WARGA SCP

Selasa, Januari 03, 2012

KOTA SINGA PART 11 : SEKADAR GITAR USANG

ALHAMDULILLAH

Aku capai dslr aku lantas turun ke hadapan pintu masuk utama HRH ketika malam mula merangkak . Aku sempat merakamkan beberapa keping foto di sini dalam kegelapan malam . Gitar yang tersergam indah namun kaku segera mengembalikan ingatan ku hampir 22 tahun lalu ketika aku pertama kali menjejakkan kaki ke "tepi hutan" di mana ketika itu bekalan elektrik masih belum ada lagi .

Hanya generator rumah Pak Dollah yang menyinari malam kami . Tapi hanya dari pukul 7.00 malam dan akan dipadamkan sebelum jam 12 malam dengan bayaran 20 ringgit sebulan . Pagi nanti dari subuh hingga jam 7 nanti, akan bernyawa kembali generator usang itu.

Tiada hiburan malam ketika itu walaupun sebuah peti television . Hanya radio transistor buruk kekadang menemani kami yang tinggal bujang serumah bersama Baba dan entah sorang lagi aku pun dah lupa namanya . Yang pasti namanya bukan Syaban, Syawal atau Ramadhan.

Apabila bateri eveready merah yang memberi nyawa pada radio usang itu mula lemau, maka hanya bunyi cengkerik dan riang-riang sahaja yang menjadi santapan halwa telinga . Itu lebih baik dari bunyi sang kelembai yang mengilai di waktu malam.



Untuk menghilangkan kebosanan malam ketika mata bujang belum lagi mengantuk, lantas aku akan melayan sebuah gitar kapok usang menyanyi lagu2 puisi nyanyian Ebiet g Ade dan Zubir Ali . Itulah hiburan kami ketika itu bukan seperti anak2 bujang sekarang .

Apabila lampu terpadam sendiri kerana cukup tempoh seperti perjanjiannya dengan pak Dollah , maka mulalah kami melabuhkan tubuh diatas tilam span nipis . Mata terpejam , namun mulut masih bercerita hinggalah suasana senyap begitu sahaja sambil masing2 melayan hati dan perasaan masing2 hingga mata terpejam.



Itu cerita aku masa muda belia dulu dan walaupun dah berpuluh tahun aku tak memegang gitar , namun cord2 minor dan major masih aku ingat seperti mana aku tidak dapat melupakan asal usul ku serta perit jerih mencari rezeki di tepi hutan belantara yang kini sedang pesat membangun merubah wajah asalnya dulu yang penuh dengan ketenangan dan kedamaian.

Dunia pasti berubah dan begitulah juga kehidupan kita yang semestinya berubah ke arah kebaikkan kerana dunia hanya sementara , akhiratlah yang kekal buat kita selama2nya seperti firman Allah S.W.T dalam Surah Maryam ayat 39 :

"Dan berilah peringatan kepada mereka berhubung hari penyesalan, iaitu ketika kesemua perkara telah diputus dan mereka selama ini berada dalam kelalaian dan mereka tidak pula beriman"



0 comments:

Catat Ulasan