WARGA SCP

Ahad, Oktober 13, 2013

PART 54 TANAH SUCI MAKKAH : REZEKI DAN JUMAAT TERAKHIR SEBELUM TIBA WAKTU WUKUF

  بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH


Jumaat dua hari lalu muncul lagi dalam kalendar dan diari hidup kita sekali lagi selagi hayat dikandung badan yang dipinjamkan oleh Allah kehidupan ini dan akan diambil pergi entah bila yang hanya Allah sahaja Maha Mengetahui.
Surah Ali Imran ayat 145: 

"Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barangsiapa menghendaki pahala dunia, nescaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barang siapa menghendaki pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat. Dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur."

Pagi ini aku ingin berkongsi sedikit cerita tentang suasana  Jumaat terakhir bulan Haji 2007 sebelum tiba hari wukuf . Kami ketika itu ke sana dibawah kelolaan THTS ( Tabung Haji Travel and Services) . Jarak penginapan kami Alhamdulillah tak berapa jauh dalam 200m++ . Allah bagi rezeki kami masa tu untuk kami berdua sebilik pada musim haji tersebut.

Keadaan bilik di Hotel Ferdaus Marwa di Makkah tak berapa kecil dan tak berapa besar berbanding di Anwar Movenpick Madinah ,namun yang penting tak berapa jauh dari Masijidil Haram sebagai memberi kemudahan kepada kami berulang alik ke Al Haram setiap waktu dan juga kami waktu itu  berdua sebilik. Hotel penginapan kami menempatkan semua pasangan berdua dibawah kendalian THTS.

beginilah gambaran betapa padatnya di kawasan mataf
menjelang hari-hari terakhir kedatangan hari wukuf

semua jemaah dengan satu tujaun,
mendapat keredhaan Allah
tapi dalam pada tu , ada juga penyagak dan pencopet sama-sama berada di situ

Kami bersyukur kerana Allah dah takdirkan kami dibawah pengendalian THTS masa tu walaupun kami mendaftar dengan satu lagi syarikat pengendali yang lain dan kami menerima surat yang menyatakan kami terpilih menunaikan haji masa tu di saat akhir dari THTS ketika 99.9% jemaah lain telah pun menerima surat pengesahan dan tarikh penerbangan dari pihak Tabung Haji sebulan sebelum tu.

Itulah dinamakan rezeki dan dah tertulis Allah nak jemput kami masa tu.Kalau Allah bagi rezeki dari segi kewangan , tapi Allah tak bagi rezeki dan mengeluarkan jemputan untuk kami , pasti tak dapat pergi juga dan begitulah sebaliknya jika Allah bagi kami rezeki keluarkan jemputan, tapi Allah tak bagi rezeki dari segi kewangan ,tentu kami tak dapat merealisasikan impian kami untuk menunaikan rukun islam ke 5 ini.

Kami terima jemputan dariNYA dengan hati yang gembira dan tak terucap dengan perkataan dan sukar digambarkan kerana doa kami yang tak putus-putus akhirnya dimakbulkan .

Namun kami tak risau sangat walaupun menerima jemputan di saat akhir kerana kesemua kursus bersiri dari awal tahun lagi kami ikuti sebagai persiapan dari segi ilmu yang berkaitan ibadah haji.Ilmu ibadah haji perlu kita pelajari dan fahami sebaik-baiknya kerana banyak perbezaan dalam mengerjakannya berbanding ibadah umrah.

Teringat aku masa majlis penutup Kursus Haji Bersiri dan Perdana Peringkat Daerah High Castle di mana ketika itu hampir kesemua pesertanya yang terpilih telah pun menerima surat pengesahan dan jadual penerbangan sedangkan aku masa tu takda apa2 pun pengesahan dan khabar berita telah diminta oleh pengerusi jawatankuasa majlis berucap dan menyampaikan sepatah dua kata sebagai mewakili peserta merasa sayu di dalam hati kerana nasib dan rezeki ku menjadi Tetamu Allah masa tu masih belum terjawab.

Bila saja aku mendapat surat perkhabaran menjemput kami menjadi Tetamu Allah je masa  tu , tanpa berlengah lagi  duit keuntungan jual beli gotah beku yang memang aku kumpul bagi tujuan mengerjakan haji dalam tabung buluh aku pindahkan terus ke akaun tabung haji kami berdua seperti diminta kerana masa ketika itu semakin suntuk . 

Allah Maha Perancang .Tahun tu , Allah bagi kami rezeki menoreh getah agak banyak jugak kerana Dia dah rancang nak jemput kami sebagai tetamuNYA tahun tu.Aku pula bukan jenis enjoy dan duit keuntungan hasil jual susu getah tu biasanya aku simpan je.  Jadi duit tu yang menampung pemergian kami di sana . Masa tu aku  tak kisah walaupun anggaran harga awal dari pihak THTS 18K seorang masa  tu telah meningkat kepada 24K++ seorang tercatat semasa kami menerima surat jemputan tu.

Sebelum aku bercerita lebih panjang, aku minta maaf dulu . Bukan niat aku nak cerita yang aku ada duit masa tu dan  boleh pergi dan bayar dengan harga yang ditetapkan  oleh THTS.

Tapi aku nak kongsikan kensep rezeki di sini dan bagaimana bijaknya Allah merancang dan mentadbir sekalian alam. Allah dah rancang nak jemput kami masa tu dan rancangan Allah untuk berikan kami kemudahan dan keselesaan untuk berdua sebilik. Jadi, Allah berikan kami rezeki menoreh tahun tu agak lumayan agar nanti kami dapat membiayai dan membayar sejumlah wang untuk kami berdua dalam menunaikan rukun islam yang ke lima ini . 

Firman Allah S.W.T di dalam Al Quran :

“Allah melapangkan rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dari hamba-hamba-Nya dan Dia yang membatasi baginya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”(Al-Ankabut: 62)

” Hai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu. Adakah pencipta selain Allah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada tuhan selain Dia, maka betapa kamu bisa dipalingkan?”
(Al-Fathir: 3)

Jadi aku tak teragak-agak dan berbelah bagi untuk gunakan semua hasil torehan ketika itu untuk membiayai pemergian kami. Konsepnya , rezeki hasil torehan dan wang tu semuakan Allah yang punya dan hanya bagi kami sebagai pinjaman. 

Aku tak kisah kalau Allah nak gantikan balik atau sebaliknya nanti apabila kami pulang kerana itu hakNYA sebagai Pentadbir Sekalian Alam seperti firmanNYA dalam Al Quran surah At-Taubah ayat 28:


  "Dan jika kamu khuatir menjadi miskin , maka Allah nanti akan memberikan kekayaan kepadamu dari kurniaNya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." 



OK berbalik kita tentang jumaat terakhir sebelum wukuf. Masa tu kira semua jemaah kalau 5-6 juta masa tu , pasti semua dah berada di kota Suci Makkah. Madinah masa tu kira dah lenggang. Tiada lagi penerbangan masuk ke Makkah. Semua jemaah dah berkumpul di Makkah sambil menunggu tibanya hari wukuf.

Maka pasti keadaan di kota Makkah terutamanya di Masjidil Haram sentiasa dipenuhi oleh jemaah tak kira waktu dan ketika, siang atau malam. Pagi jumaat tu , pukul 8 pagi lagi aku dah bersiap-siap nak ke masjid kerana kalau tak, pasti tak dapat masuk nanti ke dalam.

Isteri aku yang sebelum tu dapat juga merasai solat jumaat sebelum-sebelum tu di sana, tapi hari ni dinasihat oleh pihak Tabung Haji agar jemaah muslimah tak perlu solat jumaat kerana keadaan di Masjidil Haram waktu jumaat nanti pasti terlalu sesak dan terlalu padat. Jadi berilah peluang pada jemaah lelaki yang memang difardhu dan diwajibkan untuk solat jumaat.


Pukul 9.00 pagi, aku dah bergerak keluar dari bilik dan terus menuju ke Masjidil Haram.Masa tu , berduyun-duyun jugak jemaah kat atas jalan raya. Dari hotel, jalan yang biasa ku lalui adalah di tepi hotel Hilton lalu menuju pintu utama . Kerana 3 jam lebih lagi masuk waktu jumaat, aku pilih untuk berada di tingkat 2 . Aku terpaksa cari tiang untuk menyandar kerana aku kan ada masalah sikit berkaitan "back pain".

3-4  jam aku penuhi dengan membaca Al Quran .Itulah antara hikmahnya pergi  awal . Penat baca, aku lunjurkan kaki sekejap dan pegi teguk air zam-zam. Aku memang bawak sejadah dan bila aku nak minum air zam-zam, sejadah aku letak kat tempat duduk aku tepi tiang tu dan atas sejadah Al Quran yang aku baca. Kalau tak buat gitu, tak sampai sesaat kita beredar,ada yang dah cekut tempat tu.

Pukul 11.00 , dah mula sesak . Ada yang jenis datang lambat muka selamba je langkah sana-sini nak ke depan. Jangan kata bahu kita dilangkah, kepala kita pun kalau boleh mereka langkah sama. Dah budaya mereka hinggakan ada jemaah sebelah menyebelah aku entah dari negara mana yang marah bila tetiba ada jemaah yang datang lambat selamba duduk depan dia .Jadi tentu menghalang dia nanti nak solat sunat ke dan sebagainya kerana waktu panjang lagi masa tu.

Umrah Mac 2013 dah macam musim haji jugak padatnya

Keadaan dalam masjid kira takda ruang lompang lansung . Ada yang datang lambat masuk dan menyusup hingga saf dah berlapis-lapis. Bunyi sahutan batuk saling sahut menyahut dari segelinap penjuru masjid .Sana 'kong" sini "king" dan belum lagi yang jenis berkahak tanpa berselindung. Batuk merupakan penyakit lumrah bagi kebanyakkan jemaah tak kira bangsa.

Alhamdulillah,
Aku berjaya mengharungi suasana Jumaat terakhir sebelum wukuf di Masjidil Haram setelah hampir 5 jam berada di sana. Bab nak keluar juga suatu hal yang memerlukan kesabaran . Macam anai-anai keluar dari sarang , mengensot perlahan-lahan . Kekadang terasa lembut kat belakang badan bila tersondol dek perut jemaah dari belakang .

Setibanya aku di hotel penginapan di Ferdaus Marwa , aku berhenti seketika memerhatikan dan menikmat suasana yang jarang sekali dapat kita temui kalau bukan dalam musim haji ketika jutaan jemaah membanjiri setiap pelusuk jalan menghala Misfala yang tidak putus bermula dari Masjidil Haram berkilometer jauhnya tanpa putus menunjukkan betapa ramainya jemaah ketika itu . Keadaan begitu hampir sejam-dua  lamanya tanpa henti. 

Menurut isteri ku, masa solat Jumaat tadi , semua ruang atas jalan raya dipenuhi dengan jemaah membentuk saf-saf yang berkilometer jauhnya terus dengan Masjdil Haram

Allahhuakbar.

Aku merindui saat-saat begini .
Moga Allah menjemput kami lagi .

Insyallah 

Hari ni  8 Zulhijah, Hari Tarwiyah . Jemaah haji Malaysia akan bertolak selepas zohor  ke Arafah sambil menanti hari wukuf pada Isnin 9 Zulhijjah . Macam aku katakan, hanya jemaah Malaysia sahaja pada 8 Zulhijah terus ke Arafah manakala jemaah negara lain akan ke Mina dulu sebelum mulai masuk ke Arafah pada 9 Zulhijah menjelang waktu wukuf . Jadi esok , Isnin 9 Zulhijjah  bersamaan 14/10/2013, bagi kita umat islam yang tidak mengerjakan haji, marilah kita sama-sama berpuasa sempena Hari Arafah dalam merebut gajaran yang besar memenuhi tabung akhirat kita.


Insyallah

Selamat berhujung minggu dan bercuti panjang. 
Kalau berkesempatan, aku akan bercerita nanti pengalaman menuju Arafah 8 Zulhijah 5 tahun yang lalu serta kelebihan puasa sunat hari Arafah di n3 yang akan datang.

Wasalam.

lautan manusia depan penginapan ku
pulang selepas solat jumaat terakhir sebelum wukuf  2007


4 ulasan:

  1. Alhamdulillah,
    Semoga dikesempatan tersebut Bapak dan pasangan mendapat haji yang barakah hendahnya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Amin

      Moga diperkenan dan dimakbulkan Alllah
      Insyallah

      Padam
  2. Salam,

    sayu rasa hati....semoga kami di mudahkan rezeki, kesihatan untuk menunaikan haji. aminn

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam

      Insyallah
      niat dah ada, usaha ,doa dan tawakkal agar dijemput menjadi tetamu Allah

      Padam