WARGA SCP

Isnin, Oktober 14, 2013

PART 55 TANAH SUCI MAKKAH : PUASA SUNAT ARAFAH (9 Zulhijah) dan GETARAN JIWA DAN PERASAAN MENUJU ARAFAH YANG DIIBARATKAN BAYANGAN MASYAR

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم
السلام عليكم
ALHAMDULILLAH

N3 hari ni kira sebagai N3 ulangan yang pernah aku tulis cerita yang hampir sama 3 tahun dulu. Anggaplah macam ulang kaji kerana kita hanya bertemu dengan suasana berpuasa sempena hari Arafah atau hari wukuf hanya setahun sekali je yang jatuh pada 9 Zulhijah dalam kalendar islam.

Sebagai meraikan jemaah yang akan berwukuf di padang Arafah 3-4 jam lagi nanti hari ni  , kita sebagai seorang islam yang tidak mengerjakan fardhu haji diberi peluang oleh Allah S.W.T untuk merebut dan menikmati ganjaran serta pahala yang Allah bakal berikan dengan  berpuasa pada tanggal 9 Zulhijah .

Puasa hari Arafah ialah puasa sunat pada hari kesembilan Zulhijah yang hanya disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari ra:
Dan Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah.
Maka Baginda bersabda:

 “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun 
yang akan datang.”
(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Manakala bagi mereka yang sedang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:
Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari ‘Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di ‘Arafah lantas Baginda meminumnya. 
 (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Juga daripada hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:
 

Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari ‘Arafah bagi mereka yang berada di ‘Arafah.
(Hadis Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie At-Thabrani dari Aisyah rha.)

Lafaz niatnya adalah : 
"Sahaja aku berpuasa sunat Hari Arafah, kerana Allah Taala."


Tapi jangan salah faham pulak. Bukan semua dosa akan terampun hanya dengan berpuasa pada hari tersebut iaitu kategori dosa-dosa besar yang hanya akan diampunkan oleh Allah S.W.T hanya dengan melalui taubat nasuha sahaja.

Alhamdulillah,
Nak dapat pahala dan ganjaran puasa sunat Arafah, dapatkan sekali ganjaran dengan bersahur. Kami empat beranak pagi tadi sahur mee goreng basah yang digoreng oleh "mamak itam" ku didapur .Petang ni tak tahu lagi apa menu "mamak itam" ku utk berbuka nanti. 


 nilah rupa aircond dalam khemah kami masa di Arafah
Tapi di Padang Masyar kelak
amalan kita samada akan menjadi "penyejuk" atau "pemanas"  diri memasing nanti
moga semua amalan kita semua diterima Allah, Insyallah

Alhamdulillah,
Aku imbas kembali detik perjalanan kami menuju ke Padang Arafah tanggal 17 Disember 2007  bersamaan 8 Zulhujjah yang juga dipanggil hari Tarwiyah. 

Sebelum tu aku nak cerita sikit . Dalam kehidupan aku dari kecik sampai laaa ni kira dah tua bangka, ada 3 sahaja situasi yang aku rasakan menimbulkan debaran dan getaran jiwa yang yang begitu kuat. Pertama adalah masa aku nak sunat kecik2 . Kedua bila aku dok masuk dalam luar,dalam luar tunggu bini aku bersalin anak sulung kat Hospital Universiti masa tu.Dan yang ketiga adalah debaran yang aku rasanya begitu kuat sekali berbanding dua yang tadi iaitu perjalanan menuju Arafah pada hari Tarwiyah dan semasa aku wukuf di Padang Arafah yang aku ibaratkan sebagai bayangan Padang Masyar. 

Kenapa aku kata begitu. Kerana aku nak pergi mengadap Allah S.W.T masa tu sedangkan banyak kesilapan dan dosa-dosa aku dari dulu , tapi Allah masih menjemput aku menjadi TetamuNya dan menerima kehadiran aku di Arafah .

OK, sambung cerita kat Makkah masa tu . Kira masa tu hari ke 35 aku berada di Kota Suci Makkah .Mengikut jadual , sepatutnya kami akan bertolak ke Arafah selepas waktu zohor lebih kurang pukul 2.00 ptg. Namun di sini, kita hanya mampu merancang sahaja dan segala ketentuan hanya pada ALLAH. Setelah menanti hingga azan Asar berkumandang , kami diberitahu bahawa kami hanya akan bertolak ke Arafah hanya selepas waktu Isyak kerana masalah kesesakan jalanraya menuju ke Arafah yang penuh dengan "lautan bas" menyebabkan bas ulang-alik sebanyak 10 buah yang akan membawa kami seramai lebih kurang 2000++ jemaah THTS mengambil masa yang panjang untuk berpatah balik ke Kota Makkah.

keadaan luar perkhemahan kami pukul 10 pagi 9 Zulhijah
2 jam ++ nak masuk masuk wukuf
kiri kanan jalan digunakan oleh jemaah luar untuk berwukuf
mereka ni datang mengerjakan haji secara persendirian

Ada diantara kami yang telah memakaikan ihram . Mujur aku menangguhkan dahulu niat utk memakai ihram dan lafaz niat mengerjakan  haji masa tu kerana aku sudah menjangkakan akan berlaku kelewatan . Kami ambil keputusan naik semula ke bilik hotel dan berehat kerana ada lagi masa hampir 6 jam sebelum bertolak.
 
Sejam lagi sebelum bertolak seperti yang dijangkakan, baru aku melakukan persiapan dgn melakukan perkara2 yang disunatkan sebelum berihram seperti mengerat kuku, merapikan janggut/misai/rambut, memotong bulu ketiak/ari-ari dan sebagainya lantas terus mandi sunat ihram dan mengambil wuduk. Lepas tu memakai wangi-wangian pada badan dulu kerana lepas dah niat haji nanti dah tak boleh . Lagipun aku akan berihram hingga hari nahar nanti yang makan masa 3 hari juga. Dah siap semua ,baru  solat sunat ihram dua rakaat.

Sambil menghadap kiblat , aku  lafazkan , "Sahaja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana ALLAH Taala."

Maka bermulalah bagi kami 13 pantang-larang dalam ihram yang perlu dipatuhi dan dijaga selama beberapa hari. Dalam hati kami, tak dapat digambarkan akan kegembiraan kerana kami akan mengerjakan dan menyempurnakan haji buat pertama kali dan kami berdoa agar kami dapat melakukan segala rukun dan wajib haji dengan sebaik-baiknya, diberikan kesihatan yang baik dan segala kemudahan dari ALLAH dan haji kami diterima menjadi haji yang mabrur. Tiada balasan selain syurga bagi haji mabrur.

Akhirnya kami bertolak ke Arafah lebih kurang jam 8.00 mlm hampir 6 jam lewat. Perjalanan yang hanya 21.9 km mengambil masa hampir 3 jam lebih. Lebuh raya 4 lorong telah menjadi 6 lorong dipenuhi dgn "lautan bas" yang membawa jemaah menuju ke tempat yang sama .


semua jemaah THTS ditempatkan di dalam kawasan ni
kira dah penghujung sempadan Arafah kerana
belakang kawasan perkhemahan ada tembok dibina kira sempadan
tanah haram dengan tanah halal

Teringat kembali sejarah Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang dan boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.

Perjalanan kami diiringi dengan laugan talbiah ,

 لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ.

menyebabkan aku rasa diri ini terlalu kerdil dalam perjalanan utk menghadap ALLAH .

Ya ALLAH, aku datang dari jauh dengan membawa segala dosa samada disedari atau tidak, samada besar atau kecil , aku malu untuk menghadap Mu Ya ALLAH atas apa yang telah aku lakukan , namun atas keberkatan Mu, aku dipilih menjadi tetamu Mu Ya ALLAH.


Semuanya sama sahaja ketika itu hanya memakai 2 helai kain putih yang tidak berjahit dan bercantum bagi lelaki dan telekung bagi wanita .Tiada yang membezakan ketika itu samada Raja atau golongan biasa , Towkey kapal atau penoreh getah macam aku ni . Hati ku bercampur baur, perasaan diasak sayu, insaf dengan kekhilafan dan kekurangan diri namun masih diberi nafas dan nyawa utk terus beribadat,bertaubat dan hidup di muka bumi ini ,kagum dengan kebesaran ALLAH dan sebak serta gembira menjadi tetamu jemputan ALLAH untuk menunaikan ibadat haji di kota suciNya.




Padang Arafah merupakan tapak bersejarah dalam kehidupan manusia kerana di Jabal Rahmah inilah yang terletak di kawasan Padang Arafah, Nabi Adam dan isterinya Hawa bertemu kembali selepas diturunkan dari syurga. Di situ jugalah Nabi Muhammad S.A.W menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam.

Padang Arafah adalah tempat pertama di bumi ini ALLAH menerima taubat hambaNYA. Di Jabal Rahmah, Adam dan Hawa bertemu semula setelah dikeluarkan dari syurga kerana kesilapan melanggar perintah ALLAH. Bertahun-tahun lamanya Adam memohon taubat di sini dan akhirnya taubat kedua-duanya diterima dan diampunkan . 

Kami sekarang berada di bumi Arafah sama seperti hasrat dan matlamat Adam dan Hawa, memohon keampunan dan berharap mendapat haji yang mabrur.

Diri ini terasa sangat kerdil dan cuba melakukan amalan di sini dgn sebaiknya dan berdoa semoga ALLAH menerimanya. Kami sampai lebih kurang jam 11.30 malam juga ke kawasan perkhemahan yang disediakan di hujung kawasan Padang Arafah yang seluas 10.4 km persegi.Petugas THTS dah dok nunggu. Kedudukan khemah teratur dan setiap jemaah kena cari khemah yang telah ditetapkan melalui label atau nombor yang telah diberikan sebelum bertolak tadi. 


Jam 8.00 pagi 9 Zulhijah
Kepenatan semalaman lantas ada yang baru masuk tidur lepas subuh tadi 
termasuklah aku , kumpul balik sikit tenaga sebelum pukul 11.00 nanti kena bersiap
untuk wukuf nanti yang dijangka pukul 12.00++ tghhari lepas gelincir matahari

Setiap khemah menempatkan 18-25 orang jemaah dengan berbekal sekeping tilam yang kecil, selimut dan sebiji bantal .Khemah didirikan di atas kawasan padang pasir dgn beralaskan permaidani. Kalau siapa dapat kat tempat berbonggol, kira rezeki memasing.

Kawasan belakang perkhemahan pula tersedia hidangan makanan dan minuman   disediakan oleh pihak pengurusan Tok Syeikh @ muasasah yang dilantik oleh pemerintah Arab Saudi . Jam menunjukkan hampir 12.00 tgh malam.

Alhamdulillah, akhirnya masa yang sangat dinantikan akan tiba juga dengan izinNYA.

4 ulasan:

  1. Salam,

    Ketika ini kedua org tua saya sedang berada di arafah...semoga semuanya dipermudahkan...insyallah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam

      Insyallah
      Moga kedua org tuanya mendapat haji yang mabrur

      Padam
  2. salam bapak..terima kasih atas perkongsian. jelas sangat every detail yang bapak cerita dan gambar-gambarnya dalam entry ni. suka sangat membacanya. mudah2an suatu hari nanti...tiba pula masa kami dijemput ke sana.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumsalam

      insyallah. bapak doakan
      niat nak ke sana pun dah kira dapat pahala

      Padam