauh dengan membawa segala dosa samada disedari atau tidak, samada besar atau kecil , kami malu untuk menghadap Mu Ya ALLAH atas apa yang telah kami lakukan , namun atas keberkatan Mu, kami dipilih menjadi tetamu Mu Ya ALLAH.

Semuanya sama sahaja dgn memakai 2 helai kain putih yang tidak berjahit dan bercantum bagi lelaki dan telekung bagi wanita . Hati ku bercampurbaur, perasaan diasak sayu, insaf dengan kekhilafan dan kekurangan diri namun masih diberi nafas dan nyawa utk terus beribadat,bertaubat dan hidup di muka bumi ini ,kagum dengan kebesaran ALLAH dan sebak serta gembira menjadi tetamu jemputan ALLAH untuk menunaikan ibadat haji di kota suciNya.

Padang Arafah juga adalah tapak bersejarah dalam kehidupan manusia kerana di Jabal Rahmah yang terletak di kawasan itu, Nabi Adam dan isterinya, Hawa bertemu kembali selepas diturunkan dari syurga. Di situ jugalah NabiMuhammad (SAW) menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam.Padang Arafah adalah tempat pertama di bumi ini ALLAH menerima taubat hambaNYA. Di Jabal Rahmah, Adam dan Hawa bertemu semula setelah dikeluarkan dari syurga kerana kesilapan melanggar perintah ALLAH. Bertahun-tahun lamanya Adam memohon taubat di sini dan akhirnya taubat kedua-duanya diterima dan diampunkan . Kami sekarang berada di bumi Arafah sama seperti hasrat dan matlamat Adam dan Hawa, memohon keampunan dan berharap mendapat haji yang mabrur.

Diri ini terasa sangat kerdil dan cuba melakukan amalan di sini dgn sebaiknya dan berdoa semoga ALLAH menerimanya. Kami sampai lebih kurang jam 11.30 mlm ke kawasan perkhemahan yang disediakan di hujung kawasan Padang Arafah yang seluas 10.4 km persegi. Di sambut oleh petugas THTS . Terus mencari khemah yang sepatutnya mengikut penempatan nombor khemah yang dibekalkan.

Setiap khemah menempatkan 18 orang jemaah dgn dibekalkan sekeping tilam yang kecil, selimut dan sebiji bantal .Khemah didirikan di atas kawasan padang pasir dgn beralaskan permaidani. Kemudian terus ke kawasan belakang perkhemahan utk makan malam yang disediakan oleh pihak pengurusan Tok Syeikh @ muasasah yang dilantik oleh pemerintah Arab Saudi . Jam menunjukkan hampir 12.00 tgh malam.

Alhamdulillah, akhirnya masa yang sangat dinantikan akan tiba juga dengan izinNYA.



Kawasan perkhemahan kami

Kita semuanya sama

DAY 31 15/12/2007 SABTU DAN DAY 32 16/12/2007 AHAD

Suasana depan hotel penginapan

lautan manusia


Alhamdulillah, hari yang ditunggu hampir tiba setelah berada hampir 31 hari di tanah suci. Ya ALLAH, permudahkan perjalanan kami agar dapat menyempurnakan segala ibadat haji yang wajib dan rukun dengan sempurna. Untuk 2 hari ini, kami melakukan persiapan dari segi kelengkapan , mental dan fizikal kerana kami akan meninggalkan kota Mekah utk wukuf di Padang Arafah, mabit di Muzalifah dan bermalam di Mina . Kami dimestikan hadir pada Taklimat Arafah dan Mina yang yang diadakan di hotel penginapan sebagai persiapan dan perkara2 yang perlu dilakukan ketika berada di sana .

Melihat kembali "checklist" yang dibekalkan kepada kami . Kami dibekalkan dengan "sticker" penempatan nombor khemah di Arafah dan Mina. Keperluan yang perlu dibawa seperti :- pakaian utk 4 hari - buku rekod kesihatan- buku2 doa /Al-Quran, - tasbih- sejadah- uncang batu- tuala kecil- gunting- lampu suluh - 1 botol air . - Wang sekitar 200-300 riyal juga perlu dibawa utk kegunaan keperluan peribadi.
Wuquf di Arafah bermaksud berada di bumi Arafah walau 1 saat sekalipun dalam sebarang keadaan selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah hingga terbit fajar 10 Zulhijjah.Kita tidak boleh mewakilkan kepada org lain. Bagi jemaah yang sakit dan berada di hospital, mereka akan dibawa ke Arafah dgn menggunakan ambulan.

Waktu afdal bagi wuquf ialah sebahagian dari siang hari 9 Zulhijjah dan sebahagian dari malam 10 Zulhijjah. Syarat berwuquf ialah:- telah berihram dgn niat haji- tidak gila, mabuk atau hilang akal- berada di bumi Arafah walau seketika dalam waktu wuqufPelbagai amalan2 sunat yang boleh dilakukan semasa wuquf seperti:- solat berjemaah- bertalbiah- berdoa- berzikir- membaca Al-Quran- solat sunat.
Jarak antara Mekkah dan Arafah 21.9 km dan dijangka perjalanan mengambil masa antara 2-3 jam. Akan berada di sana lebih kurang 1 1/2 hari dan bertolak ke Muzdalifah utk mabit pula selepas tghmalam 10 Zulhijjah yang jaraknya 8 km dari Arafah. Selepas itu akan bertolak pula ke Mina utk bermalam antara 3-4 hari . Jarak dari Muzdalifah ke Mina 6.9 km.
Kota Mekah telah mula ditinggalkan oleh jemaah haji dari negara2 luar kerana mereka yang berfahaman imam Hambali dan Maliki akan bertolak terus ke Mina dahulu dan apabila tiba 9 Zulhijjah, dari Mina mereka akan ke Padang Arafah.
Masjidil Haram mula lenggang sedikit kerana hampir 70 peratus dari jemaah haji berfahaman Maliki dan Hambali. Satu peristiwa yang menarik perhatian ku ialah ketika melihat sekumpulan jemaah dari Afrika sedang memunggah arang yang dibeli dr sebuah kedai utk dibawa ke sana nanti sebagai persediaan utk memasak nanti. Bas2 mula kelihatan sibuk di depan hotel2 utk membawa jemaah ini ke Mina. Bagi kami jemaah Malaysia , dijangkakan bertolak pada 8 Zulhijjah (Hari Tarwiyyah) bersamaan 17/12/2007 (ISNIN) dan terus ke Arafah.

DAY 30 14/12/2007 JUMAAT



Alhamdulillah, hari ini merupakan hari Jumaat terakhir sebelum tiba hari wukuf. Dijangkakan kota suci Mekah dan Masjidil Haram hari ini akan mengalami kesesakan kerana semua jemaah yg mengerjakan fardhu haji telah berada di sini. Semalam imam Masjidil Haram meminta para jemaah agar melakukan solat hajat hari ini agar di turunkan hujan kerana telah lama bumi Mekah tidak dituruni hujan dan telah terlalu kontang dan kering.

9.15 pagi , telah ke Masjidil Haram utk solat Jumaat yang masuk waktu pada pukul 12.15 tgh kerana jika tidak, pasti tidak akan mendapat tempat. Jalanraya sekitar Masjidil Haram telah ditutup kepada semua kenderaan sejak pukul 10.00 pg lagi . Aku mengambil tempat di aras 2 hari ini. Sementara ada 2-3 jam lagi, menghabiskan masa dgn membaca Al-Quran. 

Bagi jemaah perempuan pula , pihak Tabung Haji tidak menggalakkan mereka utk pergi solat Jumaat kerana kesesakan dan tidak diwajibkan bagi kaum wanita bersolat Jumaat.10.00 pagi Masjidil Haram telah mula dipenuhi oleh para jemaah. Tiada lagi ruang2 yang kosong. Namun para jemaah yang agak lewat sedikit terus mencari tempat dan kelihatan ramai yang melangkah bahu dan kepala jemaah yang duduk utk ke hadapan mencari sekiranya ada ruang2 kosong.

Di sebelah ku , sekumpulan jemaah dr India telah memarahi 2-3 orang jemaah lain yang hendak duduk "betul-betul" di hadapan mereka , kerana ada masa yang panjang lebih kurang 2-3 jam lagi sebelum waktu solat dan adakalanya mereka terpaksa melunjurkan kaki kerana duduk bersila terlalu lama dan boleh menyebabkan kekejangan dan sakit pinggang.

Agak lama juga masa yang diambil utk keluar dr Masjidil Haram selepas waktu Jumaat. Setelah balik ke hotel , aku difahamkan bahawa hari ini jemaah utk solat jumaat telah membuat saf di atas jalanraya sejak dr pukul 11.00 pg lagi hingga mencecah 2 km di atas jalanraya2 yang menuju ke Masjidil Haram dan saf itu bersambung. Itulah kelebihan di sini. 

Bagi jemaah wanita yang tidak solat jumaat tetapi pergi ke kedai berhampiran Masjidil Haram , ketika hendak pulang ke hotel juga menghadapi kesukaran dan terpaksa menunggu sehingga selesai solat Jumaat kerana di atas jalanraya menuju ke hotel dipenuhi oleh jemaah yang membuat saf dan kurang sopan bagi mereka utk lalu dicelah2 jemaah lelaki.



Lautan manusia memenuhi di sekitar Masjidil Haram yang merupakan pengalaman yg sukar dilupakan. Di mana-mana ceruk sekalipun sekitar Masjidil Haram dipenuhi manusia. Supermarket Ben Dawood yang terletak di Hilton Towers berhadapan dgn Masjidil Haram juga sungguh sesak kerana ramai jemaah persendirian dr negara luar yang membeli keperluan utk dibawa ke Arafah dan Mina nanti. 

Khemah2 kecil spt yang digunakan oleh anak2 kita semasa aktiviti "camping " di sekolah juga sgt laris di super market ini. Harga makanan dan barangan telah naik berikutan permintaan yang sgt tinggi .

DAY 29 13/12/2007 KHAMIS

Susana begitu padat sekali selepas setiap solat fardhu
di jalanraya pulang ke penginapan masing2


Memerhati lagi kejauhan . Betapa hebat dan meriah
dlm memenuhi tuntutan ibadat


Seronok yg tidak terhingga melihat kebesaran ALLAH



Pengurusan Masjidil Haram di bawah Syarikat Ben Laden yg menguruskan kebersihan, pengurusan air zam-zam dll. Kebanyakkan pekerja mereka berasal dari India, Pakistan dan jumlah yang kecil dr Indonesia. 

Gaji yang diterima oleh mereka tidak lumayan , sekadar 400 riyal dgn penginapan disediakan, tetapi mrk sgt berbesar hati kerana dpt bekerja di "Rumah ALLAH" yang pahalanya sgt besar dan dpt beribadat dan mengerjakan solat . Pada musim haji , ramai jemaah yang bermurah hati bersedekah kepada mereka . Setiap selepas waktu solat subuh dan zohor , mereka akan mencuci lantai masjid . Tong air zam-zam yang hampir kosong sentiasa diganti .

Hari wukuf yang semakin hampir menyebabkan kota Mekah telah sesak dgn hampir jutaan jemaah. Pada tahun ini , dijangkakan hampir 3 juta lebih jemaah yang akan mengerjakan fardhu haji . 1.8 juta jemaah terdiri dari negara-negara luar dan 1.5 juta pula terdiri dari rakyat Arab Saudi . 

Keadaan di Masjidil Haram pula sgt sesak dari tempat solat di tingkat bawah tanah sehinggalah ke aras di atas bumbung. Kesemua jemaah yang berada di Madinah juga telah berada di Mekah. Pada waktu sekarang, kota Madinah telah lengang. Jemaah yang ramai dapat dilihat apabila selesai waktu solat ketika mereka pulang ke penginapan masing-masing. Jalan-jalan dipenuhi dgn jemaah yang pulang mengikut setiap penjuru yang menuju ke Masjidil Haram. Jemaah yang bersolat juga telah kelihatan di atas-atas jalanraya , kaki lima kedai dan di mana-mana .Untuk keluar dari Masjidil Haram mengambil masa yang agak panjang sedikit kerana terlalu sesak dan berhimpit-himpit terutama selepas waktu subuh dan isyak . Ramai jemaah yang terus berada dari asar terus ke isyak di dalam Masjidil Haram.

Anggota polis yang mengawal Masjidil Haram juga kelihatan di sana-sini . Begitu juga dgn pasukan perubatan bergerak yang sentiasa berada di Masjidil Haram. Petugas-petugas sukarela pula sibuk mengarahkan para jemaah agar tidak duduk dan menghalang perjalanan . Di kesemua penjuru-penjuru jalan raya utama menuju ke Masjidil Haram , ambulan-ambulan di tempatkan di situ.. Kaunter yang di khaskan untuk orang yang sesat juga penuh dgn jemaah , terutama yang agak berumur yang sesat dan tidak tahu arah pulang ke tempat penginapan mereka.

Laman Kaabah sentiasa dipenuhi oleh jemaah yang melakukan tawaf dan beribadat tanpa mengira pagi atau petang, siang ataupun malam. Berteduh di bawah naugan Kaabah merupakan tempat berteduh yang paling mulia di muka bumi ini, dan Nabi pun pernah berbuat demikian. Sebagaimana diriwayatkan oleh Bukhari dari Khubab, ia berkata " Ketika kami ingin mengadu kepada Rasulullah, baginda sedang berteduh dengan berbantalkan sarbannya di bawah naugan Kaabah".
Muhammad ibn Sauqah meriwayatkan, " Kami sedang bersama Said ibn Jabir di bawah naugan Kaabah, lalu Rasulullah bersabda " Saat ini kalian sedang berada di tempat berteduh yang paling mulia di muka bumi"

Kaabah yang ada di muka bumi ini juga sama dengan "Al-Bait Al- Makmur" yang ada di di langit sebagaimana diriwayatkan oleh Ali ibn Abbas dalam tafsirnya atas surah Al-Thur ayat 4 : "Dan demi Baitul Makmur. Di langit Baitul Makmur berada tepat di atas Kaabah, dan kesucian dan kemuliaannya sama dengan kesucian dan kemuliaan Kaabah di bumi. Terdapat 70 ribu malaikat yang mengerjakankan solat setiap hari selama-lamanya.
p/s : selamat menyambut hari kemerdekaan.

Ahad, Ogos 30, 2009

DAY 28 12/12/2007 RABU

Suasana yang sentiasa indah dan mendamaikan

Tertidur kepenatan dgn "uniform" sponser Al-Bayan
p/s ; IP , kita buat baju raya nak tahun ini, pasti gempak
AJK GPK pun satu pasang, sedondon

pekerja ben ladin beruniform coklat adalah dari bahagian
pengurusan air zam-zam

pekerja ben ladin beruniform hijau adalah dari bahagian
pengurusan am dan  pembersihan


Alhamdulillah, pagi ini lebih kurang 3.00 pagi dah bangun dan bersiap utk ke Masjidil Haram , Alamak, buka saja paip untuk mengambil wuduk, tiada bekalan air. Rupa-rupanya bekalan air di hotel untuk tangki utama telah kehabisan dan pekerjanya terlupa utk menyalurkan air dari tangki simpanan. 

Begitulah keadaan bekalan air di kota Mekah yang diangkut menggunakan "tanker" dan dihantar ke hotel-hotel. Kami mengambil wuduk menggunakan bekalan air zam2 yang terdapat dalam bilik hotel kami.

Suasana menuju Bukit Safa

Di sini kita tidak perlu mandi sekerap di Malaysia kerana cuaca panas dan keringnya menyebabkan badan kita tidak berpeluh dan berbau. Itulah kelebihan kota suci Mekah. Yang penting utk beribadat , pastikan tubuh badan kita dan pakaian suci dan bersih dari hadas kecil dan besar.Jemaah semakin ramai dan perlu lebih awal 2-3 jam setiap kali waktu solat .
Waktu solat utk hari ini bersamaan 12 Zulhijjah di kota suci Mekah:

Subuh : 05.26 pg
Terbit Matahari : 06.48 pg
Zuhur : 12.15 tgh
Asar : 03.19 ptg
Magrib : 05.40 ptg
Isyak : 07.10 mlm

Di sini waktu terbit matahari sangat diambil kira kerana terdapat 2 sembahyang sunat yang boleh dilakukan selepas itu iaitu sembahyang sunat israk dan sembahyang sunat dhuha. Dan diantara selepas solat magrib sementara waktu isyak sampai , boleh melakukan solat sunat awabbin seberapa banyak yang boleh.

Sementara waktu isyak tiba, duduk di sebelah saya seorang jemaah dari Algeria yang agak besar tubuh badannya . Kami berkenalan dan berbual mcm "ayam dgn itik" kerana rata-rata jemaah dari benua arab atau benua afrika tidak boleh berbahasa Inggeris.Saya mengatakan bahawa saya dari Malaysia lalu ia menyampuk dgn ayat "KLCC" dan "MAHATHIR" yang pada pendapat saya agak sinonim dengannya. Ia menunjukkan jari kakinya yang melecet akibat sandal yang dipakainya menyebabkan sukar dan kesakitan utk mengambil wuduk dan solat. Lalu dia membuka plastik tempat ia menyimpan sandal tersebut dan menunjukkan kepada saya sandal yang dipakainya. Malangnya di bawah sandal tersebut tertulis "MADE IN MALAYSIA"

Alhamdulillah.

DAY 27 11/12/2007 SELASA

Jalan raya sentiasa dipenuhi para jemaah

Suasana jemaah yg pulang dari Masjidilharam
menghala misfala di depan hotel penginapan



Kalau hilang pasangan, mmg agak sukar kerana semuanya
hampir sama dan putih


Alhamdulillah, suhu pagi ni sekitar 32 c. Lebih kurang macam di Malaysia. Namun di sini kita jarang berpeluh tidak seperti di nagara kita kerana cuacanya panas dan kering. Namun kita mesti memastikan supaya sentiasa minum air , terutamanya air zam-zam kerana dikhuatiri berlaku kekurangan air dalam tubuh badan kita tanpa disedari.

Suasana kota mekah semakin meriah. Hari ini kami mendapat berita yang pemerintah Arab Saudi telah memilih 18/12/2007 bersamaan hari Selasa sebagai hari wukuf . Ini bermakna lagi lebih kurang 7 hari lagi akan tiba kemuncak bagi musim haji yang ditunggu2 oleh semua jemaah yang mengerjakan haji . Kami juga telah dinasihati oleh pihak Tabung Haji agar tidak melakukan umrah sunat menjelang seminggu hari wukuf dan sentiasa menjaga kesihatan diri.Hari wukuf merupakan hari yang dinantikan oleh semua jemaah yang merupakan salah satu rukun dalam mengerjakan ibadat haji. Tiada haji bagi seseorang sekiranya ia tidak berwukuf di Padang Arafah walaupun puluhan ribu ringgit yang dikeluarkan utk datang ke Mekah.

Kerajaan Arab Saudi juga telah menjalankan kerja2 penambahbaikan di kawasan Arafah dan Mina menjelang hari wukuf. Ini semua dapat dilihat melalui berita dan suratkhabar. Kami di sini setiap hari membeli akhbar ARAB NEWS yang berbahasa Inggeris berharga 2 riyal utk mengetahui berita setempat. Namun akhbarnya bukan seperti akhbar kita dan nipis sahaja dan sangat terhad. Kemungkinan besar membaca akhbar bukan budaya orang arab dan mereka lebih menitikberatkan membaca Al-Quran . Untuk mengetahui berita di tanah air pula , pihak pengurusan THTS akan menampalkan petikan berita yang diambil dari internet di papan kenyataan . Jadi kami di sini tahu serba sedikit perkembangan di tanah air seperti berita banjir dan masalah yang ditimbulkan oleh Hindraf. Masalah komunikasi dgn anggota keluarga di Malaysia pula terutama anak2 tidak timbul kerana kemudahan telefon bimbit . Selang 2-3 hari , kami akan menelefon mereka utk bertanya khabar .

Menjelang hari wukuf , pihak berkuasa Arab Saudi juga telah menyediakan jadual perjalanan dan pergerakan jemaah mengikut maktab ke Arafah dan Mina mengikut masa . Maktab di sini bermaksud lokasi sesuatu tempat seperti bagi kawasan hotel kami maktab 105. Jadual perjalanan disusun sedemikian rupa kerana lebih kurang 3 juta lebih jemaah yang akan bergerak ke Arafah . Sekiranya kesemua jemaah bergerak serentak , maka kesesakan lalulintas yang "dahsyat" akan berlaku . Itu sebabnya sebelum ini , kita sering kali terdengar cerita yang ada jemaah yang berangkat ke Arafah mengambil masa sehingga lebih 24 jam utk sampai ke sana sedangkan jarak antara Mekah dgn Arafah hanya 21.9 km sehinggakan ada jemaah yang meninggal dunia samada di dalam bas atau di Padang Arafah . Oleh itu , mereka telah menyediakan jadual perjalanan mengikut masa dan lebuhraya tertentu menuju ke sana yang perlu dipatuhi.

Malam ini juga kami mengikuti ceramah agama berkaitan ibadat haji di hotel penginapan . Ceramah malam ini berkisar tentang amalan-amalan dan adab di Mudzalifah seperti bertalbiah, berzikir , bertadarus dan berdoa sepanjang berada di sana kelak. Hanya menghitung hari sahaja menunggu tibanya hari wukuf nanti dan sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar kami dapat menjalani ibadat haji dengan baik dan sempurna dan diberikan kesihatan yang baik dan segala kemudahan dalam mengerjakannya. Menunggu hari wukuf dengan penuh debaran .

Alhamdulillah

DAY 26 10/12/2007 ISNIN

Saat waktu solat hampir masuk, ada yg masih bertawaf

Jemaah yg padat dlm Masjidil Haram

Cantik baju kurungnya . Seragam utk jemaah dari Guinea
supaya mudah dikenali.


Alhamdulillah, 3.50 pg telah sampai di Masjidil Haram utk solat subuh yang masuk kira2 pukul 5.20 pagi. Terus menuju ke laman kaabah utk melakukan tawaf sunat. Perjalanan menuju ke laman kaabah begitu mencabar kerana terlalu ramai jemaah pada pagi ini dan ramai juga jemaah yang duduk di tangga dan tempat pejalan kaki. 20 minit juga baru sampai setelah melalui di tepi jemaah2 yang duduk di tempat pejalan . 

Bagi jemaah2 dari negara lain yang agak kasar dan kurang bersopan, kelihatan mereka melangkah di atas bahu dan dan kepala orang lain utk ke hadapan. 2 pusingan terakhir agak mencabar kerana pada masa itu pusingan tawaf seringkali terhenti dan terpaksa menahan diri dari jemaah yang menolak dari belakang. Kawasan tawaf pada pagi ini memang terlalu padat dgn jemaah .

Untuk minggu2 terakhir sebelum tiba hari wukuf, beginilah senarionya. 1 jam lebih juga diperlukan utk menghabiskan 7 pusingan tawaf akibat kepadatan manusia dan memerlukan kesabaran krn terdapat pelbagai ragam manusia . Aku sentiasa berhati2 agar niat ku utk bertawaf tidak berubah dan sentiasa memastikan bahu kiri ku tidak beralih dari kaabah yang merupakan salah satu syarat sah tawaf. Kedua2 belah tangan terpaksa digunakan utk melindungi kedua2 belah bahagian rusuk kiri dan kanan dari dihimpit oleh jemaah lain yang boleh menyebabkan kesukaran utk menarik nafas.

Apabila telah terlalu ramai , persentuhan sudah tidak dapat dielakkan.Namun seperti yang diajar dan telah diputuskan dalam "muzakarrah" oleh Ulama dan Mufti dan boleh digunapakai terdapat 3 pendapat dalam mazhab Shafie,

1. Pendapat pertama , jika tersentuh antara bukan muhrim, maka terbatallah wuduk kedua-duanya.

2. Pendapat kedua, jika tersentuh , maka org yang menyentuh batal wuduknya dan orang yang disentuh tidak batal.

3. Pendapat ketiga, tidak terbatal wuduk kedua-duanya jika tersentuh dalam keadaan tidak timbul rasa syahwat.

Jadi kami jemaah haji dari Malaysia dinasihati agar sentiasa mengguna pakai pendapat yang ke tiga itu yang telah diputuskan oleh ulama dan mufti . Salah satu lagi syarat sah tawaf ialah menutup aurat . Bagi wanita aliran ahli sunnah wal jamaah dan berfahaman imam Shafie, auratnya keseluruhan badan termasuk kaki kecuali 2 tapak tangan dan muka. 


Bagi mahzab Hanafi dan Hambali, kaki bukan diantara aurat. Jadi mereka tidak memakai stokin semasa tawaf. Keadaan orang yang terlalu padat dan ramai semasa tawaf menyebabkan seringkali berlaku persentuhan . Cuba bayangkan sekiranya kita jemaah lelaki seringkali terbatal wuduknya semasa tawaf akibat persentuhan. kemungkinan 2-3 hari pun tidak akan selesai tawaf. Itulah kelebihan agama Islam yang sentiasa ada jalan penyelesaian terhadap hambaNYA yang kita perlu pelajari dan ketahui.

Alhamdulillah , hari ini aku telah khatam Al-Quran di Masjidil Haram dan terus mengulangi kembali bacaan ku dari mula. Pagi ini kami mengikuti ceramah agama di hotel penginapan berkaitan wukuf di Padang Arafah. Ustaz menyentuh tentang amalan2 yang boleh dilakukan semasa wukuf nanti . Wukuf di Arafah merupakan kemuncak bagi musim haji dan salah satu rukun

Sabtu, Ogos 29, 2009

DAY 25 09/12/2007 AHAD

Sebelum masuk waktu magrib

Lampu yg menerangi Massjidil Haram

Pekerja Ben Ladin sentiasa menjalanakan tugas

Tong air zam-zam yg banyak terdapat dlm Masjidil Haram
Minumlah sepuas-puasnya

Apalah nasib aku, mungkin itu yg difikirkan. Fikirkan apa
yg tersurat di benak hati jemaah ini.

Alhamdulillah, pagi yang indah dgn keadaan kesihatan yang baik. Kota Mekah semakin ramai dan padat dgn jemaah. Ini dapat dilihat dgn situasi dan keadaan pada masa ini yang berhimpit-himpit semasa menunaikan solat dan para petugas di kawasan Masjidil Haram terpaksa bertugas dgn lebih tegas lagi bagi memastikan tiada jemaah yang duduk membuat saf di jalan2 masuk dari mula memasuki Masjidil Haram ke Kaabah. Teriakan "Haji",Hajjah , tariq, rasta " kedengaran di sana - sini apabila para petugas mengarahkan jemaah2 yang agak degil yang duduk di jalan masuk kerana tidak mendapat tempat utk bersolat. 

Apabila azan berkumandang , barulah para petugas membenarkan para jemaah bersolat di tempat pejalan kaki dan selepas sahaja selesai solat, mereka terus "menghalau" dan sehingga kedengaran seperti mahu bergaduh .
Untuk keluar dari Masjidil Haram selepas solat juga agak menimbulkan sedikit kekecohan kerana bertembung dgn jemaah yang mahu masuk seperti "aliran air yang tersekat " Boleh berlaku insiden yang tidak diingini. Kebiasaannya apabila keluar, aku mengepitkan kedua tanganku melindungi bahagian tepi dada dari terhimpit.Keluar saja dari pintu Masjidil Haram , terpaksa menempuhi lagi kesesakan di laman luar Masjidil Haram kerana terdapat jemaah yang tidak bangun dan kita perlu berhati-hati kerana takut terpijak mereka . 

Kesesakan yang luarbiasa timbul terutama selepas waktu subuh dan isyak kerana pada masa itu hampir 90 % jemaah yang berada di dalam Masjidil Haram akan keluar secara serentak setelah selesai waktu solat . Namun itulah kelebihan tanah suci Mekah. Walaubagaimana sesak sekali pun dgn jutaan umat manusia , namun itu semua hanyalah "sekelumit pengorbanan" dalam mencari keredaan ALLAH .
Rak-rak meletak kasut juga tidak boleh lagi menampung kasut para jemaah. Seringkali terserempak dgn jemaah yang mencari kasut mereka yang bukan hilang, tetapi kerana telah bertimbun kasut2 di rak tersebut. Kami setiapkali ke masjid akan memastikan membawa beg plastik utk mengisi kasut dan meletakkannya berhampiran tempat kami solat . 

Para petugas yang mengisi air zam2 ke dalam tong juga agak sibuk kerana dalam waktu yang singkat, air zam2 tersebut habis dan perlu diganti tongnya. Masalah tempat solat juga timbul kerana berlaku percampuran antara lelaki dgn perempuan dalam satu saf yang bukan muhrim. Adalah haram dan berdosa apabila lelaki dan perempuan yang bukan muhrim berada dalam satu saf semasa solat. Perkara ini sering terjadi kepada jemaah haji Indonisia . Seringkali juga terserempak dgn petugas2 yang terpaksa "berkhutbah" kepada pasangan2 tersebut di dalam Masjidil Haram .

Berkenalan dan berbual dgn seorang "bapak" yang agak berumur dari Indonesia yang duduk di sebelah ku semasa waktu magrib menyatakan kesyukurannya kepada ALLAH kerana dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah utk mengerjakan haji . Ia tidak menyangka sama sekali akan dapat menunaikan fardhu haji kerana tidak mempunyai pembiayaan yang mencukupi kerana terpaksa membesarkan anak-anaknya. Namun seorang dari anaknya yang bekerja di Singapura telah mengumpulkan wang utk membiayai pembiayaan tersebut. Berkali-kali ia mengucapkan syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana ia tidak sesekali menyangka bahawa ia akan menjadi tetamu Allah. Sambil ia bercerita dengan linangan air mata kesyukuran, aku mendengar luahan isi hatinya . 


Saya membayangkan jika diri kita yang telah sempurna dari segi kemampuan masih memandang ringan dan enteng akan kewajipan mengerjakan rukun islam ke 5 ini. Sekiranya nyawa kita dicabut dari tubuh badan yg merupakan pinjaman dari Allah, Subahanallah… Itulah kebesaran Allah S.W.T .
Firman Allah S.W.T :
Surah Ali-Imran ( Sebahagian daripada ayat 97 ) yang bermaksud:
 
" Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji 
dengan mengunjungi Baitullah, iaitu siapa yang mampu 
sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur ( ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu ), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya ( tidak berhajatkan sesuatu pun ) dari sekelian makhluk".

DAY 24 08/12/2007 SABTU


Susana dalam MasjidilHaram


Peminta sedekah kanak-kanak yg cacat


Suasana atas bumbung menjelang subuh


Jemaah disebelah ku terpegun menatap Kaabah
tanpa berkelip


Alhamdulillah,hari ini niat dan hajatku yang terpendam hampir tercapai. Aku telah menanamkan niat ku pada kunjungan pertama ku ke tanah suci semasa melakukan umrah dan ziarah pada tahun 2005. Aku dan isteri ku ingin menunaikan rukun islam ke 5 ini menunaikan haji sebelum umur ku 40 tahun kerana pada ku perkara ini tidak boleh ditangguh-tangguh. Bila-bila saja kita boleh dipanggil pergi tak kembali oleh pencipta kita Allah S.W.T. 

Alhamdulillah hasrat ku bakal tercapai. Hari ini 08/12/2007 umur ku meningkat lagi dan masuk 40 tahun. Pengalaman yg sangat indah menyambutnya di tanah suci Makkah Al Mukarammah. Satu lagi fasa dalam perjal;anan hidup ini di dunia yg fana’ dalam menuju negeri akhirat yg kekal abadi. Janji Allah itu benar.

Subuh kami telah ke tingkat 3 (atas bumbung) sambil menunggu solat subuh. Kali pertama kami bersolat di atas . Perjalanan menuju ke tingkat 3 boleh menggunakan "oscilator" yang disediakan utk kemudahan jemaah. Masih awal lagi dan jemaah di tingkat atas belum begitu ramai. Namun ramai jemaah yang melakukan tawaf di situ dan yang menolak kerusi roda pun sama. Suasana di atas sgt tenang dgn berbumbungkan langit . Kami menikmati permandangan kaabah dgn jemaah yang ramai dari tepi pagar. 

Sungguh indah, pemandangan dan suasana yang tidak pernah jemu-jemu walaupun setiap hari senarionya sama sahaja.Cuma kita perlu berhati apabila berada di sini terutama pada waktu subuh kerana terdapat banyak "belalang kunyit" yang besar berterbangan . Cuba elakkan dari terpijak atau terduduk ke atasnya . Teringat beberapa pesanan adab-adab ketika berada di tanah suci, antaranya:

1. Menunjukkan akhlak yang mulia
2. Menyedari diri ini sedang menjadi tetamu agung kepada ALLAH.
3. Menyedari perjalanan haji adalah perjalanan ibadah bukannya makan angin
4. Bersyukur dan reda dgn apa yang disediakan oleh Amirul Haj (pemerintah )
5. Menjauhi percakapan dan perbuatan keji serta sia-sia.
6. Elakkan sikap sombong dan takbur.
7. Bersyukur dan mengambil iktibar daripada kekurangan jemaah negara lain
8. Elakkan pertengkaran dan perlu bertolak ansur.
9. Perbanyakkan ibadat seperti membaca Al-Quran, iktikaf,doa,taubat dan istigfar
10 Hidupkan semangat tolong-menolong dan berkerjasama.


Bukan selalu dan senang untuk dapat menjadi tetamu ALLAH. Kuota bagi negara kita hanya sekitar 26,000 jemaah sahaja setiap tahun. Ada yang mendaftar untuk menunaikan haji terpaksa menunggu sehingga 5-7 tahun sebelum dapat menunaikannya. Ada yang dah dapat pergi, tetapi terpaksa menangguhkan pemergian kerana faktor keewangan dan lain-lain. 

Ada yang dah kira berkemampuan , tapi mungkin belum terbuka hatinya lagi. Jadi kami mengambil semuanya ini sebagai satu iktibar dengan penuh kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana hajat kami untuk menunaikan fardhu haji tercapai dalam usia yang masih muda. 

Kami cuba melakukan yang sebaik mungkin di sini dan berdoa agar segala ibadat kami diterima olehNYA dan dikurniakan haji yang mabrur dan menjadi insan yang lebih baik dari hari sebelumnya di dunia dan akhirat.Kalau nak kira, akaun dgn TH dah lama buka, Cuma baru je mendaftar utk menunaikan haji pada tahun yang sama. Tapi Allah mendengar permohonan hambanya ini. Allah maha mengetahui apa yang terbaik utk hambanya ini dan semua itu telah tertulis di Loh Mahfuz.


Hari ini aku meniti sejarah pembinaan kaabah .Shaadharwaan merupakan binaan yang berbtk melengkung di bawah dinding Kaabah sampai ke lantai kaabah kecuali Hijir Ismail. Di atas Shaadharwaan inilah, jemaah berdiri sambil berdoa kepada ALLAH dengan merapatkan perut,dada , lengan dan muka mereka. 

Tujuan asal pembinaannya ialah untuk melindungi kaabah dari aliran air dan untuk mengikat tali kiswah pada gantungan yang berbentuk bulat yang terdapat padanya.Ia juga utk menghindarkan jemaah yang bertawaf dgn bergesel dgn kiswah dan dinding kaabah. Batu2 yang digunakan utk menutup Shaadharwaan ialah dari jenis marmar yang keras.

Jumaat, Ogos 28, 2009

DAY 23 07/12/2007 JUMAAT

Betapa meriahnya suasana di Haram

Waktu subuh, ramai jamaah wanita berada dilaman kaabah


Jalan di hadapan Firdaus Marwa yg sesak setiap kali
jemaah pulang dari Masjidil Haram


Suasana selepas waktu subuh menuju Misfala






Alhamdulillah, dipanjangkan umur dan diberikan kesihatan yang baik utk terus menghirup udara di bumi ALLAH dan beribadat kepadaNYA. Hari ini subuh Jumaat. 3.40 pagi telah berada di Masjidil Haram yang sentiasa ceria, meriah seumpama pesta . Pesta dalam mencari keredhaan ALLAH.


Rasanya pada mulanya hendak melakukan tawaf sunat selepas sampai , tapi terpaksa menangguhkan dulu niat tersebut kerana kesemua jalan menuju ke halaman kaabah berlaku kesesakkan dan ini menandakan kawasan tawaf terlalu padat . Sudah menjadi kebiasaan, setiap hari jumaat, akan berlaku kesesakan yang agak luarbiasa sedikit dari hari2 yang lain terutama pada waktu subuh krn jumaat merupakan cuti umum bagi mereka. Kebanyakkan dari penduduk di sini akan keluar beramai2 menuju ke Masjidil Haram utk melakukan ibadat .


Mengambil tempat yang agak strategik di tingkat yang searas dgn kabaah dan kelihatan kaabah di hadapan dan terus beriktikaf. Masa yang terluang hampir 2 1/2 jam diisi dgn solat sunat tahajud, solat sunat taubat dan solat sunat hajat dan bertadarus. Rasanya lagi 1-2 hari lagi , dapat aku khatam Al-Quran di Masjidil Haram. Keadaan bersolat dalam minggu2 terakhir sebelum wukuf ini agak berhimpit-himpit sedikit kerana hampir 2 juta jemaah telah berada di Mekah .

Kebiasaannya pada waktu solat subuh , imam Masjidil Haram akan bersolat menghadap ke Pintu Kaabah dan Multazam . Begitu juga solat magrib dan isyak. Bagi solat zohor dan asar pula di belakang tembok Hijir Ismail. Imam sentiasa dikawal ketat oleh beberapa pegawai polis kerana jika tidak diberi kawalan, ditakuti jemaah2 yang berada berhampirannya akan mengerumuninya. Antara imam Masjidil Haram yang terkenal ialah Sheikh Dr Abdurrahman as-Sudais .


Salasilah keturunannya ialah Abu Abdulazeez Abdurrahman Ibn Abdulazeez Ibn AbdullahIbn Abdulazeez Ibn Muhammad Ibn Abdullah as-Sudais. Dilahirkan pada tahun 1382H (1961M) di Riyadh, Arab Saudi. Beliau adalah dari keturunan Bani Anzah (Kabilah yang terkenal di Arab Saudi) dari Wilayahal-Bakirya di dalam daerah al-Qusaim.Menghafaz al-Quran semenjak kecil lagi ketika berumur 12 tahun.Bapanya menghantar beliau belajar di dalam Pertubuhan Menghafaz Al-Quran di Riyadh yang dikelolakan dan dipantau oleh SheikhAbdurrahman Ibn Abdullah al-Faryan (Guru Quran yang masyhur di sana)dan kemudian belajar dengan Qari Sheikh Muhammad Abdulmajeed dan beberapa orang guru yang lain dan guru terakhir beliau adalah Sheikh Mohammad Ali Hassan. 

Bagi sesiapa yang pernah ke tanah suci Mekah yang pernah bersolat diimamkan oleh beliau, tentu masih tergiang2 dlm ingatan kita bacaannya . Imam yang bertugas di sini secara bergilir-gilir . Seorang lagi imam yang terkenal ialah Sheikh Dr Saud Ibn Ibrahim as-Shuraim.

9.30 pagi , kami telah ke Masjidil Haram utk solat Jumaat. 10.00 pagi Masjidil Haram telah mula dipenuhi oleh jemaah. Jalan2 masuk disekeliling Masjidil Haram telah ditutup 2 jam lebih awal sebelum waktu solat jumaat dan dibuka 2 jam selepas solat jumaat kepada semua kenderaan . 

Ada jemaah2 yang terlewat ke Masjidil Haram membuat saf-saf di kaki lima kedai , hotel dan dalam pusat membeli belah yang terletak berhadapan Masjidil Haram. Permandangan sedemikian telah menjadi lumrah di sini terutamanya minggu2 terakhir sebelum tiba hari wukuf . Keadaan seumpama "pesta" tetapi "pesta dalam mencari keredaan ALLAH"


Khamis, Ogos 27, 2009

DAY 22 06/12/2007 KHAMIS

Kawasan Hijir Ismail Yang Sentiasa Sesak

Pandangan Pancuran Emas Dari Dalam Hijir Ismail






Hijir Ismail (al-Hath'im) merupakan bangunan yang membentuk separuh bulatan. Pada mulanya Hijir Ismail membentuk lingkaran yang penuh, tetapi semasa zaman Quraisy, separuh lingkarannya terpotong. di sini nabi Ibrahim membina sebuah rumah kecil dari batang pokok yang berdahan rimbun untuk anaknya nabi Ismail dan Siti Hajar. Aishah pernah bertanya kepada Rasulullah tentang Hijir Ismail "Apakah ia sebahagian dari Baitullah, Nabi menjawab ,"Betul". 

Dapat disimpulkan di sini bahawa Hijir Ismail merupakan sebahagian dari Kaabah iaitu kira-kira 3 meter . Itulah sebabnya kita tidak boleh menyentuh tepi dinding Hijir Ismail semasa tawaf . Sekiranya tersentuh , tidak sah pusingan tawaf tersebut. Seboleh2 elakkan semasa tawaf berada berhampiran Hijir Ismail kerana ditakuti sekiranya terlalu ramai jemaah dan berlaku tolak-menolak, anggota badan kita tersentuh kepada Hijir Ismail.


Bagi kita orang biasa yang memang agak sukar dapat peluang bersolat di dalam Kaabah, sekiranya kita bersolat di dalam kawasan Hijir Ismail (lebih kurang 3 meter dr dinding Kaabah), maka sesungguhnya ia telah solat di dalam Kaabah. Itulah sebabnya semasa musim haji, kawasan di dalam Hijir Ismail sentiasa penuh dan agak sukar utk memasukinya. 

Anggota polis sentiasa mengawal kedua2 pintu masuk ke Hijir Ismail dan seorang anggota pula akan berdiri di atas tembok di situ. Bagi jemaah yang degil, ada yang memanjat tembok Hijir Ismail tersebut. Hijir Ismail merupa salah satu tempat yang mustajab untuk berdoa, maka jemaah sentiasa mengambil kesempatan untuk memasuki ke kawasan tersebut.


Alhamdulillah, aku dapat bersolat dan berdoa di dalam Hijir Ismail yang sentiasa padat sehingga agak sukar utk sujud. Kebiasaan pada waktu solat fardhu, kawasan hijir Ismail akan ditutup . Sekiranya berhajat untuk bersolat di dalamnya, tipsnya pastikan kita solat fardhu di saf yang berhampiran pintu masuk ke Hijir Ismail dan selepas solat, Insyallah dgn keizinanNYA, kita dapat boleh memasuki kawasan Hijir Ismail yang merupakan tempat tumpuan semua jemaah di Baitullah selain Hajarul Aswad dan Multazam.


Tepat di atas Hijir Ismail di bahagian atas, terletaknya talang air emas atau lebih popular dikalangan kita sebagai "pancuran emas". Ia dibina untuk melancarkan perjalanan air sekiranya berlaku hujan yang mula2 dibina oleh kaum Quraisy. Merupakan tempat yang mustajab berdoa di bawahnya pada waktu sahur. Kota Mekah telah mula dipenuhi jutaan jemaah dari seluruh dunia. 

Kenderaan2 yang membawa jemaah yang tinggal agak jauh dari Masjidil Haram telah berpusu2 seawal pukul 3 pagi sebelum subuh . Kalau di kota Mekah jarak 1,2,3 ... KM radius dari Masjidil Haram telah dianggap agak jauh kerana kita terpaksa berjalan kaki . Itulah sebabnya bagi yang jauh mereka terpaksa memperuntukan sekurang2nya 2 riyal setiap waktu solat bagi sehala perjalanan untuk menaiki "van2 sapu atau kereta sapu".


Alhamdulillah , hotel penginapan kami lebih kurang 100 m ++ dari Masjidil Haram berhadapan jalan utama menyusuri tepi Hilton Towers ke Masjidil Haram. Suasana di hadapan hotel sentiasa sibuk dgn kenderaan . Bunyi hon dari kenderaan akan berkurangan pada jam 2 pagi hingga 3 pagi. Selepas itu , suasana kembali bising seperti siang hari. Bunyi hon kenderaan dan lori membawa air yang mengepam ke hotel2 berdekatan dah menjadi halwa telinga dan hiburan pada kami setiap malam. 

Sebelum zohor, aku sempat melakukan tawaf sunat mengantikan solat tahyatul masjid. Kebiasaannya sebelum zohor , tidak begitu padat utk bertawaf kerana mereka mengelakkan kepanasan akibat pancaran matahari di atas kepala kita. Begitu juga dgn magrib dan isyak, aku bersolat di laman kaabah .





Hati terasa tenang dan damai dilaman Kaabah sementara menunggu waktu solat kerana kita sentiasa menatap Kaabah yang tersergam indah yang menjadi kiblat bagi seluruh umat Islam. Selepas Isyak, kumpulan kami mengadakan bacaan Yaasin di dewan hotel dan diikuti sedikit tazkirah tentang falsafah di sebalik pemakaian ihram. 

Apabila kita kembali ke Rahmatullah, tubuh badan kita akan dibalut dgn kain kafan yang putih seakan-akan kain ihram . Itu menunjukkan kita ini semua sama saja di sisi ALLAH , Yang membezakan kita hanya amalan dan ketaqwaan.


DAY 21 05/12/2007 RABU







Alhamdulillah, kesihatan ku pulih seperti biasa dalam keadaan yang baik.Syukur ke hadrat Allah atas nikmat kesihatan ini. Pagi ini mengikuti caramah agama di hotel penginapan yang berkisar tentang ibadat haji dan umrah. Cara2 melakukan tawaf dgn sempurna mengikut mazhab Shafie. Isi ceramah juga mengenang kembali pengorbanan Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail dan kaitannya dgn sejarah pelaksanaan haji . 

Bagaimana Siti Hajar dan Nabi Ismail ketika itu yang masih kecil ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim di Mekah yang pada masa itu merupakan lembah yang gersang . Setelah ditinggalkan dua beranak itu oleh nabi Ibrahim, Siti Hajar telah berlari dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sebanyak 7 kali utk mencari punca air bagi keperluan anaknya nabi Ismail. Dengan izin dan perintah ALLAH, malaikat Jibrail telah diarahkan memercikkan air dari muka bumi berdekatan tempat nabi Ismail ditinggalkan dikenali sebagai air zam-zam.

Telaga zam-zam terletak 11 meter dari Kaabah. Punca bagi mata air zam-zam ini dari celah2 berdekatan Hajarul Aswad disamping beberapa punca2 yang kecil ke arah bukit Safa dan Marwah.


Dahulu terdapat bangunan di sini tetapi telah diruntuhkan untuk memberi ruang dan keselesaan jemaah bertawaf dan dipindahkan ke tingkat bawah. Namun tingkat bawah tanah ini juga telah ditutup beberapa tahun yang lalu dgn di simen serta diletakkan marmar bagi melancarkan lagi jemaah yang bertawaf.

Keutamaan dan keistimewaan air zam-zam antaranya ialah ia berasal dari mata air syurga, merupakan pemberian ALLAH berkat dikabulkan doa nabi Ibrahim, menjadi faktor penentu hidup dan perkembangan kota Mekah, merupakan bukti yang nyata dan dapat dilihat dari ALLAH di tanah suci, menjadi nikmat yang agung serta membawa manafaat besar kepada Masjidil Haram, sebaik2 jenis air di muka bumi, keluarnya air melalui perantaraan Malaikat Jibrail, berada di tempat yang paling suci di muka bumi, air yang digunakan untuk mencuci hati Rasulullah, Rasulullah memberkatinya dgn air ludahnya yang suci, berfungsi sebagai makanan dan ubat penyembuh segala macam penyakit, dapat menghilangkan sakit kepala, sesiapa yang memandangnya dapat mempertajamkan penglihatan, jika diminum dgn niat baik, ALLAH akan memakbulkan, keinginan utk mengetahui sejarahnya merupakan tanda keimanan dan terbebas dari sifat munafik, air minuman utk orang yang baik2, menjadikan badan kuat, tidak akan habis2 airnya dan telah mengalir sejak 5000 tahun yang lalu sehingga menjadi telaga yang tertua di muka bumi ini.

Diantara adab2 minum air zam2 ialah, mengambilnya dgn tgn kanan dan mengadap kiblat dan membaca BISMILLAH sebelum meminumnya . Boleh minum samada duduk atau berdiri dan bernafas 3 kali sekiranya mahu meminumnya sekali lagi. 

Membaca ALHAMDULILLAH setelah minum dan membaca doa untuk kebaikan dunia dan akhirat kerana ia merupakan waktu yang afdal untuk berdoa. Rutin kami seperti biasa ke Masjidil Haram cuma perlu lebih awal dari biasa utk mengelakkan kesesakan. 2 jam lebih awal pada waktu subuh , 11.00 pg telah ke masjid untuk zohor dan asar , magrib serta isyak terus beriktikaf di dalam masjid.

Malam ini nak ubah selera, jadi tak balik untuk makan malam di hotel. Selepas isyak , terus menuju ke Hilton Tower yang terletak berhadapan Masjidil Haram. Kalau di aras 1, terdapat KFC, Taza BBQ dan Pizza. Di aras 2 terdapat food court dgn 9-10 buah restoran seperti Asyook, Burger King dan bermacam2 lagi . 

Cuma masalahnya di sini meja untuk makan "sangat-sangat terhad". Jadi sementara seorang memesan dan membeli makanan, seorang lagi kena menunggu di tepi meja yang dah ada penggunanya. Lagi satu tipsnya kalau dapat meja , mesti duduk dgn mahram sahaja.

Sebaik sahaja ia selesai makan, barulah kita dapat tempat tersebut dan begitulah berulang2 kali untuk orang lain pula. . Bagi yang tak kisah , saya dapat melihat mereka membentangkan kain di atas lantai sahaja di mana2 tempat yang mereka suka dan semacam "berpicnic" yang merupakan permandangan biasa di dalam Hilton Tower yang mempunyai ratusan kedai membeli belah dari aras 1 - 5. Malam ini kami makan ayam BBQ dgn fries dan roti nan yang dibeli di Taza BBQ Chicken . 16 riyal bagi satu set dan kami mcm org arab juga , picnic kat situ.